Teks untuk Podcast 1 Oktober 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Sinar Harian bertarikh 22 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Dari Menara KL

Setin sardin dan seribu beg tangan

 

INI cerita benar, kisah orang biasa. Sementara menunggu isteri berbelanja barang keperluan dapur di sebuah kedai ikan di Kampung Medan, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, saya meneruskan tabiat ‘mengeteh’ di warung berhampiran.

Sebungkus nasi lemak dan teh tarik gelas besar adalah prasyarat menjadi drebar menemankan orang rumah setiap pagi minggu. Sebaik tegukan pertama minuman kegemaran ramai itu, saya disapa oleh seseorang.

“Datuk memang tidak kenal saya, tetapi saya kenal Datuk,” katanya bersalaman mesra sekali. Memang saya tidak tahu siapa, tetapi ikhlas saya mempelawanya duduk.

Kami sama-sama bersarapan di warung yang semakin penuh dengan pelanggan pagi itu. Mat Seman – bukan nama sebenar – kini menganggur setelah dibuang kerja tiga bulan lalu. Jawatan terakhirnya ialah penjaga stor di sebuah kilang yang terpaksa memberhentikan lebih separuh pekerja, sebab bisnes kantoi.

Perihal kesempitan kewangannya – kini hanya bergantung pada gaji isteri sebagai juruwang di sebuah pasar raya – untuk membiayai tiga orang anak masih bersekolah, tidak perlu ditulis, sebab saya percaya semua orang faham dan dapat merasakan.

Ketua keluarga berusia 47 tahun itu telah lama mengeluh mengenai belanja hidup. Lama sebelum diberhentikan, tanpa sesen pun pampasan, dia sekeluarga sudah cukup berasa tertekan. Almaklumlah duduk di KL dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,000, dikira miskin.

Dia tidak tahu hal-hal ekonomi, jauh sekali untuk memahami selok-belok perdagangan antarabangsa, pasang-surut politik global, trend naik-turun pasaran saham, sukuk, dan lain-lain istilah yang entah apa-apa itu.

Tetapi sebagai suami dan ayah, dia dapat merasakan kesan kejatuhan RM yang menyebabkan harga semua barangan mencanak macam roket DAP. Dia memberi contoh, setin sardin yang dulu sekitar RM4.50, kini menjadi RM7.20, malah di sesetengah kedai runcit dijual pada RM8.

Dia tidak mampu membeli epal dari Washington, strawberi dari London, atau anggur dari California. Tetapi untuk membeli mangga harumanis dari Perlis atau jambu batu dari Tambun, Perak pun dia tidak berupaya lagi. Hatta pisang nangka yang belum lama dulu RM3 sekilo, kini melonjak RM5 atau RM6.

Penanda aras belanja harian keluarganya ialah ikan kembung yang sejak sekian menjadi sajian. Memang, dia tidak mengharap ikan ‘kelas rendah’ itu dijual pada harga RM5 atau RM6 sekilo macam dulu-dulu. Tetapi dia tidak dapat menerima hakikat bahawa ikan itu kini dijual di pasar Kampung Medan pada harga RM12 per kilo.

Betapa ikan yang dulu ‘marhaen’ kini menjadi ‘elit’. Dan, betapa halnya ikan-ikan yang dulu memang ‘elit’ – tenggiri, bawal, senangin, sotong, ketam, udang, dan sebagainya – kini menjadi lebih elit dan eksklusif. Demikian antara kesan kejatuhan RM yang terasa benar oleh Mat Seman.

Dia mengeluh perihal nasi lemak bungkus sebesar penumbuk yang setahun dulu RM1.50 kini menjadi RM2, dengan hirisan timun makin tipis, hanya dua ekor bilis dan tiga biji kacang tanah. Dan betapa pisang goreng, karipap, apam balik semakin kecil. Juga roti canai semakin tipis; bukan lagi ‘sekeping’ tetapi ‘sehelai’ roti canai.

Pagi petang, siang malam, dia sesak dalam kesempitan. Makan beras kelas paling bawah. Sayur jarang ada sebab sawi, timun, kubis hatta kangkung pun sudah di luar kemampuan dompet. Kalau ada rezeki, boleh berlauk ayam. Tetapi ayam pun selalu melepasi harga syiling, dan pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa, cakap sahaja berdegar-degar!

