Category Archives: The Star

Teks untuk Podcast 2014 006

Podcast 2014 006, merupakan rakaman audio terjemahan bebas sebuah rencana berbahasa Inggeris daripada akhbar the Star 1 Januari 2014 dan teks terjemahannya adalah seperti berikut:

Pelajar cacat penglihatan berusaha menjadi ‘ tulang belakang ‘ keluarga

HEPEI : Liu Wei yang berusia dua puluh tiga tahun dengan mahir mengurut kaki rakan sekelas beliau di dalam sebuah kelas di Provinsi Anhui Timur China dalam latihan sebagai tukang urut buta.

Liu, yang mengalami glaukoma, berhenti belajar di universiti dua tahun lalu dan mendaftar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Anhui pada 2012 untuk pendidikan profesional menjadi tukang urut buta selama tiga tahun .

“Saya cuba belajar dalam jurusan perdagangan antarabangsa di Universiti Anhui Xinhua. Walau bagaimanapun, dengan penglihatan yang semakin teruk, saya menghadapi masalah serius membaca buku dan pergi ke sekolah khas untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik ,” kata Liu.

Liu berkata kelas beliau kini termasuklah penjagaan diri, bahasa Cina, perubatan tradisional Cina dan amalan urut buta. Beliau juga gemar aktiviti kurikulum seperti senaman, muzik dan membaca puisi.

“Saya benar-benar berterima kasih kepada guru-guru yang berada di sekolah ini, yang memberi saya peluang kedua untuk memulakan hidup kembali dan tidak menjadi beban kepada keluarga saya,” katanya.

“Selepas tamat pengajian , saya ingin memulakan perniagaan urut buta saya sendiri dan membantu lebih ramai orang buta menjadi tulang belakang masyarakat. “

Ditubuhkan pada tahun 2008 , sekolah ini memberi tumpuan utama mendidik anak-anak kurang upaya, termasuk mereka yang kurang upaya penglihatan, pendengaran dan kecacatan badan. Kadar graduan yang berjaya bekerja adalah lebih tinggi daripada 95% , kata Ye Yun, seorang guru kanan di sekolah itu.

“Kursus utama kami termasuklah urut buta, membaiki telefon bimbit dan rangkaian pemasaran , yang akan membantu mereka bukan sahaja mendapat latar belakang pendidikan tetapi juga persijilan profesional. Di tahun akhir pengajian, pelajar-pelajar berpeluang menjalani latihan di pelbagai syarikat berdasarkan minat mereka, ” Ye menambah .

Banyak syarikat, misalnya di dalam industri pakaian, elektronik dan urut, mahu “mengambil” pelajar-pelajar itu, kerana mereka lebih berdedikasi dan mempunyai harapan yang munasabah mendapat pendapatan, kata Ye.

Advertisements

Teks untuk Podcast 2014 003

Podcast 2014 003, merupakan rakaman audio terjemahan bebas rencana berbahasa Inggeris daripada akhbar The Star 27 Disember 2013 dan teks terjemahannya adalah seperti berikut:
 
 
 

Kisah hidup

BARBARA Yen, merupakan seorang pekerja sosial perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur selama 25 tahun sebelum bersara pada tahun 2001. Sepanjang tempoh bekerja, dia telah bertemu pesakit2 dengan pelbagai penyakit dan juga berinteraksi dengan beberapa daripada mereka secara peribadi. Dia dengan sabar mendengar kisah-kisah mereka – “sesetengahnya tragis, menakutkan, menyenangkan, kelakar dan lucu”.

“Hospital ini adalah tempat pertama di mana banyak masalah sosial boleh ditemui,” kata Barbara.

Beliau mula berkhidmat dengan Jabatan Perubatan PPUM selama empat tahun bersama pakar-pakar serta menghadiri kuliah dan menimba pembelajaran tidak formal ketika melawat wad.

Dia berhadapan dengan pelbagai rupa pesakit yang disahkan menghidap pelbagai penyakit – kencing manis, kanser, masalah jantung, masalah saraf dan buah pinggang, penyakit paru-paru, epilepsi, kemurungan dan lain-lain.

Banyak pengalaman yang dikongsi bersama oleh Barbara dalam buku beliau, Moment2Moment: Breathless in Kuala Lumpur! Salah satu kejadian itu adalah apabila Barbara menemukan semula seorang pesakit leukemia dengan adik-beradiknya yang telah lama terpisah dalam usaha memenuhi hasrat terakhir pesakit tadi yang ingin bersama-sama kaum keluarganya sebelum dia meninggal dunia. Pesakit tadi bertahan selama dua minggu, tempoh agak lama yang membolehkan kebanyakan ahli-ahli keluarga melawatnya sebelum dia meninggal dunia.

