Teks untuk Podcast 2014 020

Podcast 2014 020 merupakan rakaman audio terjemahan bebas rencana-rencana asal di akhbar berbahasa Inggeris dan teks terjemahannya adalah seperti berikut:

Sunday Star 16 Februari 2014

Tetap gigih walaupun kurang upaya

Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang lahir dengan kecacatan tulang belakang membuktikan bahawa hakikat itu tidak menghalang dia menjalani hidup sepenuhnya.

Jika anda mendengar dia bercakap melalui telefon, anda tidak akan membayangkan yang watak bersemangat di sebalik suara iu menggunakan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak.

Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz seorang pakar dalam Pembangunan Neurobiologi diUniversiti Malaya (UM), mungkin mempunyai spina bifida, sejenis kecacatan tiub neural (NTD), tetapi itu tidak menghalang beliau daripada melalui kehidupan dan yang lebih penting sistem pendidikan tempatan.

Apabila dia mencapai umur untuk ke prasekolah, ibu bapa beliau terpaksa menghadapi pelbagai halangan setelah permohonan ditolak setiap kali mereka cuba mendaftarkan dia di tadika.

“Ibu bapa saya tidak pernah berputus asa. Mereka terus mencuba sehingga akhirnya sebuah tadika menerima saya.”

Dr Noraishah menyanjung usaha arwah ayahnya Mydin Abdul Aziz, yang telah bersara daripada jawatan pustakawan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan terutama sekali ibunya Satinam Mohd Rijal, bekas Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia yang sentiasa menjadi tunggak kekuatannya.

“Saya tidak boleh bayangkan menghadapi hidup jika tidak kerana ibu saya yang telah membuktikan bahawa tidak ada yang mustahil melalui kekuatan, keberanian dan ketabahan beliau,” tambah Dr Noraishah.

Memandangkan betapa kerapnya dia ke hospital untuk merawat simptom dan penyakit yang berkaitan dengan spina bifida, ketegasan ibunya yang tidak berbelah bahagi mahu melihat dia berjaya telah memberinya semangat untuk cemerlang dalam bidang akademik.

Mungkin segala halangan yang dihadapi pada usia yang begitu muda dan hakikat bahawa sistem pendidikan Malaysia juga masih kurang menyokong orang kurang upaya, menyebabkan Dr Noraishah berusaha lebih keras.

Walaupun sistem itu sendiri tidak menyokong, namun waktu di sekolah menjadi lebih mudah kerana dia dikelilingi oleh ramai orang yang baik hati, dan sesetengah daripada mereka tetap bersama-sama beliau sehingga kini.

“Saya berpeluang belajar di SK Assunta dan SMK Assunta, kedua-duanya sekolah yang diasaskan oleh mubaligh Kristian.

“Saya masih ingat pada hari pertama di sekolah, (Datin Paduka) Sister Enda Ryan (bekas pengetua sekolah itu) memeluk saya dengan begitu erat dan mesra,” kenangnya kembali.

Pada usia 11 tahun, Dr Noraishah mengejutkan ibu bapanya kerana sudah membaca dan memahami teks-teks perubatan.

Satu fakta yang membimbangkan yang dibacanya dalam sebuah buku menyebabkan beliau begitu kecewa – doktor menggugurkan kandungan janin yang mempunyai NTD – mendorong gadis muda itu kekal fokus dan membuktikan bahawa mereka yang berkeadaan demikian berhak ke atas peluang yang sama seperti orang lain.

Dia bertekad tidak hanya berjuang untuk dirinya tetapi menawarkan sokongan tidak berbelah bahagi beliau kepada orang lain yang mempuyai NTD.

“Saya mahu mereka yang mempunyai NTD mendapat hak yang sama sebagaimana orang yang bertubuh normal,” katanya, sambil menambah bahawa hasratnya hendak mendidik orang ramai tentang NTD menyebabkan dia menganjurkan Hari Kecacatan Tiub Neural di Fakulti Perubatan UM baru-baru ini.

Dr Noraishah berkata, dia mahu orang ramai sedar bahawa bayi dalam kandungan berhak untuk hidup dan bahawa mereka boleh menjalani kehidupan yang normal walaupun mempunyai NTD.