Tambang bas sekolah, belanja anak-anak di kantin, kasut dan uniform sekolah yang terpaksa ditukar setiap setengah tahun, yuran kelas, duit PIBG, belanja kokurikulum…semua semakin menyempitkan perasaan. Setiap detik hidup tertekan.

Dalam situasi serba sempit dan tertekan, Mat Seman tidak ambil peduli pun tentang GDP, pendapatan per kapita, graf ekonomi, prasarana kelas pertama, negara berpendapatan tinggi, pemacu ekonomi, dan macam-macam istilah. Dia tidak kisah semua itu, sebab yang penting baginya ialah perut anak-anak.

Tetapi dia masih peduli mengenai ada sesetengah orang songlap duit bank RM juta-juta, ada perasuah yang sakau duit rakyat, pakai kereta mewah, ada berpuluh jam tangan mewah, hidup serba-serbi mewah.

Ketika Mat Seman berfikir tiga empat kali hanya untuk membeli setin sardin – takut anak kempunan – ada sesetengah orang begitu mewah berbelanja sana-sini untuk pakaian, aksesori tubuh, kasut, beg tangan, emas, berlian, macam-macam.

Bukan auta, ini kisah benar orang biasa. Ada beribu orang seperti Mat Seman. Siapa yang peduli pada mereka!

Advertisements

Teks untuk Podcast 28 September 2016

Podcast tersebut merupakan rakaman audio sebuah rencana yang diambil daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 September 2016 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Di Celah-celah Kehidupan

Daripada dipukul lebih baik jadi ibu tunggal

“TERPANGGIL dengan kisah puan Maryani tentang ‘lelaki plastic tak layak untuk anak dara emas’ membuat saya ingin berkongsi pengalaman pahit yang saya lalui lima tahun lalu, kini walaupun sudah bergelar ibu tunggal dalam usia muda, tetapi saya rasa bangga kerana dapat menguruskan anak-anak dengan baik dan tidak menyusahkan emak ayah lagi.

“Saya rasa hidup saya sekarang semakin hari semakin selesa, sebab tidak lagi menyusahkan hidup emak ayah seperti yang terpaksa kakak saya lalui, semuanya gara-gara ikut perintah suami, nak jadi isteri solehah, takut masuk neraka kerana syurga di bawah tapak kaki suami.’’ Itu pandangan Hazreene dalam e-melnya.

“Melalui coretan ini saya ingin menasihatkan kaum wanita yang sudah bersuami dan ada anak tetapi tolong jangan berhenti kerja walaupun anda menghadapi masalah seperti saya didesak suami supaya berhenti kerja. Sebab belum tentu suami boleh menunaikan kewajipannya setelah berhenti nanti. Contohnya kakak saya, dan juga puan Maryani yang kisahnya dipaparkan beberapa minggu lalu.

“Kakak saya seperti suaminya lulus SPM, sama-sama dapat kerja jadi kerani. Tetapi suaminya tak sabar dan tak betah bekerja, nak cepat kaya, mulalah buat dua kerja nak jadi orang bisnes, sebab dia percaya hanya dengan berniaga boleh jadi kaya. Namun nasib tak menyebelahi dia, akibat kurang pengalaman, bisnes terjun lombong dia banyak hutang.

“Ketika itulah kakak jadi penyelamatnya, pinjam sana pinjam sini termasuk gadai tanah emak untuk tolong suami buat bisnes. Sebab ketika itu suami sudah berhenti kerja. Berkat doa isteri dan keluarga, bisnesnya naik semula.

“Tetapi kelemahan orang lelaki ni dia tak pandai urus kewangan. Tak lama berniaga mulalah bisnes nak hancur. Untuk selamatkan bisnesnya, kakak disuruh pinjam lagi. Bila gagal, kakak jadi mangsa, pergaduhan sering berlaku, akhirnya bercerai.

“Lebih malang ketika itu kakak sudah berhenti kerja atas arahan suami disuruh bekerja di pejabatnya, puncanya kakak marahkan suaminya ada kekasih baru, jadi untuk buktikan kebenarannya, suami suruh kakak kerja di pejabatnya. Malangnya ketika itu bisnes suaminya sudah dihujung tanduk, dan kakak tidak tahu. Sia-sia kakak berhenti kerja, kerana tak ada duit kakak terpaksa duduk menumpang di rumah emak.

