All posts by azmianuar

Teks untuk Podcast 30 November 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 2 Oktober 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kisah Masyarakat

Pekakkan telinga, bisukan mulut – resepi disayangi keluarga mentua

“APABILA kita memasuki gerbang perkahwinan yang menggabungkan dua keluarga besar, sama ada kita mahu atau tidak, diri kita secara tidak langsung menjadi bayangan atau igauan kepada ahli lain dalam keluarga-keluarga tersebut.

“Supaya anda tidak keliru biarlah saya ceritakan tentang diri saya yang menjadi igauan atau lebih tepat jadi umpat keji keluarga suami saya, Azri, sejak mula kahwin. Saya sedar perasaan kurang enak itu sebaik-baik sahaja selepas bertunang.’’ Itu cerita Ezzanny Aisha dalam e-melnya.

“Saya sedar memang pada mulanya saya tidak berapa disukai oleh keluarga mentua khususnya kakak ipar saya bernama Kak Ct. Emak, ayah suami saya tidak ada bantahan mereka ikut saja pilihan Azri, tetapi apabila Kak Ct sering ‘nyanyikan’ benda-benda yang tak elok dan tak sempurna tentang diri saya, lama kelamaan tentu emak ayah ikut mempersoalkan saya.

“Puncanya Kak Ct dah lama merancang supaya Azri kahwin dengan adik suaminya. Macam-macam cara Kak Ct buat supaya Azri boleh berkenalan lebih dekat dengan adik iparnya, tetapi Azri tak berminat. Katanya; “tak ada orang lain ke? Asyik nak masuk lubuk itu jugak. Cukuplah kakak sorang pilih orang sana!’’

“Tapi Kak Ct tak puas hati katanya daripada ‘lakukan dagangan orang lebih baik lakukan dagangan sendiri!’’ Tetapi kata Azri takkan bab nikah kahwin ini nak disamakan dengan orang berniaga. Harapan Kak Ct supaya hubungan mereka lebih erat, sebab Kak Ct pun kahwin dengan suaminya pangkat dua pupu mereka. Memang hubungan keluarga mereka erat.

“Cerita pilih calon ini tamat apabila Azri buat keputusan muktamad pilih saya. Namun saya dari awal lagi telah terima nasihat nenek saya. Kata nenek; “Bab nikah kahwin ni bukan benda mudah, kalau diri kita orang perempuan ini tidak disukai oleh keluarga lelaki, lebih baik jangan kahwin, alamatnya jodoh tak panjang! Sebab akan sentiasa berlaku rasa tidak puas hati emak bapak mentua terhadap isteri pilihan anaknya.’’ Berpegang kepada nasihat nenek saya ingatkan Azri kalau saya tidak disukai oleh emak ayahnya, lebih baik kita lupakan soal kahwin. Mungkin jodoh kita pada orang lain.

“Tetapi Azri beritahu emak ayahnya tak membantah. Jadi berpegang kepada kata-katanya saya sedia jadi isteri Azri, tetapi dia tak pulak beritahu hasrat kakaknya yang tinggi menggunung itu.

“Pada awal perkahwinan lagi, saya jadi serba salah, pertama masakan yang saya masak semuanya tak sedap pada mereka. Saya mengaku, mungkin cara saya masak dan cara mereka masak berlainan. Tak habis bab masakan, cakap pulak pasal pakaian saya. Saya akur juga saya tak berani lagi pakai baju T dan seluar pajang kalau di rumah, saya berkain batik dan berbaju Kedah. Aman sekejap.

“Namun rasa tak puas hati dan komen-komen Kak Ct sentiasa membuat telinga saya panas. Tapi saya sabar sebab saya tak mahu cari pasal atau cari gaduh. Saya anggap apa juga komennya terhadap saya, akan saya usahakan jadi yang terbaik. Yang penting mentua tak banyak soal. Kerana itu saya belajar pekakkan telinga dan banyakkan bersabar.

“Hari berlalu amat pentas, telinga saya kurang sakit sebab kami duduk berjauhan. Kalau jumpa dan disindir pun sekali sekala. Pada hari raya atau cuti sekolah. Pada saya itu semua rempah ratus kehidupan. Langsung tak jadi kudis pada saya.

“Tetapi apabila anak semakin membesar dan bertambah ramai, kesabaran saya semakin tercabar. Saya tak terasa hati kalau diri saya dipersoal, namun apabila bab anak-anak turut jadi mangsa umpat keji mereka saya dah mula hilang sabar tambahan pula saya dah lama berkahwin. Dah ada keyakinan diri, dah berani bersuara sikit-sikit dan berani mematahkan cakap Kak Ct.

Hilang sabar

“Sapa tak sakit hati bila mereka tengok anak kecil kita mereka akan komen kata, “Amboi comei budak ni! Ikut pak dia! Tapi muka ikut sapa? Hidung cantik ikut pak dia! Tapi budak ni suka menangis! Apasai? ikut sapa perangai budak ni kuat nangis? His! sakitnya hati, bab yang cantik lawa, mereka kata ikut adik beradik dia, yang buruk ikut saya. Memang berdesing telinga! Sesekali bolehlah tahan, kalau selalu sangat sakit hati jugak, tentu saya hilang sabar.

“Habis bab mengutuk memuji, mereka mula kata saya membazir beli pakaian anak-anak yang mahal-mahal. Sebenarnya bukan mahal pun, kita beli bila ada jualan murah. Pada saya kalau beli yang mahal sepasang dua apa salahnya, kita pun faham anak cepat membesar tentu membazir.

“Tapi peliknya adik-beradik mereka beli baju mahal tak pulak mereka kutuk tapi puji sakan! Konon pandai pilih pakaian sesuai. Tapi kalau pakaian anak saya semuanya membazir. Kerana tak tahan sering disindir, saya mengadu pada Azri, tapi tak dapat layanan pun, katanya, biarlah mereka nak kata apa pun asalkan saya tak buat jangan ambil pusing.

“Kerana dengar nasihat suami, saya sabar lagi, tahan telinga lagi, begitulah seterusnya sehingga saya dapat tiga orang anak, bab kena smash memang selalu. Yang tak tahan tu bila mentua ikut sama marahkan kita membeli pakaian mahal-mahal, terutama kalau tengok pakaian saya, semua pakat kata membazir. Bila mak mentua masuk campur ni hati kita terluka.

“Bila anak mula nak masuk sekolah cabaran baru pulak datang, tuduhan pertama dilemparkan mengapa tak hantar anak masuk taska Islam? Alasan saya tadika tu jauh, saya lebih suka hantar yang dekat rumah pengasuh sebab senang nak ambil mereka bila habis sekolah.

“Sepatutnya sebelum keluarkan perkataan yang sakitkan telinga dan hati saya, tanya saya dulu, bukan memalukan saya depan halayak. Lepas tu disuruh anak-anak saya baca surah di hadapan mereka macam ada sesi ujian hafazan. Bila anak-anak saya malu dan tergagap mereka mula nasihatkan saya supaya tukar tadika Islam. Kata mereka didik anak biar dari rebung, jangan biarkan mereka tak tentu hala. Ya Allah! macamkan saya tak tahu agama langsung.