“Ceramah tersebut bertujuan mendidik ibu bapa tentang bagaimana mendapatkan yang terbaik daripada anak mereka.

“Saya berharap apabila mereka melihat seseorang seperti saya – seorang pensyarah di fakulti perubatan universiti terulung di Malaysia – mereka akan merasakan bahawa anak mereka juga mungkin mempunyai potensi yang sama.”.

Dr Noraishah berkata dia menghadapi banyak halangan semasa dia mengikuti pengajian ijazah pertama.

Walaupun dia memenuhi syarat-syarat kemasukan, hasil keputusan peperiksan yang baik, pihak universiti tidak yakin beliau sesuai mengambil kursus sains kerana kecacatannya. Mereka cuba meyakinkan dia untuk mengikuti kursus lain.

“Pernah pada satu masa Ketua Jabatan datang berjumpa saya di klinik kampus di mana saya telah pergi untuk mendapatkan rawatan.

“Saya ingatkan dia datang berjumpa saya kerana saya sakit, tetapi sebaliknya dia mencadangkan saya menukar kursus saya,” katanya.

Dia naik darah dan melemparkan tongkatnya kepada Ketua Jabatan tadi apabila beliau membuat cadangan itu.

“Saya memang meradang apabila orang tidak munasabah atau meragui kebolehan saya, maka sayapun marah … kadang-kadang saya melontarkan tongkat saya pada mereka, “katanya tanpa nada kesal dalam suaranya.

Kegigihan beliau mengambil kursus pilihannya berhasil apabila lulus dengan ijazah sains dari sebuah universiti awam tempatan pada tahun 1998.

Sekarang berbekalkan Sarjana Genetik dan Doktor Falsafah dalam Perkembangan Neurobiologi, Dr Noraishah adalah seorang pensyarah di Jabatan Parasitologi di Fakulti Perubatan UM, dan mengetuai pasukan penyelidik seramai 11 orang. Penyelidikan beliau pada masa ini memberi tumpuan kepada dua bidang utama – malaria dan pembentukan NTD.

Apa yang pasti, yang paling dekat di hatinya adalah kerjanya berkaitan NTD.

“Memandangkan sumber pembiayaan adalah terhad, saya menggunakan pendekatan minimalis dan telah mengenalpasti bilangan minimum gen untuk mengkaji kesannya terhadap pembentukan NTD.

“Tikus digunakan kerana struktur genetik mereka adalah 90% sama dengan manusia,” katanya.

Salah seorang pelajarnya, Siti Waheeda Mohd Zin, menyifatkan Dr Noraishah “sentiasa emosi apabila bertemu pesakit dengan NTD kerana dia memahami perjuangan dan cabaran yang dihadapi mereka secara peribadi.

“Mereka menemuinya dan dia menasihatkan bagaimana menjalani hidup dengan spina bifida kerana para doktor mungkin tidak memberi semua maklumat yang diperlukan.

“Kebanyakan doktor tidak mahu melakukan lebih daripada apa yang sepatutnya kerana mereka kekurangan masa dan sumber,” kata Siti Waheeda.

Dia menekankan bahawa kesemua ahli pasukan penyelidikan memandang tinggi dan menghormati Dr Noraishah oleh kerana dedikasi beliau terhadap kerja amatlah terpuji.

“Walaupun ada kalanya dia tidak sihat, beliau akan tetap datang ke makmal atau mengendalikan kuliah beliau dengan semangat yang biasa.

“Dia juga masuk ke dalam hutan meggunakan tongkat untuk mengumpul sampel serangga,” tambah Siti Waheeda.

Dr Noraishah berkata beliau terpaksa kuat untuk memenuhi apa yang dipanggil “takdirnya” walaupun perjalanan di antara dua universiti untuk menjalankan penyelidikan adalah leceh.

“Saya memandu ke universiti satu lagi yang mengambil masa satu jam perjalanan, kemudian mandi dan memakai pakaian steril sebelum berada di makmal itu di mana saya duduk di atas bangku yang jauh terlalu rendah untuk saya dan meletakkan mikroskop di atas riba saya …dan meneruskan kerja selama beberapa jam. ”

Walau bagaimanapun, Dr Noraishah tidak mengeluh, semuanya adalah usaha beliau.

