Category Archives: Poskod.my

Teks untuk Podcast 2014 005

Podcast 2014 005, merupakan rakaman audio sebuah rencana daripada laman web Poskod.my 31 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Dialog di dalam gelap

Saya diselubungi kegelapan dan hanya mampu ketawa. Deria yang lain terasa bergetar dan begitu peka seolah-olah tidak pernah digunakan sebelum ini.

Jurulatih Dialog di dalam Gelap memberi gula-gula kepada para peserta. Setelah diberitahu apa rasa gula-gula itu, kami terpaksa mencari meja kumpulan yang memiliki rasa gula-gula yang sama.

“Durian! Durian!” saya berteriak dan cuba mendengar sesiapa yang akan menjawab. Terdengar suara yang jauh menjawab “Durian! Durian!”

Saya dengan rasa gementar menggunakan tongkat putih dari kiri ke kanan, perlahan-lahan bergerak merentas bilik yang terasa seluas alam semesta. Setelah tempoh waktu yang terasa begitu lama, akhirnya saya sampai ke meja kumpulan durian.

Pernahkah anda terbayang melintas jalan di Bukit Bintang tanpa penglihatan? Bagaimana pula apabila mengeluarkan wang dari mesin ATM? Dialog di dalam Gelap adalah satu pameran baru di Petrosains tentang anggota deria yang membolehkan anda merasa pengalaman sedemikian.

Ketika lawatan saya, tugasan kami melibatkan penggunaan deria sentuh, bau, bunyi dan rasa dalam menjalani kehidupan seharian di Malaysia. Pengembaraan kami berakhir di sebuah kedai kopi apabila kami terpaksa membayar RM5 untuk secawan kopi dan biskut. Bolehkah anda membezakan wang kertas RM1 dengan RM5 tanpa penglihatan?

Stevens, seorang pemandu Dialog di dalam Gelap berkata, “Dengan adanya pameran Dialog di dalam Gelap di Petrosains Malaysia, kami berharap dapat memberi kesan kepada lebih ramai rakyat negara ini bukan sahaja untuk menambah rasa prihatin mereka tetapi jika boleh memberi keinsafan tentang apa yang dimiliki , siapa mereka dan sudah pasti cuba menimbulkan rasa bersyukur diberi penglihatan yang baik.”

Konsep di sebalik Dialog di dalam Gelap adalah mudah. Sekumpulan peserta akan dibawa oleh pemandu buta berjalan melalui bilik-bilik yang gelap. Para peserta mesti menggunakan anggota deria yang lain untuk menamatkan cabaran selama 45 minit itu: satu tugas yang menggentarkan mereka yang sentiasa bergantung pada deria penglihatan.

“Semasa saya kanak-kanak, saya begitu takut gelap, seperti juga kanak-kanak lain, kerana saya tidak dapat melihat di dalam kegelapan, dan tidak tahu apa yang ada di depan atau di belakang,” kata Anis Ibrahim yang mencuba Dialog di dalam Gelap pada waktu yang sama dengan saya. “Oleh kerana itu apabila saya bertembung dengan keadaan gelap ketika kita masuk ke dalam bilik tadi, kejadian itu mengingatkan saya kembali kepada zaman saya membesar dahulu.”

Dialog di dalam Gelap mengingatkan saya bahawa deria utama saya ialah penglihatan. Saya panik apabila deria itu diambil daripada saya. Ia memaksa saya memberi lebih tumpuan kepada apa yang saya dengar kerana saya telah kehilangan deria yang utama. Bunyi yang kedengaran, walaupun kelihatan ganjil, memang sentiasa ada tetapi saya tidak peka tentangnya sebelum ini.

Stevens juga memberitahu saya, bahawa mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 80% daripada kejadian buta boleh dicegah atau dirawat. Banyak kejadian buta tidak seharusnya berlaku dan salah satu sebab ia masih terjadi ialah kurangnya kesedaran serta pendekatan sambil lewa terhadap penjagaan mata. “Setakat ini, lebih daripada 387 juta orang buta ada di dunia dan bilangannya bertambah setiap hari. Pada 2010, seorang dewasa menjadi buta setiap lima saat dan kanak-kanak pula setiap sepuluh minit.”

Dialog di dalam Gelap akan mengejutkan anda apabila melangkah masuk ke dalam kegelapan dan ketika keluar daripadanya. Saya bukan sahaja telah sedar tentang anggota deria yang lain tetapi belajar bagaimana menggunakannya dengan lebih baik.

Dialog di dalam Gelap berlangsung di Petrosains sehingga 31 Mei 2014. Setiap lawatan dengan pemandu mengambil masa 45 minit dan dikenakan bayaran RM25.

Advertisements