“Sebenarnya saya memang hantar anak-anak ke tadika biasa, tetapi ada didikan agama, bila masuk tahun satu saya masukkan mereka ke sekolah agama pada sebelah petangnya, malah mereka juga boleh menulis jawi dan saya memang bantu mereka menulis tulisan jawi, tetapi tidakkah sepandai anak-anak mereka yang lancar menghafal ayat-ayat lazim.

“Keadaan berterusan hinggalah anak-anak kami meningkat remaja. Namun saya tetap balik ke kampung suami. Walaupun sesekali terdengar sindiran, tetapi saya sudah berani bersuara paling tidak menerangkan keadaan sebenar terutama bila bercakap dengan mentua. Namun dengan kakak dan adik ipar saya rasa malas bercakap jika tidak ada keperluan, bukan sombong, tetapi lagi banyak bercakap lebih banyak saya buat dosa. Tetapi jika ditanya saya jawab.

“Tetapi sejak anak-anak meningkat remaja saya perhatikan Kak Ct kurang bercakap dengan saya, cuma adik-adik ipar sahaja yang mahu berbual. Saya tak tahu sebab sebenarnya, tetapi saya boleh jangka tentu masalah anak-anak. Kak Ct kecewa dengan perangai anak-anaknya, baik lelaki mahupun perempuan. Kak Ct berharap mereka dapat melanjutkan pelajaran hingga ke Mesir atau ke Yemen, tetapi tak kesampaian. Semuanya gagal.

“Mereka tidak ikut saluran yang ditentukan oleh Kak Ct sebaliknya memilik jalan hidup yang berbeza. Ada yang berhenti di pertengahan jalan. Bukan Kak Ct tak bagi duit belanja tetapi mereka tolak untuk teruskan pengajian. Ada yang pilih masuk sekolah menengah kebangsaan dan ada yang terus keluar dan bekerja sambilan, ikut langkah abangnya kerja di bengkel motor. Tingkah mereka merunsingkan Kak Ct dan suami. Harapan mereka berkecai.

“Satu hari Kak Ci mengeluh depan saya, dia luahkan isi hatinya, katanya anak-anak masuk sekolah biasa, tak mahu belajar agama. Ada yang kerja bengkel. Nasihat saya pada Kak Ct biarlah anak buat pilihan, mungkin mereka merasa susah nak teruskan pengajian agama. Tetapi mereka sudah ada kelebihan, mereka ada asas agama yang baik. Dan lebih penting asalkan mereka mahu belajar itu sudah baik, mugkin mereka boleh pergi jauh jika dinasihati dan dibimbing dengan baik tentang pilihan mereka itu. Jangan dibantah, ikut saja.

“Pada yang suka kerja bengkel itu pun baik juga, jika itu pilihan mereka. Apa salah kerja bengkel, sapa tahu satu hari nanti mereka boleh buka bengkel motor atau membaiki mesin. Saya cadangkan Kak Ct tanya mereka apakah mereka ingin belajar baiki motor cara yang betul, jika mahu cari tempat belajar yang sesuai. Namun bekerja sambil belajar di bengkel pun banyak kelebihannya, cuma mereka tak ada sijil.

“Pandangan saya pada Kak Ct ikhlas, ideanya datang sepontan. Dan saya berbangga Kak Ct ikhlas bertanya. Pada saya ini kelebihannya yang tak ada pada orang lain. Dia bersikap suka menegur orang dan dia juga sedia dirinya ditegur. Ini satu sikap yang terpuji. Walaupun satu ketika dulu Kak Ct saya geruni dan saya benci tetapi sejak dia bertanyakan pandangan saya, hilang semua rasa marah terhadapnya selama ini. Tiada dendam di hati ini, malah saya bersedia bantu anak-anak Kak Ct jika mereka mahu. Apa yang penting mereka ada minat untuk mengubah diri dan mahu berusaha untuk lebih maju.

“Saya bersyukur tindakan saya pekakkan telinga, bisukan mulut dan bersikap tak ambil peduli atas apa juga sindiran terhadap saya bila masuk dalam keluarga ini dahulu akhirnya buahkan hasil yang baik. Tetapi jika saya keras hati, kaki gaduh dan cepat ambil hati tentu hubungan kami sesama ipar duai tentu tidak baik. Mungkin terbawa-bawa dalam hubungan kami suami isteri, namun berkat kesabaran akhirnya saya diterima baik dan dijadikan tempat rujukan.” Itu cerita Ezzanny Aisha dan nasihatnya kepada pasangan suami isteri untuk kekal bahagia.

Teks untuk Podcast 25 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada majalah Mingguan Wanita bertarikh 26 Ogos 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kisah Masyarakat