Fakta tentang kecacatan tiub neural

TIDAK ramai yang pernah mendengar tentang kecacatan tiub neural (NTD) yang memberi kesan kepada kira-kira 14,000 orang di Malaysia dan mereka yang mengalami keadaan itu, mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang dihidapi.

Ibu bapa mungkin tidak memahami kecacatan kongenital anak-anak mereka dan tidak tahu apa yang perlu ditanyakan kepada doktor bersabit keadaan ini.

Dua NTD yang paling lazim ditemui ialah spina bifida dan anencephaly yang berlaku apabila tiub neural tidak menutup dengan betul semasa minggu ketiga kehamilan.

Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, seorang pakar dalam pembangunan neurobiologi dari Universiti Malaya berkata mereka yang mempunyai NTD terpaksa mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika sakit.

Mereka yang mempunyai NTD, terutama spina bifida, umumnya lumpuh anggota badan bahagian bawah, disfungsi usus dan pundi kencing dan biasanya mempunyai tahap kecerdasan otak yang normal.

Walaupun ramai yang sukar menggerakkan kaki mereka, dalam kes-kes yang lebih ringan, ada yang masih boleh berjalan dengan bantuan alat bantu berjalan.

Keluarga dan pesakit dengan kecacatan tiub neural (NTD) perlu mengetahui hak-hak mereka dan memahaminya dalam usaha mengatasinya dengan lebih baik, kata Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz.

“Ibu bapa perlu faham bahawa apabila kerosakan itu terjadi (di bahagian otak atau tulang belakang) ia tidak boleh diperbaiki.

“Anda hanya boleh memberi perhatian kepada isu-isu kecil,” tambahnya.

Pasangan yang tidak mempunyai sejarah kecacatan kelahiran sebelumnya masih boleh mempunyai anak-anak dengan NTD kerana ia dicetuskan oleh pelbagai gen, “kata Dr Noraishah.

Beliau bagaimanapun berkata, ibu bapa sering tidak memahami perkara pokok tentang keadaan ini tetapi dia tidak menyalahkan mereka kerana ia bukanlah salah mereka sepenuhnya malahan adalah menjadi tanggungjawab doktor untuk mendidik pesakit mereka.

“Kebanyakan orang dalam bidang ini tidak mempunyai pendidikan perubatan berterusan sebaik sahaja mereka meninggalkan alam persekolahan,” tambahnya.

“Ini adalah satu bidang yang sentiasa berkembang dengan penyelidikan baru yang diterbitkan setiap hari dalam jurnal tersohor, dan para doktor perlu sentiasa membacanya.”

Dia berkata ibu yang mengandung perlu memastikan pakar ginekologi dan obstetrik mereka mengikuti perkembangan dalam dunia perubatan supaya pesakit menerima rawatan yang terbaik. Dengan cara ini, doktor boleh setakat yang mampu mengesan kecacatan pada janin.

Kebanyakan rakyat Malaysia, katanya, telah dilatih sejak kecil menerima dan mempercayai kata-kata doktor mereka.

“Pesakit ini tidak bertanya dan rela mengambil ubat-ubatan walaupun ia tidak dilabelkan.

“Lebih teruk lagi, rakyat Malaysia cenderung ‘membuat preskripsi sendiri’ untuk mengatasi simptom kecil seperti sakit kepala kerana mereka tidak mahu terus-menerus ke klinik mendapatkan ubat.

“Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya mewujudkan persekitaran yang tidak kondusif untuk perkembangan janin,” katanya, sambil menambah bahawa ini adalah salah satu punca bayi dilahirkan dengan NTD.

“Beliau juga berkata kekurangan sokongan daripada kerajaan telah menyukarkan lagi hidup pesakit NTD oleh kerana Akta Orang Kurang Upaya tahun 2008 belum dikuatkuasakan.

“Tidak banyak sekolah yang menempatkan kanak-kanak kurang upaya dan ini tidak menggalakkan ibu bapa menghantar mereka ke sekolah, akibatnya mereka dinafikan pendidikan dan peluang mencapai kehidupan yang baik, “tambah Dr Noraishah.