Barbara menitiskan air mata gembira serta lega kerana pesakit dan keluarganya dapat bertemu dan mengambil langkah seterusnya. “Pesakit itu redha menghadapi ajalnya dengan tenang tanpa rasa takut, bersalah atau menyesal,” kata Barbara tentang pengalaman itu. Beliau juga teringat bahawa pernah sekali pesakit yang sama enggan membiarkan Barbara pulang ke rumah kerana pesakit itu takut dia akan “mati keseorangan”.

Barbara juga tidak pernah membayangkan dia berperanan dalam pertemuan jodoh orang lain. Pada satu ketika, seorang pengurus muda berasa tertekan apabila mendapati bahawa dia memerlukan dialisis jangka panjang. Untuk meningkatkan semangatnya, Barbara memperkenalkannya kepada seorang gadis, seorang pesakit yang telah berjaya menjalani pemindahan buah pinggang. Kedua-dua mereka saling berkenalan setelah bertukar-tukar nombor telefon.

“Enam bulan kemudian, mereka berkahwin dan menghadiahkan saya sebiji kek,” kata Barbara.

“Tidak berapa lama kemudian, pengurus tadi berjaya menjalani pemindahan buah pinggang di luar negara dan pasangan tersebut mengambil seorang anak angkat perempuan.”

Walau bagaimanapun, hadiah penghargaan yang diterima Barbara kadang-kadang berbentuk pelik dan satu pertemuan dengan seorang lelaki Orang Asli masih menjadi kenangan manis.

“Anaknya telah dimasukkan ke hospital akibat kekurangan zat makanan. Kemudian dia telah membawa hadiah di dalam sebuah kotak kadbod. Rupa-rupanya kotak itu mengandungi seekor ayam jantan yang masih hidup, “Barbara mengenang kembali.

Barbara enggan menerima hadiah tersebut dan menekankan kepada lelaki itu supaya membawa pulang ayam jantan tadi “kerana keluarganya lebih memerlukannya”.

Mujurlah dia bersetuju.

Anak suratan takdir

Sebutir meteor telah memberi harapan kepada seorang pelajar lepasan sekolah menengah dan menetapkan perjalanan hidupnya.

Ada satu pepatah yang menyatakan bahawa impian anda akan menjadi kenyataan apabila membuat hajat ketika meteor kelihatan di langit.

Tetapi Barbara Yen Yoke Wah, yang berumur 21 tahun pada masa itu, menafsirkannya sebagai tanda untuk keluar dari ruang selesa dan meninggalkan kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka. Itu adalah langkah paling berani yang telah diambilnya setakat itu dan mengubah hidupnya menjadi lebih baik.

Selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah, Barbara tidak berjaya mencari pekerjaan dan memberi tuisyen di rumah selama dua tahun. Namun, pada masa yang sama dia bercita-cita untuk sama ada menjadi guru atau penulis.

Pada tahun 1967, Barbara gembira diterima masuk ke Pusat Latihan Guru di Melaka. Tetapi setelah dua bulan di dalam latihan, dia berasa “hancur” apabila diberitahu bahawa dia tidak lulus pemeriksaan perubatan.

Sejarah “Spinal tuberculosis” beliau (yang dialaminya semenjak berusia dua tahun) akhirnya telah memerangkap dirinya yang hampir-hampir menyebabkan dia tidak boleh bergerak langsung pada satu ketika.

Pada tahun yang sama, dia melihat sebutir meteor dan mengambil keputusan “mencuba nasibnya” di tempat lain.

Takdir telah menentukan bahawa dia akan bekerja di Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor di Petaling Jaya, sebagai seorang sukarelawan.

Tidak lama selepas itu, Barbara telah ditawarkan pekerjaan sebagai guru sementara dan kekal di dalam profesion tersebut selama lima tahun.

Pada tahun 1972, beliau telah diterima oleh University of Singapore (kini National University of

Singapore) mengikuti pengajian Kerja Sosial. “Ia mengubah hidup saya,” kata Barbara, anak keempat daripada tujuh adik-beradik.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1974, beliau kembali bekerja sebagai pemangku ketua pusat spastik.

Pada tahun 1975, beliau berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang pekerja sosial perubatan dan berkhidmat di pelbagai jabatan sehingga persaraan beliau pada tahun 2001.

Baru-baru ini, Barbara, 67, berjaya mencapai salah satu cita-cita zaman kanak-kanak beliau (untuk menjadi penulis) apabila dia melancarkan buku barunya, Moment2Moment: Breathless in Kuala Lumpur, yang telah mengambil tempoh dua tahun untuk ditulis.

Dalam kata pengantar buku itu, Ajahn Brahmavamso, guru rohaniah Barbara, menulis bahawa cerita-cerita beliau “penuh dengan rasa mesra, jenaka dan pandangan yang bijak.”

