Category Archives: Harian Metro

Teks untuk Podcast 3 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Harian Metro bertarikh 23 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Setempat

Cukup 14 tahun jadi kuli

Lelaki dilahirkan pekak dan bisu jadi bos sendiri buka bengkel kereta

Kuantan

Dilahirkan pekak dan bisu, tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat insan istimewa ini untuk membina perniagaannya sendiri selepas kira-kira 14 tahun menjadl’kuli’.

Pemilik bengkel kereta Sharil Makmur Enterprise Tanjung Lumpur, di sini, Muhammad Sharil Abdullah, 35, tidak berpelajaran tinggi, namun berkat kesungguhan dan kesabaran dia kini menuai hasil apabila mampu memiliki perniagaan sendiri seterusnya bergelar ‘tauke’.

“Saya hanya bersekolah sehingga tingkatan empat dan selepas itu, saya pulang ke Kuantan untuk bekerja dari 1998 hingga 2012 sebelum membuka bengkel sendiri kira-kira empat tahun lalu,” katanya yang menetap di Kempadang, di sini.

Menyingkap kisah hidupnya, bapa kepada seorang anak itu berkata, dia dihantar keluarganya belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Selangor.

“Bagaimanapun, saya belajar setakat tingkatan empat dan pulang ke bandar ini selepas itu, bukan tidak mahu belajar tapi saya berpendapat ada cara lain untuk saya berjaya.

“Selepas berhenti sekolah, saya terus bekerja dengan seorang lelaki Cina, saya kutip pengalaman kerja dengannya sehingga berjaya membuka bengkel sendiri,” katanya.

Katanya, lebih membanggakan dia membuka bengkel berkenaan tanpa mengharapkan bantuan modal daripada sesiapa hanya menggunakan wang simpanan sendiri.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, wang yang digunakan untuk membuka bengkel berkenaan adalah hasil titik peluhnya sendiri selama 14 tahun ‘berguru’ dengan orang lain.

“Saya ingin buktikan, walaupun tanpa pelajaran tinggi orang kurang upaya (OKU) seperti saya juga boleh berjaya dalam hidup, asalkan ada kemahuan dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

“Jika tidak kita, siapa lagi yang akan mengubah nasib kita,” katanya memaklumkan ahli keluarganya yang lain adalah normal.

Muhammad Sharil berkata, kekurangan diri bukan halangan baginya dalam menguruskan urusan kerja seharian.

Katanya, dia tidak mahu dilihat lemah kerana bergelar OKU dan ingin hidup berdikari tanpa bantuan pihak lain.

“Saya minta insan senasib dengan saya belajar berdikari dan jangan anggap diri kita lemah, kita mesti berusaha supaya boleh bersaing dengan insan normal, ada kelebihan dalam diri kita di sebalik kekurangan ini,” katanya.

Menururnya, dia boleh berbangga kerana isterinya, Rozaliza Abdul Rahim, 31, juga OKU sepertinya sentiasa berada dl sisi memberikan semangat dalam menjalani kehidupan seharian, di samping anak mereka yang berusia setahun, Muhammad Syawal Rizqi.

Sementara itu, jurubahasa Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) Wan Rofariza Wan Deraman berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada OKU terbabit dalam usaha mereka memajukan diri.

Teks untuk Podcast 1 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Sinar Harian bertarikh 22 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Dari Menara KL

Setin sardin dan seribu beg tangan

 

INI cerita benar, kisah orang biasa. Sementara menunggu isteri berbelanja barang keperluan dapur di sebuah kedai ikan di Kampung Medan, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, saya meneruskan tabiat ‘mengeteh’ di warung berhampiran.

Sebungkus nasi lemak dan teh tarik gelas besar adalah prasyarat menjadi drebar menemankan orang rumah setiap pagi minggu. Sebaik tegukan pertama minuman kegemaran ramai itu, saya disapa oleh seseorang.

“Datuk memang tidak kenal saya, tetapi saya kenal Datuk,” katanya bersalaman mesra sekali. Memang saya tidak tahu siapa, tetapi ikhlas saya mempelawanya duduk.

Kami sama-sama bersarapan di warung yang semakin penuh dengan pelanggan pagi itu. Mat Seman – bukan nama sebenar – kini menganggur setelah dibuang kerja tiga bulan lalu. Jawatan terakhirnya ialah penjaga stor di sebuah kilang yang terpaksa memberhentikan lebih separuh pekerja, sebab bisnes kantoi.

Perihal kesempitan kewangannya – kini hanya bergantung pada gaji isteri sebagai juruwang di sebuah pasar raya – untuk membiayai tiga orang anak masih bersekolah, tidak perlu ditulis, sebab saya percaya semua orang faham dan dapat merasakan.

Ketua keluarga berusia 47 tahun itu telah lama mengeluh mengenai belanja hidup. Lama sebelum diberhentikan, tanpa sesen pun pampasan, dia sekeluarga sudah cukup berasa tertekan. Almaklumlah duduk di KL dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,000, dikira miskin.

Dia tidak tahu hal-hal ekonomi, jauh sekali untuk memahami selok-belok perdagangan antarabangsa, pasang-surut politik global, trend naik-turun pasaran saham, sukuk, dan lain-lain istilah yang entah apa-apa itu.

Tetapi sebagai suami dan ayah, dia dapat merasakan kesan kejatuhan RM yang menyebabkan harga semua barangan mencanak macam roket DAP. Dia memberi contoh, setin sardin yang dulu sekitar RM4.50, kini menjadi RM7.20, malah di sesetengah kedai runcit dijual pada RM8.

Dia tidak mampu membeli epal dari Washington, strawberi dari London, atau anggur dari California. Tetapi untuk membeli mangga harumanis dari Perlis atau jambu batu dari Tambun, Perak pun dia tidak berupaya lagi. Hatta pisang nangka yang belum lama dulu RM3 sekilo, kini melonjak RM5 atau RM6.

Penanda aras belanja harian keluarganya ialah ikan kembung yang sejak sekian menjadi sajian. Memang, dia tidak mengharap ikan ‘kelas rendah’ itu dijual pada harga RM5 atau RM6 sekilo macam dulu-dulu. Tetapi dia tidak dapat menerima hakikat bahawa ikan itu kini dijual di pasar Kampung Medan pada harga RM12 per kilo.

Betapa ikan yang dulu ‘marhaen’ kini menjadi ‘elit’. Dan, betapa halnya ikan-ikan yang dulu memang ‘elit’ – tenggiri, bawal, senangin, sotong, ketam, udang, dan sebagainya – kini menjadi lebih elit dan eksklusif. Demikian antara kesan kejatuhan RM yang terasa benar oleh Mat Seman.

Dia mengeluh perihal nasi lemak bungkus sebesar penumbuk yang setahun dulu RM1.50 kini menjadi RM2, dengan hirisan timun makin tipis, hanya dua ekor bilis dan tiga biji kacang tanah. Dan betapa pisang goreng, karipap, apam balik semakin kecil. Juga roti canai semakin tipis; bukan lagi ‘sekeping’ tetapi ‘sehelai’ roti canai.

Pagi petang, siang malam, dia sesak dalam kesempitan. Makan beras kelas paling bawah. Sayur jarang ada sebab sawi, timun, kubis hatta kangkung pun sudah di luar kemampuan dompet. Kalau ada rezeki, boleh berlauk ayam. Tetapi ayam pun selalu melepasi harga syiling, dan pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa, cakap sahaja berdegar-degar!

Tambang bas sekolah, belanja anak-anak di kantin, kasut dan uniform sekolah yang terpaksa ditukar setiap setengah tahun, yuran kelas, duit PIBG, belanja kokurikulum…semua semakin menyempitkan perasaan. Setiap detik hidup tertekan.

Dalam situasi serba sempit dan tertekan, Mat Seman tidak ambil peduli pun tentang GDP, pendapatan per kapita, graf ekonomi, prasarana kelas pertama, negara berpendapatan tinggi, pemacu ekonomi, dan macam-macam istilah. Dia tidak kisah semua itu, sebab yang penting baginya ialah perut anak-anak.

Tetapi dia masih peduli mengenai ada sesetengah orang songlap duit bank RM juta-juta, ada perasuah yang sakau duit rakyat, pakai kereta mewah, ada berpuluh jam tangan mewah, hidup serba-serbi mewah.

Ketika Mat Seman berfikir tiga empat kali hanya untuk membeli setin sardin – takut anak kempunan – ada sesetengah orang begitu mewah berbelanja sana-sini untuk pakaian, aksesori tubuh, kasut, beg tangan, emas, berlian, macam-macam.

Bukan auta, ini kisah benar orang biasa. Ada beribu orang seperti Mat Seman. Siapa yang peduli pada mereka!