Farhan takkan berhenti selagi Amna dan Amni belum boleh berdikari

Farhan Takkan Berhenti Selagi Amna & Amni Belum Boleh Berdikari
Memiliki anak yang sempurna sifat adalah impian setiap ibu bapa. Anak adalah zuriat penyambung warisan. Tetapi tidak semua yang diimpikan itu menjadi kenyataan.
Farhana Mohd Sharipoddin dan suaminya Zairol Hisham Hisham Abu Hassan redha dengan ketentuan Ilahi. Pasangan suaml-isteri yang menetap di Seri Manjung, Perak memiliki tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki.
Cabaran awal dalam kehidupan berkeluarga pasangan ini bermula apablla anak sulung mereka Amni Najihah didiagnos mengalami sindrom Dandy Walker. Kemudian, apabila anak ketiganya, Amna Raihanah dilahirkan, doktor mengesahkan bayi perempuan mereka itu mengalami sindrom Joubert. Amni Najihah kini berusia lima tahun. Manakala Amna Raihanah berusia 2 tahun. Mereka bersyukur anak kedua mereka sihat dan normal.
Amni Najihah dilahirkan di Hospital Ipoh, Perak pada 2 Januari 2011. Dia telah didiagnos mengalami sindrom Dandy Walker sejak dalam kandungan lagi. Sindrom Dandy Walker merupakan satu keabnormalan pada bahagian otak yang melibatkan otak kecil dan ruang yang berisi cecair di sekitarnya. Sindrom ini merupakan satu gangguan genetik yang jarang berlaku dan dianggarkan berlaku sekitar 1 : 300, 00 kelahiran hidup.
Manakala Amna Raihanah yang dilahirkan pada 4 Ogos 2014 didiagnos mengalami sindrom Joubert sewaktu dilahirkan. Amna sukar untuk bernafas dan menyebabkan wajahnya berwarna biru pada awal kelahiran.
Dia telah dimasukkan ke dalam wad NICU selama 42 hari. Dia diberikan bantuan pernafasan kerana dia kerap lupa untuk bernafas (apnea) pada awal kelahirannya. Amna pernah disahkan telah tiada pada hari ke-24. Pada waktu itu dia di wad ICU. Namun dia dapat diselamatkan setelah CPR dilakukan.
Kemudiannya setelah MRI dilakukan, Amna disahkan mengalami sindrom Joubert iaitu salah satu gangguan genetik yang sangat jarang berlaku. la memberi kesan kepada otak (kawasan otak yang mengawal pernafasan, keseimbangan dan koordinasi), Sindrom Joubert dianggarkan berlaku dalam 1 : 100, 000 kelahiran.
Agak sukar kehidupan kedua-dua anak Farhana ini. Kesan kedua-dua sindrom ini melibatkan keabnormalan bahagian otak.
“Keadaan ini sekali gus mengganggu perkembangan mereka. Ciri-ciri yang paling ketara ialah kekurangan kawalan otot, hypotonia(lemah otot/lembik), perkembangan mata yang tidak normal serta juga menjejaskan pertuturan mereka,
“Kedua-duanya masih belum boleh bercakap, duduk mahu pun berjalan. Amna lebih memerlukan penjagaan rapi lika dibandingkan dengan Amni. Sebabnya Amna mempunyai sawan dan kerap lupa bernafas pada awal kelahirannya.”
Tiada Rawatan Khusus
Hati ibu bapa mana yang tidak terkesan apabila melihat dua anak terlantar. Tidak mampu menguruskan diri. Bukan saja fizikal perlu kuat tetapi emosi dan rohani juga harus tabah mengharungi ujian Allah ini. Farhana sungguh bertuah mendapat suami yang ringan tulang dan sering membantunya menguruskan anak-anak di rumah.
“Bantuan suami untuk memandikan anak, memberi makan dan sebagainya dapat meringankan tugas saya di rumah. Hal ini kerana semuanya memerlukan kekuatan fizikal oleh kerana si kakak (Amni) yang semakin membesar.
“Oleh kerana saya bekerja sebagai seorang guru dan suami seorang tentera, saya terpaksa menghantar anak-anak ini di sebuah taska yang berhampiran dengan rumah. Setiap pagi, dengan bantuan suami kami akan menyiapkan anak ini mandi dan menyusukan dulu sebelum hantar ke taska.
“Alhamdullllah ada taska yang sudi menjaga kedua anak ini sepeninggalan saya di tempat kerja. Kebiasaannya pada pukul 2 petang saya akan mengambil anak-anak sejurus balik dari tempat kerja. Secara rutinnya saya membawa mereka untuk temu janji hospital di sebelah petang dan rawatan alternatif di hujung minggu.”
Berkaitan dengan rawatan untuk anak-anak sepertf ini tidak ada rawatan khusus yang diperlukan kerana ia melibatkan genetik.
“Apa yang saya buat ialah berusaha agar mereka boleh berdikari seperti boleh duduk berjalan dan tidaklah terlantar seperti sekarang. Antara rawatan yang saya lakukan seperti Fisioterapi, Cara kerja, Stimulaterapi, Hidroterapi, Urutan, dan Rawatan Saraf.
“Saya juga mendaftarkan mereka di PDK (Pengkalan TLDM Lumut) serta mendaftarkan mereka di PKOC Manjung bagi mendapatkan rawatan fisioterapi setiap minggu. Selain mendapat rawatan di klinik pediatrik di hospital Manjung, mereka juga dirujuk di hospital Kuala Lumpur di bahagian genetik.
“Penting untuk mereka sentiasa follow up periksa darah bagi mengenal pasti fungsi organ masih dalam keadaan baik kerana sindrom ini boleh mengganggu fungsi buah pinggang dan hati. Selain itu, sampel darah mereka juga diambil untuk dibuat kajian penyelidikan di Rome, ltali bagi mengenal pasti kesilapan genetik yang berlaku. Lagi pun sindrom ini merupakan keadaan yang jarang berlaku.”
Kos untuk rawatan alternatif juga mencecah ribuan ringgit Selalunya untuk menampung kos rawatan ini Farhana menggunakan duit sendiri dengan cara menabung sikit demi sedikit.
Kumpulan Sokongan Facebook
Kumpulan sokongan amat penting bagi ibu bapa yang memiliki anak-anak istlmewa ini. Farhana dan suami tidak terkecuali mencarinya.
“Bila mula memiliki anak syurga sudah tentu kita buntu, sedih dan tercari-cari alternatif rawatan untuk mereka. Oleh yang demikian kumpulan sokongan sangat membantu untuk kita berkongsi rasa, kisah duka lara, rawatan yang oleh diambil dan sebagainya.
Antara kumpulan sokongan tersebut ialah grup super angel ataupun MOMS (moms on missions) yang boleh di dapati di Facebook. Kumpulan sokongan seperti ini banyak menganjurkan perjumpaan tahunan bagi meraikan anak syurga ini selain membantu saya mencari rawatan terbaik untuk anak-anak.
“Oleh kerana sindrom ini sesuatu yang jarang berlaku saya juga berusaha untuk menyertai grup ibu bapa dari luar negara di Facebook. Belajar dan ketahui dengan lebih terperinci tentang kedua-dua sindrom ini. Di samping itu, kami juga boleh berkongsi pengalaman.
“Memiliki dua anak syurga bukanlah sesuatu yang mudah. Namun saya suka melihat dari sudut positif kerana ia merupakan satu anugerah dari Allah. Harapan saya sebagai seorang ibu agar mereka sentiasa sihat, banyak perkembangan positif dari hari ke hari. Sokongan daripada pihak kerajaan dan orang awam juga penting bagi menyokong anak-anak ini untuk terus maju di masa hadapan.”
Anda boleh menyumbang kepada keluarga ini dengan menghulurkan bantuan pada akaun Maybank 158305294818 di bawah nama Farhana Mohd Sharipoddin.

Teks untuk Podcast 13 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada majalah Mingguan Wanita bertarikh 26 Ogos 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kugapai Bintang

Impian saya tetap melangit

Impiannya tinggi melangit. Meski Luaran nampak serba kekurangan, namun hati wanita berusia 35 tahun ini begitu celik. Dia mahu menyumbang sedikit bakti membantu pelajar cacat penglihatan beroleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Pertemuan penulls dengan si pemilik nama Lily Suriani Omar membawa kepada perkongsian baru. Manakan tidaknya, setiap butir patah kata yang diucapkan mencetus sumber inspirasl. Hingga satu ketika, hati mengakui golongan seperti ini benarbenar memberi kesedaran.

Memulakan bicara kami pagi itu, wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini disahkan mempunyai masalah penglihatan tahap B2 seawal usia 7 tahun lagi. Namun, dla beruntung kerana masih boleh melihat dengan jarak dekat.

“Masalah mata saya dikesan ketika saya di sekolah. Cikgu menyedari bahawa saya tidak nampak apa yang ditulis pada papan hitam. Setahun juga saya belajar di sekolah khas sehinggalah cikgu mencadangkan supaya saya dihantar ke sekolah pendidlkan khas,” ujar Lily Suriani yang senang dipanggil Lily.

Daya penglihatannya semakin merosot dan doktor menyatakan ia adalah faktor genetik kerana arwah ibunya, Sakinah Abdul Rahman tidak nampak tota1.

“Sebenarnya semua anak perempuan dalam keluarga mempunyai masalah pengllhatan. Saya dikesan mempunyai masalah rabun pada mulanya sebelum disahkan mempunyai katarak. Dek kerana katarak pada kedua-dua belah mata, makanya saya menjalani pembedahan bagi membuang selaput pada mata. Pembedahan pertama pada usia saya 17 tahun,” cerita anak keenam daripada tujuh orang adik beradik ini.

Enggan melihat kekurangan diri sebagal penghalang dalam menikmati kemanisan hidup, ada kalanya, stigma masyarakat menggores hati kecil wanita ini.

“Saya ni jenis orang yang suka bertanya. Bila saya sesat jalan dan perlukan bantuan saya akan bertanya. Rutin pagi saya akan masakkan makanan untuk suami membawa bekal ke tempat kerja. Selepas itu, kami berdua akan berjalan kaki ke LRT. Selalunya saya akan menggunakan tongkat ketika melalui jalan yang saya tldak biasa.

“Namun jujurnya saya terasa hati jika ada orang yang pandang saya dan tersenyum sinis. Saya perasan dan tidak suka keadaan seperti itu, Bila pergi ke pasar raya pula, saya berhadapan masalah untuk melihat tanda harga yang kecil.

“Bila itu berlaku, saya akan bertanya kepada orang sekeliling termasuk pekerja pasaraya namun, ada pula yang tidak mahu membantu dan melarikan diri. Tindakan itu membuatkan saya terasa dan biasanya yang lari itu adalah golongan wanita,” katanya yang semakin lali dengan insiden seperti itu.

Berdepan dengan persepsi menjengkelkan segelintir masyarakat, LiLy turut melahirkan rasa kecewa dengan syarikat mencarl pekerja yang dikatakan tidak telus dalam urusan pengambilan pekerja kurang upaya.

“Ada ketikanya, akan ada hari untuk syarikat-syarikat mengadakan urusan pengambilan pekerja untuk golongan kurang upaya. Saya dan kawan-kawan pergi ke tempat terbabit dan hantar resume pada 5-6 syarikat yang menawarkan jawatan kosong.

“Namun, kami tidak menerima sebarang panggilan dari syarikat terbabit. Apabila ditanyakan kepada rakan senasib, mereka turut mengadu perkara yang sama, Saya merasakan syarikat-syarikat tersebut hanya cakap sahaja dan meletakkan syarat pekerjaan untuk golongan kurang upaya.

“Ia bagi menunjukkan mereka prihatin terhadap golongan kurang upaya, tetapi hakikatnya peluang pekerjaan yang ditawarkan mungkin tiada,”katanya kecewa.

Seronok Dengan Kerjaya

Meski rasa ralat menguasai diri dek kerana itu, namun isteri kepada Mohd Azhar Tugiman Ini sebetulnya gembira dengan tugas yang dilakukannya sekarang ini. Berkhidmat sebagai computer brailes di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), dekat Brickfields di ibu negara memberi pengalaman tidak ternilai harganya.

“Saya suka kerja sekarang. Ia termasuk tugas terjemah novel celik kepada tulisan braile untuk kegunaan golongan cacat penglihatan. Contohnya sebuah novel tu, akan ada sukarelawan datang untuk bacakan untuk saya.

“Saya akan taip pada word ataupun scan. Menggunakan satu software khas, sebuah novel itu akan diterjemahkan kepada tulisan braile. Untuk sebuah novel itu, ia akan mengambil masa 2 hingga 3 bulan untuk disiapkan dan disusun dalam 6 hingga 10 jilid.

“Cuma bezanya novel yang siap diterjemahkan datam tulisan braile adalah bersaiz A4. Memang seronok kerana selain dapat menterjemah, saya dapat membaca novel yang dipilih,”ujarnya yang sudah 11 tahun berkhidmat di sana. Menanam impian besar, Lily berharap satu hari nanti dapat membuka syarikat penerbitan sendiri

“Sekiranya dapat satu set alat emboser atau saya boleh dapatkan sumbangan, mungkin saya berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri. Saya mahu menterjemahkan soalan-soalan ramalan peperiksaan khusus untuk pelajar cacat penglihatan.

“Saya lihat tiada lagi contoh soalan ramalan dalam tulisan braile, Ia boleh dijadikan rujukan seperti mana yang dilakukan oleh jenama penerbitan buku rujukan Pelangi dan Sasbadi pada suatu masa dahulu,”katanya optimis.

Memohon doa agar penglihatannya kekal seperti sekarang, Lily menyeru golongan senasib berdiri atas kaki sendiri dan tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata,

“Saya tidak berharap untuk celik sepenuhnya kerana ia sepertinya mustahil Tetapi saya berdoa supaya penglihatan saya kekal seperti ini sampai saya menutup mata. Bimbang juga kerana selalunya semakin meningkat usia, penglihatan semakin merosot. Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja,”ujarnya di hujung bicara kami.

Teks untuk Podcast 10 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada majalah Mingguan Wanita bertarikh 26 Ogos 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Pengakuan Duda

Isteriku pergi bersama hilangnya pekerjaanku

“Abang… sewa rumah sudah dua bulan tidak dibayar. Kereta itu lagi sebulan mesti kena tarik. Barang kemas saya semakin lama semakin habis digadai. Silap hari bulan, kita tidur di luar. Bosanlah hidup kalau beginilah keadaan kita setiap hari.”Itulah bebelan yang sering keluar daripada mulut isteri sejak aku diberhentikan kerja. Bukan setakat sakit hati. Sakit telinga pun ada. Tetapi apa yang mampu aku buat. Dengar sahajalah bebelannya kerana itulah kenyataan yang perlu ditelan.

Sebenarnya kehidupan kami sebelum ini tidaklah sesukar sekarang. Aku memiliki pekerjaan yang bagus setimpal dengan kelulusan yang dimiliki. Jawatan yang disandang mampu menyara keluarga yang terdiri daripada isteri dan dua anak.

Tetapi kegawatan ekonomi telah menggugat segala-galanya. Syarikat tempat aku bekerja terpaksa membuang kakitangannya. Aku antara kakitangan yang terpilih diberhentikan. Bayaran pampasan telah diberikan. Tetapi jumlah yang diberikan tidak mampu menampung keperluan hidupku yang makin bertambah. Hutang rumah dan kereta masih banyak. Apa yang aku dapat cukup sekadar perbelanjaan harian selama beberapa bulan. Semakin hari semakin menyusut wang tersebut sedangkan pekerjaan baru masih belum aku peroleh.

Pening aku memikirkan cara untuk mencari kerja baru. Ditambah pula aku berusia lebih dari 40 tahun, agak sukar untuk bersaing dengan pekerja-pekerja baru yang segar dan berperwatakan menarik. Akhirnya, apa yang mampu aku lakukan adalah berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah.

Pendapatan yang diterima tidak menentu. Lebih banyak rugi daripada untung. Keadaan ini menjejaskan wang simpanan yang ada. Akhirnya wang simpanan yang menyusut menyukarkan aku untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan lain.

Masalah kewangan ini memberi kesan terhadap rumah tanggaku. Isteriku seorang suri rumah. Dahulu dia pernah bekerja. Aku memintanya berhenti kerana mahukan dia memberi tumpuan pada anak-anak. Setiap bulan aku tidak lupa memberinya wang nafkah dan wang perbelanjaan.

Pada masa itu aku mampu kerana gajiku besar. Tetapi setelah berhenti kerja, aku tidak mampu untuk memberinya wang seperti biasa. Ini yang membuatkan isteriku tidak puas hati.

Berpisah Cara Baik

Isteriku ada menyuarakan hasratnya untuk bekerja semula. Aku benarkan dia mencari kerja. Tetapi nasib tidak menyebelahinya. Dia sudah lama tidak bekerja. Bagaimana dia mahu bersaing dengan pekerja-pekerja berpengalaman lain yang terdapat di pasaran.

Keadaan yang tertekan telah membuatkan dirinya sering marah. Sikapnya telah berubah. Kami juga sudah tidak sehaluan. Apa sahaja yang aku cakap, dia pasti tidak mahu mendengar. Kadang kadang tanpa disedari, kami akan bergaduh.