“Kita perlu realistik. Keadaan ini tidak mudah, jadi mari kita tangani isu ini dengan menggunakan pengetahuan supaya hidup mereka lebih baik. ”

Dr Noraishah telah membangunkan sebuah laman web, aishah.org, yang diharapkan akan menjadi platform membolehkan rakyat Malaysia dengan spina bifida berkongsi kisah-kisah mereka, mendapatkan maklumat mengenai keadaan yang dialami dan akhirnya membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal.

The Star 18 Februari 2014

Pemain bola sepak orang buta memang gigih

Meskipun bermain dengan kecederaan pada tulang keringnya, kapten pasukan bola sepak 5 sebelah orang buta negara, Muhamad Mazwan Muhamad Shakri sanggup menahan kesakitan untuk memimpin pasukannya ke perlawanan akhir bola sepak 5 sebelah (B1) Paragames ASEAN 2014 di Naypyidaw, Myanmar bulan lepas.

Walau bagaimanapun, pasukan itu tidak berjaya mendapatkan pingat emas dan berakhir sebagai naib juara selepas tewas kepada Thailand 3-0 pada perlawanan akhir.

Bercakap tentang perlawanan tersebut, Muhamad Mazwan berkata beliau kecewa kerana tidak berada dalam keadaan terbaik semasa mengambil bahagian dalam kejohanan sebesar itu.

“Saya mengalami kecederaan dua minggu sebelum perlawanan dan saya tidak dapat berlatih sepenuhnya kerana takut mencederakan lagi kaki saya.

“Semasa perlawanan akhir, persembahan kami tidak berada di puncak dan pihak lawan telah mengambil kesempatan,” katanya selepas latihan mingguan pasukan kebangsaan di Padang Cruyff Brickfields, Kuala Lumpur.

Pasukan negara mengalami defisit dua mata pada separuh masa pertama perlawanan akhir dan pemain Thailand meneruskan dominasi mereka pada separuh masa kedua, yang berakhir dengan keputusan 3-0.

“Pertahanan kami agak longgar pada separuh masa pertama tetapi kami cuba untuk mengejar dalam separuh masa kedua. Saya ingatkan kita masih mempunyai harapan selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama tetapi pertahanan kita tidak cukup kuat menangani asakan pasukan Thai.

“Walaupun kalah, kita akan berlatih dengan lebih gigih, terutama dalam mengukuhkan kemahiran menjaringkan gol,” katanya.

Tiga pasukan telah mengambil bahagian dalam paragames itu dan bertanding dalam format pusingan robin sebelum kedua-dua pasukan teratas mara ke perlawanan akhir.

Semasa pusingan robin, pasukan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 dan kalah kepada Thailand 1-0 untuk menempah tempat dalam perlawanan akhir dengan Thailand.

Jurulatih bola sepak orang kurang upaya, Sunny Shalesh berkata tiga pemain utama mengalami kecederaan dua minggu sebelum permainan dan ini mengurangkan peluang pasukan mendapat pingat emas dalam percubaan pertama mereka di dalam sesuatu pertandingan.

“Strategi saya adalah dengan menempatkan Muhamad Mazwan di tengah-tengah padang untuk mematahkan serangan musuh kerana beliau mempunyai daya tahan yang tinggi dan merupakan seorang pemain yang cergas.

“Salah seorang penyerang Thai sangat berbakat dan kami tetap gembira telah berjaya merangkul perak,” katanya.

Bank CIMB adalah penaja utama peralatan pemain untuk paragames di Myanmar.

Para pemain pasukan negara juga akan membentuk pasukan rekreasi mereka sendiri untuk bersaing di Kejohanan Bola Sepak 5 Sebelah (B1) Malaysia Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA) / Majlis Sukan Malaysia (MSN) yang kedua.

“Ini adalah sebahagian daripada program pembangunan akar umbi kita untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam proses pemilihan membentuk satu pasukan pemain bola sepak junior dan senior untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami mempunyai dua pasukan tambahan ketika ini berbanding tahun lepas apabila hanya empat pasukan menyertainya,” kata Sunny, sambil menambah bahawa Hospital Columbia Asia akan menaja kit kejohanan itu.

Di samping itu, Sunny juga menaruh harapan tinggi terhadap acara Bola Sepak 5 Sebelah (Buta) Paragames Asia 2014 di Incheon, Korea Oktober ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: