Teks untuk Podcast 2 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kisah Masyarakat

Rasaidi Tow enggan hidup susah lagi

Satu ketika dahulu, Rasaidi Tow Abdul Rashid Tow, 40, pernah berdepan ujian sukar apabila salah seorang anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan, menyebabkan dia terpaksa berulang-alik ke Hospital Kajang dari rumahnya di Semenyih, Selangor, selama 32 hari dalam proses mendapatkan rawatan.

Ekoran keadaan mendesak, dia dan isterinya, Noraini Abdullah, 40, terpaksa berhutang dengan ah long sebanyak RM2,000 dan perlu melunaskan hutang berkenaan sebanyak RM45 sehari. Jika tidak dilakukan demikian, bimbang peratus faedah akan lebih banyak dikenakan atau perkara buruk lain berlaku.

Walaupun diburu rasa kesal kerana terpaksa berhutang, namun dia tiada cara lain demi menyelamatkan nyawa anaknya serta perlu menyediakan keperluan keluarga.

Ketika itu, dia menanggung tujuh orang anak dengan pendapatan sebagai penjual alat permainan di pasar malam dan memperoleh pendapatan yang kecil.

Namun, rezeki Allah tidak mengenal hambanya apabila dia mendapat tawaran berniaga di sebuah tapak festival dan beroleh sedikit keuntungan membolehkan dia membayar kesemua hutang ah long.

Sejak dari itu, Rasaidi Tow dan isterinya nekad tidak mahu berhutang lagi.

Bersandarkan kemahiran memasak isterinya, mereka cuba berniaga gerai makan kecil-kecilan bermula di bazar Ramadan dan pasar malam sekitar Semenyih, Selangor.

Atas keprihatinan rakan-rakan yang melihat kesusahan Rasaidi Tow, mereka menyuruhnya meminta bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor yang membolehkan dia menerima bantuan di bawah kelompok asnaf sejak 2011.

Menurut Rasaidi Tow, detik perubahan hidup keluarganya bermula pada tahun yang sama apabila lembaga zakat itu bersetuju memberikan bantuan modal sebanyak RM3,000 bagi memajukan perniagaan gerai makan itu.

“Selepas saya menerima bantuan kewangan, permohonan saya untuk memiliki lori Usahawan Zakat Selangor pula diterima. Saya turut mendapat bantuan barangan bernilai RM9,000 termasuk dapur, pengukus dan dapur tungku pada awal tahun lalu.

“Saya dibantu sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor, semua peralatan gerai makan ini adalah duit zakat. Sebab itu saya berniaga bersungguh-sungguh dan niat saya adalah untuk membantu keluarga. Saya mahu anak-anak dapat bersekolah dan jadi orang berguna,” katanya.

Rasaidi Tow yang kini telah mempunyai 11 orang anak mengakui bantuan zakat merupakan pertolongan utama yang diterima dan digunakan sebaik-baiknya untuk keperluan keluarga termasuk menampung pendidikan anak-anak, bayaran sewa rumah serta perubatan.

Jelasnya, gerai makan yang dibuka setiap hari kecuali Isnin, memastikan dia dan isterinya perlu membuat persiapan seawal 6.30 pagi, kerana gerai perlu dibuka sepenuhnya pada 10.30 pagi.

Tambah lelaki itu, dalam soal penjagaan anak-anak di rumah sepeninggalan mereka berniaga, anak-anak yang agak dewasa akan bergilir-gilir menjaga adik-adik mereka yang masih kecil sebelum ke sekolah petang atau selepas pulang sekolah sesi pagi – Gambar Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Tekad bantu orang lain

Biarpun pernah melalui kesukaran hidup satu ketika dahulu, namun usaha Rasaidi Tow untuk keluar dari kepompong asnaf menemui jalannya apabila mengusahakan gerai makan D’Santai Corner yang membolehkan dia memperoleh pendapatan kasar mencecah RM30,000 sebulan dan mampu mengupah seorang pekerja sebagai pembantu.

Ujar Rasaidi Tow, sudah sampai masanya dia keluar daripada menerima bantuan zakat dan kini dia pula perlu memberi zakat kepada orang lain agar rezeki dapat dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan.

Pesannya, jangan malu bergelar asnaf, namun jauh di dalam hati perlu menanam azam untuk berjaya di dalam hidup dan usah berhenti berusaha dan membantu orang lain jika mampu.

“Saya memasang impian untuk keluar daripada asnaf dan saya yakin tahun ini saya pula akan memberi zakat kepada orang lain kerana selama ini ramai orang telah membantu saya melalui wang zakat.

“Untuk berjaya dan keluar daripada kemiskinan, kita kena korbankan tenaga dan kudrat hidup, kita kena azam untuk berubah,” katanya

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s