Pergolakan rumah tangga kami itu memberi kesan terhadap anak-anak. Mereka masih tidak mengerti apa yang berlaku. Aku bukannya mahu bertengkar di hadapan anak-anak. Tetapi semuanya itu berlaku tanpa disangka. Hubungan aku dan isteri semakin renggang. Isteri semakin tidak menghiraukanku. Dia juga semakin kerap keluar rumah dengan alasan mahu mencari kerja. Tinggallah aku berniaga sendirian di hadapan rumah. Anak-anak hairan kenapa ibu mereka begitu.

Setiap hari mencari kerja tidak juga berjaya. Isteriku patah hati. Dia juga tidak boleh melihat wajahku. Dia juga sering memberilahu bahawa dia sudah tidak tahan untuk hidup bersamaku lagi. Dia mahu kebebasan. Dia sudah tertekan dan tidak mampu memikul tekanan. Dia malu dengan jiran tetangga.

Berpisah. Itulah permintaannya. Isteriku sudah tidak sanggup lagi bertengkar dan hidup susah bersamaku. Aku tidak mahu menurut permintaannya. Namun dia tetap mendesak. Jika aku tidak menceraikannya, dia akan keluar begitu sahaja. Dia berusaha untuk mencari kerja. Dapat atau tidak kerja itu dia tidak kisah. Apa yang pasti, dia sudah tidak mahu hidup bersama dengan aku. Hatinya sudah tergores. Dia sudah tidak mampu menghadapi tekanan. Sebagai anak bongsu dan manja dalam keluarganya dia memang tidak pernah hidup susah ketika belum berkahwin dulu. Ini mungkin membuatkannya tidak tahan tekanan hidup.

Akhirnya aku terpaksa akur dengan kehendaknya. Kami berpisah cara baik kerana sudah tidak ada sefahaman. Anak-anak di bawah jagaanku kerana bekas isteri tidak mampu menyara mereka. Namun aku tidak pernah menghalang bekas isteri untuk melihat mereka pada bila-bila masa.

Kini aku hidup secara sederhana dengan anak-anak. Kami tidak susah dan tidaklah senang. Hanya sekadar cukup makan. Kami tetap bahagia walaupun tanpa bekas isteriku. Berita terbaru yang aku dengar mengenai bekas isteriku amat menggembirakan hati. Dia sudah memiliki pekerjaan. Aku berharap dia gembira dengan kehidupannya itu.

Harapanku hanya satu. Mungkin pada satu hari kami dapat bersatu semula. Aku masih sayangkan bekas isteriku itu. Tuhan dengarlah suara hatiku ini. Dan aku tidak akan berputus asa untuk memperbaiki hidupku dari masa ke masa. Kuharap apa yang aku alami ini hanya sebuah ujian yang akan berakhir dengan kebaikan.

Teks untuk Podcast 9 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 25 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Di celah-celah kehidupan

Ibu tunggal merintih kecewa polis tolak aduannya

KEHADIRAN Ibu-ibu tunggal dalam majlis dialog Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bandar Baru Bangi Ahad lepas banyak membantu mereka yang menghadapi pelbagai masalah setelah bercerai, terutama ketika berhadapan dengan Mahkamah Syariah. Walaupun dialog seumpama ini baru dua kali diadakan tetapi banyak membantu ibu-ibu tunggal untuk menyusun langkah apa yang harus dilakukan dalam menghadapi masalah percerian, talak, hadhanah, pembahagian harta sepencarian dan paling utama bagaimana untuk mendapatkan tuntutan nafkah daripada bekas suami yang berdolak-dalik.

Memang mudah menyerahkan masalah yang dihadapi kepada peguam-peguam yang bakal membawa kes yang dituntut ke mahkamah, tetapi masalah paling besar yang dihadapi oleh kebanyakan ibu-ibu tunggal, mereka tidak mempunyai wang untuk melanggan peguam yang sudah tentunya mahal! Memandangkan masalah ini terlalu rumit diselesaikan oleh ramai ibu-ibu tunggal, mereka terpaksa menyerah kalah dan berserah kepada takdir. Bersimpati dengan masalah mereka, Datuk Dr. Wan Halim dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Hanifah Syed Mohammad seorang peguam syarie dan sivil telah mengambil inisiatif menawarkan khidmat nasihat secara percuma kepada ibu-ibu tunggal tentang cara dan bagaimana mengatasi masalah mereka satu persatu supaya berada di landasan yang betul.

Berbekalkan pengalaman dan mendalami masalah yang dihadapi oleh kebanyakan ibu tunggal semasa dialog yang beliau jalankan di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Halim bersedia memberikan nasihat yang sama di tempat-tempat lain. Kata Wan Halim, beliau amat bersimpati dengan kaum wanita yang kebanyakannya terkapai-kapai untuk meneruskan hidup setelah diceraikan bersama anak-anak yang ramai tanpa sebarang nafkah dari bekas suami, lebih malang lagi ada yang dihalau keluar rumah dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara atau balik ke rumah ibu bapa. Ini satu perbuatan kejam dan amat tidak bertanggungjawab.

Kerana itu Wan Halim dan Hanifah bersedia memberi nasihat kepada ibu-ibu tunggal yang bermasasah dan bersedia berdialog sebulan sekali kepada mereka yang ingin mengikuti kelas bimbingan yang dianjurkannya. Dalam kelas bimbingan baru-baru ini, seorang ibu tunggal, Puan Maysara melahirkan rasa kecewanya kepada pasukan polis yang menurutnya tidak pernah mengambil peduli setiap kali dia membuat aduan terhadap bekas suaminya, walaupun mereka sudah bercerai, tetapi hidupnya tidak pernah tenteram, kerana gangguan bekas suami yang merupakan anggota polis.

“Adakah kerana dia anggota polis, maka dia kebal undang-undang? Saya katakan demikian kerana setiap kali aduan saya buat tidak pernah diambil tindakan oleh pegawai yang menyiasat.” Akibatnya bekas suami jadi besar kepala dan ego. Sebaliknya saya jadi ketakutan bimbangkan keselamtan saya dan anak-anak,” cerita Maysara.

“Untuk menerangkan lebih lanjut lagi tentang masalah yang saya hadapi, baik saya bercerita dari awal. Jika tidak tentu kawan-kawan yang ada di majlis dialog ini jadi kurang faham apalagi jika dipaparkan di akhbar, ia menjadi lebih sulit lagi. Malah pegawai penyiasat polis yang pakar pun mendakwa dia tak buat laporan kerana tidak faham. Tak tahulah apakah mereka itu benar ataupun kerana mereka semuanya kawan-kawan.

“Selepas berkahwin lebih lima tahun dan ada dua orang anak ketika itu saya tidak mengesyaki bekas suami saya Dino ini ada masalah besar, semuanya nampak normal, tetapi sebagai isteri setelah lama berkeluarga, sedikit demi sedikit saya mula nampak kelainan Dino. Bab balik malam jauh-jauh malam sudah jadi perkara biasa, katanya bekerja sebagai anggota polis balik malam benda biasa. Saya diam mungkin ada kebenarannya.

“Tetapi satu hari saya nampak gayanya seperti seorang sedang asyik bercinta, bila saya tanya dia nafikan. Saya diam, kemudian saya lihat matanya merah, dan setiap kali balik keadaannya macam orang mabuk, pastilah dia minum arak. Yang ini dia tak boleh nafikan.