“Itu dugaan yang terpaksa kakak tanggung, namun dugaan saya juga sama maha beratnya. Suami saya Ezatt desak saya segera berhenti kerja, membuatkan hidup saya tak tenteram. Ketika itu saya hampir sasau, puncanya kerana cemburukan saya, kedua kerana gaji saya lebih tinggi daripada dia, dan saya tidak beri dia urus gaji saya.

“Dia lulus SPM saya ada diploma, bukan tinggi sangat, tetapi bab pendapatan memang saya dapat lebih daripadanya. Lagi pun saya tekun bekerja, bukan macam dia kerja ikut suka dan tak pernah senang hati dengan majikannya.

“Apa yang menjadikan dia bertambah marah apabila permintaannya minta duit gaji saya dicampurkan dengan gajinya, saya tolak, sebab daripada awal lagi saya lihat dia cuba kawal pendapatan saya. Dia yang tentukan apa perabut nak beli, apa makanan elok untuk kami. Sebenarnya ini semua bukan isu besar, kerana lebih besar lagi dia tak suka saya beri duit kepada emak ayah saya setiap bulan, katanya saya ada suami, maka saya mesti ikut cakapnya. Mesti bantu suami, bukan emak ayah lagi.

“Nak bantu macam mana lagi? Boleh dikatakan banyak urusan dalam rumah, saya yang bereskan. Duit gajinya cukup untuk dirinya sendiri, minyak motor, beli susu anak, bayar utiliti dan topup telefon dia. Yang lain saya selesaikan. Bukankah saya sudah membantu?

Duit gaji

“Memang betul saya kena dengar dan ikut perintah Ezatt, tapi saya juga ada hak bersuara, sebab bukan semua kata dan pendapatnya betul. Dia juga mesti beri contoh seorang suami yang baik. Tapi tidak! Contoh! dia solat kadang-kadang, puasa jarang-jarang, tapi cakap pasal syurga neraka, kalahkan ustaz. Sebab dia marah apabila saya tak beri duit gaji pada dia.

“Kata Ezatt apabila seorang wanita itu berkahwin dia mesti beri pendapatan kepada suami. Sebab kalau suami tak izinkan dia bekerja, isteri tak boleh bekerja. Kalau macam tu dia sepatutnya cari isteri tak bekerja daripada awal, bukan isteri macam saya yang bekerja.

“Saya pernah dengar ceramah agama, beberapa orang ustaz cakap tidak wajib isteri tanggung suami, dan tak berdosa kalau isteri beri emak ayahnya duit, asalkan si isteri beritahu suaminya. Tapi Ezatt marah tak benarkan saya beri pada emak, sebaliknya mesti beri pada dia. Dia bertambah sakit hati bila dapat tahu pendapatan saya lebih tinggi daripada dia setiap tahun.

“Oleh sebab saya ingkar pada perintahnya dia desak saya berhenti kerana dia rasa malu kerana kekurangannya. Oleh sebab saya tak mahu berhenti, dia cari pelbagai masalah dan kesalahan saya dalam menguruskan rumah. Mula tuduh saya masak tak sedap, rumah tak bersih, pengasuh yang jaga anak tak betul. Kerana terlalu banyak kerenahnya menyalahkan saya dan saya cuba mempertahankan diri, maka berlakukan bertengkaran demi pertengkaran yang berakhir dengan tangannya mula naik ke kepala dan badan saya.

“Tak puas hati dengan masalah rumah maka dia mula reka cerita, dia tuduh saya tak mahu berhenti kerja kerana saya ada ‘jantan’ yang saya layan di pejabat. Sebab tu saya tak layan dia dengan baik. Nak layan macam mana. Bila balik rumah, serba tak kena sebab dia sentiasa cari jalan salahkan saya. Bila balik lambat saya beli lauk di kedai, dia tak suka makan. Bila masak pulak dia kata masakan saya tak sedap.

“Cuba fikir disebabkan selalu kena marah, kena pukul macam mana saya ada hati dan perasaan nak sayang dan layan dia. Saya jadi hilang nafsu, dan tak ada hati nak layan dia dengan baik. Kerana marah dia mengadu kepada keluarganya, dia sengaja nak malukan saya. Mentua pun mulalah buka ‘kitab tak berbaris’ nasihatkan saya supaya layan suami, tak baik, berdosa tak layan suami nanti masuk neraka, tak cium bau syurga. Tapi emaknya tak tanya kenapa saya hilang nafsu pada suami. Tentu tidak, sebab dia cuma dengar apa yang anaknya cakap sahaja.