“Cerita-cerita itu akan mengurangkan rasa suram di hati dan mengingatkan seseorang yang telah lupa tentang kebaikan, yang ia wujud di luar sana di merata tempat, memberi makna dan tujuan kepada hidup kita,” tulisnya lagi.

Barbara berkata: “Saya tergerak hati menjadi seorang pekerja sosial untuk membantu orang yang memerlukan. Harta peninggalan saya ialah pengalaman yang begitu banyak dan ramai kawan-kawan yang begitu baik. “

Tetapi dia bergurau: “Satu lagi perkara tentang kerja sosial adalah risiko sesak nafas (kerja yang seolah-olah tidak akan ada akhirnya)!”

Barbara adalah seorang pekerja sosial bergaji sehingga hari persaraannya. Di pusat spastik, dia menerima gaji seorang guru sementara dan di PPUM, dia memperoleh gaji seorang graduan dan pekerjaan beliau adalah berpencen.

Kerja Keras Sepanjang Hari

“Hidup sebagai pekerja sosial adalah mencabar. Ia boleh membawa kenangan dan kadang-kadang tidak kurang pula dramanya, keseronokan dan juga risiko. Ia juga boleh menjadikan emosi terasa begitu rapuh, “katanya bersemangat.

Pekerja sosial perubatan, jelas Barbara, membantu pelajar-pelajar perubatan dan kejururawatan melihat implikasi sosial kesakitan terhadap pesakit dan keluarga mereka.

Dia “tumpang gembira” apabila semuanya berjalan lancar. Apabila keadaan menjadi sukar pula, dia hanya mampu “meneruskan usaha” sebaik mungkin.

Barbara (yang belajar tentang agama Buddha selepas bersara) berkata Brahmavamso memberitahunya bahawa “seseorang kaunselor harus menganggap dirinya seperti sebuah tong sampah yang berlubang di bahagian bawah. Di penghujung hari, kesemua kandungannya akan dikosongkan “. Beliau menambah: “Jika tidak, seseorang itu pasti terjaga sepanjang malam!”

Hari terakhir di tempat kerja merupakan satu kenangan manis. “Saya pergi ke pelbagai unit hospital yang berbeza untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan yang pernah bekerja dengan saya.”

Hari pertama persaraannya juga sukar dilupakan, kenang Barbara lagi: “. Saya rasa gembira tidak perlu tergesa-gesa bangun begitu awal untuk bekerja”

Tetapi kebahagiaan itu hanya bertahan kira-kira sebulan sebelum kegelisahan mula terasa. “Saya rasa seperti saya telah kehilangan identiti saya,” katanya.

“Sebelum bersara, saya boleh berkata bahawa saya adalah seorang pekerja sosial perubatan di PPUM. Selepas bersara, saya bukan sesiapa lagi.”

Barbara bergelut dengan apa yang perlu dilakukan seterusnya, setelah sekian lama bekerja. “Saya pernah bermimpi bahawa saya masih bekerja dan mempunyai kad perakam waktu saya,” kata Barbara.

Apabila dia memberitahu bekas rakan-rakan beliau, mereka ketawa dan mengusik beliau bahawa impiannya sudah “ketinggalan zaman”.

“Mana ada punch card lagi? Sekarang kami menggunakan tag nama, lah.”

Sebulan selepas bersara, Barbara bekerja di Persatuan Pergerakan Semua Wanita (All Women’s Action Society – Awam) sebagai pengurus pentadbiran.

Pada tahun 2003, Barbara bekerja di Buddha Gem Fellowship (BGF) dengan membantu menyelaras kursus-kursus latihan untuk pembantu kaunselor. Dia berhenti kerja pada Julai tahun ini selepas berkhidmat selama 10 tahun.

“Ia untuk memberi laluan kepada sukarelawan muda. Walau bagaimanapun, saya masih dalam exco unit kaunseling BGF, “kata beliau, sambil menambah bahawa dia masih mengadakan ceramah dan kaunseling tentang kesihatan mental dan soal-soal perkahwinan.

“Ketika ini, saya meluangkan masa ke tempat yang santai untuk meditasi, melancong sedikit, bertemu rakan-rakan atau berkaraoke sekali-sekala dengan adik-adik saya,” katanya. “Saya tidak mempunyai masa yang banyak membaca buku kecuali sutra (ungkapan).”

Barbara gemar membaca biografi dan autobiografi, yang merupakan sumber inspirasi beliau.

Beliau juga telah menulis draf bukunya yang kedua bertajuk, Moment2Moment: One Foot Loose In The World.

“Ia mengenai zaman kanak-kanak dan perjalanan saya. Cerita-ceritanya lebih ceria “katanya.