Mewah

“Dalam pada itu saya lihat gaya hidupnya sudah berlainan! Mewah! Pelik jugak gaji tak sebanyak mana, tetapi bergaya mewah. Contoh! Beli permainan untuk anak-anak benda yang mahal-mahal. Bila saya tanya mana ambil duit beli benda-benda mahal ini? Dia diam. Satu hari ketika saya perlukan duit dia suruh ambil dari dalam poketnya. Terkejut besar bila saya seluk nampak jumlah duit yang banyak. Bila saya tanya katanya jangan ambil banyak, Ini membuatkan saya jadi takut dan ngeri. Mula fikir yang buruk-buruk. Ini mesti duit rasuah atau benda lain, tapi pertanyaan saya dia tak jawab

“Nak jadikan cerita satu hari dia pengsan dan dihantar ke hospital, doktor sahkan Dino pengsan kerana ambil dadah syabu berlebihan. Ya Allah! Dino penagih dadah ke? Lagi saya jadi takut. Tiga hari Dino duduk hospital, tetapi peliknya pegawainya di balai tempat dia betugas tidak ambil tindakan langsung terhadapnya, kerana tidak datang bekerja. Kerana keadaan ketika itu kritikal, saya tidak boleh berdiam diri tentang masalah rumah tangga semakin gawat. Kes ada perempuan lain, kes dadah syabu, duit yang banyak dan macam-macam kes yang menakutkan saya. Faham sajalah bila suami ambil dadah syabu, maka saya mohon cerai dan kami bercerai secara baik. Lagipun Dino ketika itu memang nak kahwin lagi.

“Saya tak boleh nafikan bimbangkan keselamatan saya, pertama kerana dia mengambil dadah, kedua kerana dia selalu mabuk dan ketiga kerana aktivitinya yang suka pergi ke pub, minum arak dan tempat hiburan yang sudah pasti ada hubung kaitnya dengan perbuatan tidak bermaruah dan bermoral itu. Saya juga tidak mahu dijangkiti pelbagai jenis penyakit. Saya bimbang keselamatan saya dan anak-anak. Saya tak mahu kami semua jadi mangsa. Sebab itu saya minta cerai. Malangnya selepas bercerai dia selalu ganggu saya walaupun ketika itu Dino sudah kahwin lain. Dino datang ke rumah tak tentu masa ambil anak-anak sesuka hati, sedangkan mengikut perintah mahkamah saya dapat hak penjagaan anak-anak, sebab yang tua berumur lima tahun sementara yang kecil tak sampai tiga tahun.

“Mengikut perintah mahkamah Dino boleh ambil anak-anak ikut masa yang ditetapkan. Tetapi Dino langgar perintah itu, dia ambil anak sesuka suka dan tidak ikut masa yang munasabah. Kerana tidak puas hati saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak. Tetapi malangnya tidak ada tindakan dibuat terhadap Dino, mungkin kerana tempat saya buat laporan tersebut berdekatan dengan balai tempat dia bertugas, maka kerana masalah kawan dan geng punya pasal, aduan saya diketepikan sahaja. Masalah ambil anak tak tentu masa ini juga menimbulkan masalah kepada pengasuh yang menjaga anak-anak saya. Kerana saya melarang, Dino bertindak memecahkan pintu rumah pengasuh, dan dengan kuasa besarnya dia menceroboh masuk dan ambil anak-anak keluar secara paksa. Perbuatannya sudah tentu menakutkan pengasuh kerana dia anggota polis dan sudah pasti dia ada senjata ketika itu.

“Kerana ketakutan dan bimbangkan keselamatan anak-anaknya maka pengasuh dan suaminya datang ke balai buat laporan polis sebab Dino pecahkan pintu rumahnya dan menceroboh masuk ambil anak-anak tanpa izin saya, yang sudah pasti melanggar perintah mahkamah. Malangnya laporan ini juga dibuang dalam tong sampah oleh polis yang bertugas. Agaknya! Sebenarnya saya tak tahu di mana lagi nak buat laporan polis, sebab sekeliling kawasan rumah ada enam buah balai, kesemua balai tersebut saya sudah buat laporan, malangnya tidak ada sebarang tindakan. Saya amat kecewa. Walaupun ada pegawai penyiasat yang datang buat siasatan, tetapi semuanya tamat di situ sahaja, tidak ada tindakan kepada Dino dan lebih penting polis tidak buka kertas siasatan terhadap laporan yang saya dan pengasuh buat.

“Ini tentu menakutkan pengasuh anak-anak saya, sebab ke mana lagi dia hendak mengadu jika keselamatannya terancam. Namun saya berterima kasih padanya kerana dia masih mahu jaga anak saya, jika tidak tentu saya susah, kerana saya bekerja tak tentu masa dan perlu bekerja untuk cari rezeki bagi menampung kehidupan kami anak beranak. Tak habis di situ saya juga buat laporan polis apabila lihat badan anak saya dicubit hingga lebam ketika dia balik dari rumah Dino. Kes ini membuat saya terpaksa bawa anak ke hospital untuk pemeriksaan doktor. Sekali lagi pegawai penyiasat datang membuat siasatan, kerana saya bimbang anak saya dicabul atau dianiaya, tetapi dia kata ini benda kecil.

“Saya hairan bagaimana pegawai polis ini boleh kata tak ada bukti atau benda kecil, sedangkan doktor yang memeriksa bimbang tentang keselamatan anak saya. Apakah pegawai polis ini lebih arif daripada doktor dalam membuat pemeriksaanan? Kerana tidak puas hati apabila semua laporan saya terhadap Dino tidak diambil tindakan saya bersama teman membuat laporan polis ke Bukit Aman. Harapan saya mungkin di sini laporan saya dapat perhatian, sebab enam balai polis yang saya buat laporan sebelum ini tidak ada tindakan dibuat dan polis tidak mahu buka kertas siasatan.

Malang bagi saya tiga kali saya pergi mengadap pegawai Bukit Aman, pegawai bertugas juga kata tidak mahu buka kertas siasatan. Kata mereka saya tidak buat laporan polis sebelum ini terhadap Dino. Pelik juga dah buat laporan ke balai, ada salinan, tapi kata mereka tidak ada sebarang laporan dibuat di balai.

“Akhirnya saya tunjukkan kertas laporan yang saya dan pengasuh anak saya buat di beberapa balai polis terdahulu. Akhirnya mereka kata susah! Bukit Aman kata susah? Pelik bin ajaib juga Dino bukan pegawai tinggi, sarjan pun bukan! Apa yang susah sangat nak buka kertas siasatan terhadap anggota mereka?

Adakah Dino kebal undang-undang? Atau kerana Dino anggota polis dan tak mahu kes Dino memalukan polis? Tak masuk akal! Saya tak buat laporan kecil-kecil atau semberono. Semua kes besar. Contoh! Dino overdose syabu, tiga hari masuk hospital tak ada tindakan, mendera anak, menceroboh masuk rumah pengasuh dan memecahkan pintu rumah pengasuh untuk merampas anak-anak.

Malangnya mereka kata tidak ada laporan dan pasti tidak ada kertas siasatan dibuka terhadap Dino. Sedangkan saya amat perlukan kertas siasatan itu untuk buat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerana tanpa kertas siasatan saya tak dapat buat IPO (Interim Protection Orderf) untuk memohon ke mahkamah Sivil di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga, untuk saya dapatkan perintah perlindungan sementara.