“Bagaimanapun oleh sebab hendak rumah tangga kembali aman, saya berusaha buang yang keroh ambil yang jernih, saya buat pengakuan saya tak ada kekasih di pejabat kalau itu menjadi kemarahannya. Tapi dia tak percaya. Akhirnya saya terpaksa beri duit gaji pada dia supaya dia uruskan rumah tangga kerana itu kehendaknya yang hakiki.

“Bulan pertama masuk bukan keenam memang nampak baik, dia tunjukkan pada saya duit yang dia simpan. Bukan duit gajinya tapi duit saya. Setahun lamanya saya diam, saya fikir tentulah simpanan bertambah. Nak jadikan cerita kereta rosak saya suruh dia hantar bengkel. Dua minggu tak siap, saya terpaksa naik motor dia ke pejabat. Waktu itu nak hantar dan ambil anak ke rumah pengasuh jadi masalah. Pastilah saya sampai pejabat lewat.

“Saya suruh dia desak pomen bengkel supaya cepat siapkan kereta. Masa berlalu hingga sebulan lebih. Kereta tak siap jugak. Satu hari saya terjumpa surat bengkel sebut jumlah kerosakan mencecah RM800. Saya suruh dia bayar segera. Ketika itu baru terbongkar rahsia dia kata duit tak ada. Apa hal dengan simpanan yang dia tunjukkan pada saya dulu? Katanya dah habis kerana beli barang makan. Apa lagi pertengkaran pun berlaku antara kami. Saya ditampar dituduh melawan suami.

“Peliknya sepanjang lebih setahun saya serahkan gaji saya pada dia untuk uruskan keluarga tak timbul pun cerita saya ada skandal layan jantan lain ataupun masakan saya tak sedap, saya isteri pemalas dan macam-macam lagi. Semuanya bertukar jadi baik. Boleh dikatakan kami jarang bertengkar apa lagi kena pukul. Rupanya duit gaji saya ini besar kuasanya, boleh menutup semua kesalahan saya selama ini. Jadi duitlah segala-galanya!

“Kerana kereta penting untuk kegunaan saya ke pejabat dan urusan hantar anak-anak ke rumah pengasuh, saya terpaksa pinjam duit ayah untuk bayar bengkel kereta. Bila dapat kereta kembali, baru saya tahu, kereta saya dah lama siap, tapi tak diambil. Tentulah masalah Ezatt tak ada duit nak bayar pada bengkel.

“Kerana tak puas hati dan sakit hati saya tanya Ezatt apa jadi dengan simpanan yang dia tunjukkan pada saya dulu. Katanya habis. Oleh sebab dia tuduh saya ada jantan lain, maka saya tuduh dia adakah dia gunakan duit simpanan untuk joli dengan perempuan lain? Memang soalan saya menyakitkan hatinya. Tujuan saya supaya dia sedar jangan suka tuduh saya buat jahat, cermin diri sendiri.

“Lepas peristiwa itu saya tak beri lagi duit gaji saya, dan saya pastikan semua urusan rumah saya bereskan. Tetapi Ezatt tak puas hati. Mulalah lagu ‘isteri derhaka kembali bersiaran.’ Oleh sebab saya sabar dan diam malas bertengkar, kerana fikiran buntu sebab kena ganti duit ayah yang saya pinjam. Maka Ezatt beri kata dua kalau saya masih beri pada emak dan ayah duit, maka dia akan ceraikan saya.

“Akhirnya walaupun saya masih sayangkan Ezatt, tetapi saya terpaksa fikirkan masa depan saya dan anak-anak, saya kata pada Ezatt saya tak mahu bercerai, tetapi saya tak boleh ikut kehendaknya, dan jika dia tak boleh terima permintaan saya maka saya tidak ada pilihan terpaksa terima keputusannya menceraikan saya.

“Tiga bulan lamanya kami berfikir, akhirnya Ezatt buat keputusan ceraikan saya, alasannya saya tidak mahu berhenti kerja. Saya diceraikan talak satu. Kata mentua saya esok lusa bila dah tenang bolehlah rujuk semula. Tetapi saya sudah tetapkan hati, saya lebih rela jadi ibu tunggal demi masa depan kami anak beranak.’’ Itu cerita Hazreene, nasihatnya kaum wanita jangan takut jadi ibu tunggal jika kita berada di tempat yang benar.