Teks untuk Podcast 4 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Kosmo bertarikh 23 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kosmo 2

Kisah menakjubkan Robert Hoge

Pernah disisih ibu kandung sendiri

ROBERT HOGE tidak kelihatan seperti bayi normal yang lain ketika dilahirkan di Australia kira-kira 44 tahun lalu.

Namun, itulah yang menjadikan hidupnya satu kisah yang sukar untuk dipercayai dan sangat istimewa pada hari ini.

Hoge dilahirkan dengan tumor sebesar bola tenis di tengah bahagian mukanya. Sehari selepas dilahirkan, ibu Hoge bergelut dengan perasaan sendiri kerana tidak dapat menerima kekurangan anaknya itu.

Namun, ibu Hoge bukan seorang individu yang jahat kerana wanita itu bertanggungjawab menjadikan dia seorang yang sangat luar biasa ketika ini.

“Dia sangat hodoh. Saya berharap agar dia mati.

“Saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap bayi ini dan saya benar-benar tidak mahukannya.

“Saya juga tidak mahu membawanya pulang ke rumah,” kata wanita itu kepada ahli keluarganya yang lain sambil merujuk kepada rupa paras Hoge.

Sememangnya, kelahiran Hoge sangat mengejutkan ahli keluarga sehingga ibunya sendiri cuba mengelak untuk melihat sepanjang minggu pertama dilahirkan.

Namun, perasaan itu mula berubah dan ibu Hoge belajar untuk menerima kehadiran bayi kelimanya itu.

Selepas satu perbincangan bersama ahli keluarga diadakan, barulah wanita itu mengambil keputusan untuk membawa Hoge pulang ke rumahnya.

Malah, keempat-empat adik-beradik yang lain juga mahu Hoge menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Dari satu sudut, penerimaan ahli keluarga itu mungkin kelihatan seperti memberi sedikit kelegaan kepada ibu Hoge.

Namun, dari sudut yang lain, ia sebenarnya menuntut wanita itu menjadi seorang yang tabah untuk memahami dan mempertahankan keprihatinan terhadap bayi tersebut.

Mimpi ngeri

Jelas ibu Hoge, dia sangat gugup untuk menerima kehadiran seorang anak yang memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang rapi.

Malah, kelahiran Hoge dianggap sebagai satu mimpi ngeri apabila dia dan keluarganya dibuli serta diejek gara-gara penampilan yang jelak.

Namun, hasil sokongan keluarga yang sangat baik, Hoge menjalani pembedahan bagi membuang tumor pada mukanya selain membentuk semula hidung menggunakan tulang rawan daripada tumit kaki kirinya.

“Ia (pembedahan) berjalan dengan lancar. Namun, apa yang menyedihkan, selepas pembedahan itu, kaki kiri saya mula berada dalam keadaan yang sangat tidak baik, sekali gus memaksa doktor untuk memotong dan digantikan dengan kaki palsu (prostetik),” jelasnya.

Hoge memberitahu, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mendedahkan nama ibunya itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Hoge mendedahkan bagaimana dan kenapa dia sangat memahami perasaan ibu terhadapnya dan kenapa wanita itu menerimanya walaupun dia dilahirkan tidak normal.

“Bagaimana saya mengetahui semua itu ialah kerana salah seorang doktor yang merawat saya pada ketika itu menasihati ibu supaya menyimpan sebuah diari.

“Ibu menyimpan diari berwarna biru dengan tulisan tangan yang sangat cantik dan ia tidak pernah disembunyikan daripada saya.

“Diari itu sentiasa ada bersamanya, sama ada ketika dia berada di sofa atau di bilik tidur. Setiap detik, saya meminta dia membaca sebahagian daripada kandungan diari itu.

“Apa yang ditulis di dalam diari itu ialah luahan hati yang sangat terbuka dan ikhlas tentang perasaan sebenar ketika saya dilahirkan. Ia sememangnya sangat penting untuk membantu dia memahami kedudukan sebenar saya di dunia ini,” kata Hoge.

Ceritanya lagi, dia mula mengambil tahu tentang perasaan ibu ketika dilahirkan sebaik berusia 10 tahun.

Katanya, apa yang berlaku dalam kehidupannya umpama sebuah drama yang mempunyai babak sedih di pertengahan tetapi berakhir dengan kisah yang gembira.

Malah, dia menganggap senario itu berlaku apabila kedua-dua ibu bapanya membuat keputusan untuk membawanya pulang ke rumah selepas dilahirkan dalam keadaan tidak normal.

Hoge turut mengakui, dia tidak pernah berasa kecewa dengan kata-kata ibunya. Malah, dia menganggap ahli keluarganya sebagai sangat menakjubkan, penyayang dan mengambil berat akan dirinya.

Kerjaya

Tambahnya lagi, apabila sudah berkahwin dan menjadi bapa ketika berusia 30 tahun, dia mula benar-benar memahami bagaimana perasaan ibunya.

“Saya beranggapan, sudah tahu apa yang ibu lalui selepas melahirkan saya, namun apabila saya menjadi seorang bapa, baru saya sedar bahawa apa yang dilakukannya merupakan sesuatu yang terbaik.

“Sebagai seorang yang bekerjaya dengan empat orang anak yang perlu diberi perhatian, ibu sebenarnya tidak pernah tahu bahawa dia akan melahirkan seorang bayi dengan isu yang sangat kompleks, namun dia masih kelihatan baik,” katanya.

Hoge turut memberitahu Daily Mail Online bahawa dia mempunyai perasaan yang positif terhadap ibu selain menyifatkan ahli keluarganya sangat luar biasa, penyayang dan mengambil berat.

Kini, Hoge dan isterinya, Kate bersama dua anak perempuan mereka menetap di Wynnum, sebuah kawasan bandar yang terletak di pesisiran Teluk Moreton di Brisbane, Australia.

Hoge memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan sebelum menjadi penjawat awam, pakar motivasi dan penulis buku.

Pada 2013, Hoge mengasah bakat penulisan dengan mengabadikan kisah hidupnya dalam bentuk sebuah memoir bertajuk Hodoh.

“Ia merupakan sebuah kisah yang sangat menyentuh perasaan mengenai seorang budak lelaki yang membesar dengan berfikiran dia merupakan seorang yang normal, namun akhirnya secara perlahan-lahan terpaksa menerima hakikat bahawa dia bukanlah seperti yang disangka.

“Cara bagaimana dia menceriakan kehidupan dengan tidak hanya menerima keadaan dirinya tetapi juga meraikan dirinya sendiri sebagai seorang insan yang istimewa di dalam sebuah masyarakat,” kata seorang pembaca laman web Amazon.

Hoge kini dalam program jelajah di Amerika Syarikat untuk berkongsi kisah luar biasa itu, sekali gus membantu merangsang individu lain untuk menerima keadaan diri masing-masing seadanya.

Dia turut menolak untuk melakukan pembedahan lanjut bagi merubah wajahnya menjadi lebih konvensional.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s