“Jadi saya ingin bertanya adakah apabila kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas diri kami anak beranak, maka barulah pihak polis bertindak? Ketika itu semuanya tidak berguna lagi. Nasi sudah jadi bubur. Jadi, sekarang bantulah saya. Saya wanita, anak-anak masih kecil, kami tidak berdaya melawan orang yang sudah hilang pertimbangan. Fikir-fikirkanlah.” Itu harapan Maysara memohon perhatian pihak polis demi keselamatan mereka anak beranak.

Teks untuk Podcast 8 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Kosmo bertarikh 25 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Pengakuan

Dibenci rakan sebilik kerana kaya

DARI jauh, gadis bertubuh tinggi lampai itu tersenyum manis sambil menghulurkan tangan kepada kru Jurnal. Orangnya memang cantik dan gaya berpakaiannya jelas menunjukkan gadis itu bukan calang-calang orang.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga berada, Julia (bukan nama sebenar) sememangnya bertuah kerana hidupnya dilimpahi kemewahan sejak dari kecil. Bertuahnya badan apabila segala permintaannya sering dipenuhi oleh kedua-dua ibu bapanya yang cukup sayangkan Julia.

Biarpun hidup serba mewah Julia tidak pernah meninggi diri, malah gadis berkulit hitam manis itu cukup pemurah dan peribadinya amat disenangi orang-orang disekelilingnya.

Bagaimanapun, siapa sangka tuaahnya itu menyebabkan Julia dibenci oleh teman sebiliknya sehingga hampir dibunuh. Gadis tersebut mendedahkan, ia berlaku semasa dia sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di sebuah universiti tempatan di Selatan tanah air tahun lalu.

Mendengus kuat

Membuka cerita, gadis berusia 27 tahun itu berkata,-barang-barang peribadinya dirosakkan oleh teman sebiliknya itu kerana gadis itu cukup tidak senang melihat kekayaannya.

“Semasa mula-mula berkenalan dengan Rin (bukan nama sebenar), saya perasan gadis itu tidak banyak cakap. Saya menyangka mungkin dia masih malu atau kurang ramah dan saya sedikit pun tidak mengesyaki apa-apa yang buruk tentangnya.

“Begitu pun, selepas lebih kurang sebulan menjadi teman sebiliknya, saya mula perasan Rin langsung tidak mahu bercakap dengan saya selain sering menjeling saya. Dia juga gemar mendengus kuat apabila melihat saya pulang ke bilik.

“Saya juga menyedari gadis bertubuh sedikit gempal itu sering menjeling tajam ke arah barang-barang berjenama milik saya, seolah-olah amat bencikan barang-barang tersebut,” ujar Julia memulakan bicara.

Julia sering tertanya-tanya sendiri apakah silapnya terhadap Rin, namun dia tidak berani untuk menegur gadis itu kerana peribadinya yang kurang menyenangkan.

Sehinggalah. pada suatu pagi, Julia bangun daripada tidur dan mendapati, telefon bimbitnya tiada di sisi. Setelah puas mencari, dia amat terkejut apabila mendapati telefon bimbitnya berada di dalam mangkuk tandas dalam bilik mereka.

“Terkejutnya saya hanya Tuhan yang tahu. Bagaimaria telefon bimbit saya boleh tiba-tiba sahaja berada di dalam mangkuk tandas sedangkan ia berada betul-betul di sisi ketika saya masuk tidur,” dedah Julia.

Gadis kelahiran Selangor itu mula mengesyaki Rin dengan sengaja memasukkan telefon bimbitnya ke dalam mangkuk tandas tersebut kerana hanya mereka berdua-sahaja yang berada di dalam bilik tersebut. Begitu pun, dia benar-benar tidak tahu apakah punca sebenar Rin bertindak demikian.

Beberapa hari kemudian, Julia mendapati beberapa helai baju berjenama kesayangannya yang disidai di luar bilik sudah koyak, seolah-olah digunting oleh seseorang.

“Alangkah marahnya saya ketika itu. Saya amat yakin semua itu adalah perbuatan Rin apatah lagi setelah saya terlihat sebilah gunting berdekatan katilnya.

Gadis itu tidak berhenti di situ, malah dia pernah meletakkan paku pada keempat-empat tayar kereta Julia dengan sengaja dan menyebabkan gadis itu lambat untuk ke kelas.

Kemuncak kemarahan Julia terjadi apabila dia mendapat tahu Rin telah meletakkan racun tikus dalam minumannya ketika dia keluar bersama rakan-rakannya.

“Siapa sangka dia tergamak meracun minuman saya. Dia memang benar-benar bencikan saya tanpa sebab dan saya amat tertekan,” ujar Julia mengimbau kembali perbuatan Rin yang kejam itu.

Racunkan minuman

Menurut Julia, dia telah membeli berbotol-botol air mineral dan diletakkan di dalam bilik mereka. Sebaik sahaja pulang ke bilik, Julia mula menyedari bahawa air-air tersebut telah bertukar menjadi sedikit kekuning-kuningan, seolah-olah telah dimasukkan sesuatu di dalamnya.

Julia membawa air tersebut untuk diperiksa oleh doktor dan amat terkejut apabila diberitahu kesemua botol-botol tersebut telah dimasukkan racun tikus di dalamnya.

Julia terpaksa membuang kesemua air tersebut dan bersyukur dia tersedar akan perubahan pada warna air itu sebelum sempat meminumnya.

“Selepas insiden itu, saya sudah tidak tahan lagi dan terpaksa memberanikan diri untuk bertanya Rin mengapa dia tergamak bertindak sehingga tahap itu. Kami bertengkar teruk kerana pada mulanya, dia tidak mengakui perbuatannya, namun setelah digertak, Rin akhirnya menjelaskan perkara sebenar.

“Rin yang pada mulanya tidak mengaku perbuatannya akhirnya mendedahkan bahawa dia bertindak demikian kerana dia amat benci dan cemburukan saya yang mampu memakai pakaian berjenama mewah dan kerap bercuti ke luar negara bersama keluarga.

“Rin mengaku, dia berasa tertekan setiap kali melihat saya dan hanya dengan
merosakkan barang-barang saya dia akan mencapai kepuasan,” ujar Julia tentang sikap aneh Rin.

Selepas pertengkaran tersebut, Julia terus berpindah ke bilik lain kerana tidak sanggup lagi tinggal sebilik dengan gadis aneh itu.

Selepas insiden tersebut, Julia berharap dia tidak akan lagi bertemu dengan Rin dan turut mengakui bahawa dia tidak mungkin dapat memaafkan gadis itu yang membenci serta cuba membunuhnya hanya kerana sifat cemburu tidak bertempat.

Teks untuk Podcast 6 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Sembang-sembang

Sampai sekarang saya benci bapa tiri

Seorang anak memerlukan ibu dan ayah untuk melengkapkan hidup mereka, tanpa kedua-duanya hidup tidak bererti dan kasih sayang akan terlerai.

Saya hormat ibu atau bapa yang kekal bersendirian setelah pasangan mereka meninggal dunia atau mereka bercerai hidup.

Tetapi kepada yang ingin bernikah lain, elok fikir semasak masaknya sebelum berbuat demikian khasnya mereka yang mempunyai anak remaja.

Banyak berlaku kes, perkahwinan semula seorang wanita mengundang masalah apabila suami baharu tinggal serumah bersama anak tiri.

Ini kisah pilihan saya minggu ini, kiriman Atiqah (bukan nama sebenar) yang melalui pengalaman pahit semasa remaja setelah ibunya bernikah dengan lelaki muda.

Ini cerita Atiqah.

“Usia saya sekarang lewat 20-an. Saya dilahirkan di sebuah kampung di utara tanah air. Saya anak sulung daripada tiga beradik. Abah meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun. Mujur mak bekerja dan abah ada pencen.

“Kami jadi anak yatim selama setahun lebih apabila mak buat keputusan bernikah lagi. Saya mulanya menghalang, tetapi mengenangkan mak masih muda, saya mengalah. Tapi saya sedih sebab lelaki yang mak pilih, anak teruna lima tahun muda daripada mak.

“Ketika itu saya berusia 15 tahun. Adik-adik juga masih kecil. Selepas mak bernikah lain, saya tidak mahu tinggal bersama mak, sebab saya rasa tidak selesa. Bapa tiri terlalu muda, boleh dipanggil abang.

“Saya minta izin balik kampung dan tinggal bersama nenek serta menyambung persekolahan di kampung. Mak tidak benarkan kerana tidak mahu nenek susah kerana kami tiga beradik.

“Saya pula tidak sedap hati dengan perangai bapa tiri, nampak gatal dan miang. Pantang saya dan adik perempuan duduk menonton TV di ruang tamu, dia juga datang mengendeng.

“Apabila mak tidak ada di rumah sebab kerja, perangainya semakin menjadi-jadi. Saya mula takut dan bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk. Tapi saya pujuk hati. Tak mahu fikirkan yang buruk-buruk tentang bapa tiri.

“Satu malam, mak kerja ke luar daerah. Dua hari mak tidak balik kerana bertugas. Tinggal saya dan adik-adik dengan bapa tiri.

Saya sangat bimbang kerana selepas mak pergi, bapa tiri nampak seronok sangat.

“Dia bersiul-siul dan menyanyi sepanjang hari. Sebelah malam, kami adik beradik menonton TV di ruang tamu, dia ada sama.

Saya tidak syak apa-apa. Tetapi setelah adik-adik tidur, dia cuba menggoda saya.

“Dia cuba memeluk saya, tapi saya sempat lari ke dalam bilik. Saya kunci pintu bilik. Dia menjerit-jerit dari luar memanggil saya tetapi saya buat tidak peduli, saya nekad, apa jadi sekalipun saya akan bertahan sampai hari siang.

“Saya telefon kawan baik saya dan ibunya minta mereka datang ke rumah saya awal pagi esok. Mereka tanya kenapa tapi saya jawab saya akan jelaskan esok pagi. Sepanjang malam itu, tubuh saya mengigil tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Allah mendengar doa saya. Siang datang terlalu cepat. Bapa tiri tidak berani buat apa-apa, sebab adik-adik tidur dengan saya. Sepanjang malam saya berdoa, tidak putus-putus sampai Subuh.

Hampir pukul 7 pagi kawan baik saya dan ibunya datang.

“Saya dan adik-adik keluar dengan membawa beg pakaian yang telah kami kemas malam itu. Terkejut bapa tiri saya melihat kehadiran kawan baik saya dan ibunya itu. Tapi dia tidak berkata apa-apa. Saya tahu dia marah.

“Di dalam kereta saya ceritakan semua yang berlaku kepada kawan baik saya dan ibunya, mengucap panjang mereka. Malah mereka marahkan saya kerana tidak bagi tahu sebabnya dari malam tadi.

“Saya diamkan kejadian itu dan tidak memberitahu sesiapa walaupun nenek dan mak. Pada masa yang sama, saya berusaha mendapatkan tempat di asrama, tidak mahu lagi tinggal di rumah.

Alhamdulillah, doa saya Allah makbulkan.

“Cuti sekolah saya balik ke rumah nenek atau ke rumah keluarga angkat saya. Saya bagi pelbagai alasan kepada mak tidak mahu balik ke rumah dan banyak menghabiskan masa di rumah nenek. Saya benci melihat wajah bapa tiri.

“Keputusan SPM saya baik dan diterima masuk ke universiti. Saya bersyukur kerana dapat tinggalkan rumah terus. Dalam masa belajar, saya tidak pernah menyusahkan mak. Balik pun jarang. Mak pun tidak ambil kisah tentang saya kecuali nenek yang sampai sakit-sakit rindukan saya. Kalau balik rumah mak, saya akan bawa kawan dua tiga orang sebab tidak mahu bapa tiri buat hal lagi.

“Tamat pengajian, saya dapat kerja di sebuah syarikat swasta. Kemudian saya bertemu dengan seorang lelaki yang kini telah menjadi suami saya. Orangnya sederhana, bertanggungjawab dan sayangkan saya. Kami menikah dengan izin mak.

“Sejak bernikah, saya tidak balik lagi ke kampung berjumpa mak dan suaminya. Tetapi saya masih berhubung dengan adik-adik yang juga telah berkeluarga. Setiap bulan saya kirimkan duit belanja untuk mak. Mak tidak bersalah.

“Keluarga suami terlalu baik melayan saya sehingga ke hari ini.

Bukan saya tidak sayang mak tetapi sebab ada bapa tiri, hati saya menjadi tawar untuk balik ke rumah. Saya berdoa agar Allah akan membuka pintu hati saya untuk kembali bersama mak.

Kepada siapa hendak mengadu.

“Sekarang saya hanya berdoa dan selalu mendekatkan diri kepada Allah kerana dia Maha Mendengar dan Melihat. Saya bukan utamakan keluarga mentua, tetapi saya sedih dengan apa yang berlaku kepada saya dulu.

“Sampai saat ini, mak dan nenek tidak tahu apa yang berlaku. Saya simpan rahsia ini kerana tidak mahu rumahtangga mak musnah. Walaupun telah 10 tahun berlalu, tetapi saya masih tidak dapat peristiwa tersebut.

“Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk maafkan bapa tiri dan kembali kepada mak dan adik-adik macam dahulu. Saya rindukan mak dan adik-adik. Saya juga sangat berharap bapa tiri telah bertaubat! ’’ doa Atiqah sebelum menamatkan ceritanya.

Kisah yang diceritakan Atiqah buan perkara baru yang didengar.

Banyak kes seumpama ini berlaku dalam masyarakat kita, Cuma tidak dihebohkan kerana tidak mahu aib. Saya puji sikap Atiqah yang bijak menangani masalah ini walaupun ia menyebabkan tekanan perasaan kepadanya.

Pesanan saya, Atiqah perlu berusaha untuk kembali kepada mak dan adik-adiknya seperti masa lalu. Lupakan masa silam.

Maafkan bapa tiri. Bersyukur kerana dia menjaga mak dengan baik. Saya pasti dia juga telah insaf dan bertaubat serta menyesal dengan perbuatannya itu.

Menutup kata, sesungguhnya rahmat Allah amat dekat dengan mereka yang berbuat baik dan memaafkan orang lain terutama orang-orang yang wajib kita hormat dan sayang. Semua orang buat silap dan mereka perlu diberi peluang kedua, manusia juga seperti pasir di pantai, sekali ombak menghempas, sekali ia berubah.

Salam