Teks untuk Podcast 2014 012 03

Podcast 2014 012 03, merupakan bahagian ketiga rakaman audio rencana-rencana daripada Mingguan Wanita 20 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Motivasi

Tersungkur oleh cinta

Daripada anak matanya saya dapat menduga dia masih dalam kecelaruan. Meskipun keseluruhan mukanya ditutup bagaikan ninja, saya masih boleh melihat kesedihan daripada anak matanya itu.

Lalu saya bertanya, “Setelah putus cinta apa yang dilakukannya?” Kedua-dua wanita yang menemani gadis berkenaan memberitahu dia terbabit dengan gejala sosial. Saya mengangguk tetapi hati saya keras untuk tahu gejala sosial apa.

Rupa-rupanya sangat kronik, hingga minum arak dan lesbian. Dia juga sudah hilang kepercayaan terhadap lelaki. Baginya kini semua lelaki tidak boleh dipercayai. Cintanya tumpah kepada wanita pula. Hubungan songsang pun berlaku.

Usianya masih terlalu muda, baru 17 tahun, tetapi pada usia demikianlah dia jatuh cinta dengan seorang pelajar kolej hingga berlaku perzinaan. Akibatnya dia hamil lalu pelbagai usaha dilakukan untuk menggugurkan kandungannya itu.

Pada ketika itu juga cinta mereka putus. Dalam kata lain lelaki berkenaan tidak mahu bertanggungjawab tentang apa yang mereka telah sama-sama lakukan.

Terlalu kecewa dan terlalu sedih menyebabkan dalam usia semuda itu dia mengambil arak konon untuk melupakan masalah yang melanda. Bukan itu sahaja, hampir semua perbuatan buruk yang membabitkan maruah diri turut dilakukannya. ‘

Akhirnya dia dihantar ke sebuah rumah perlindungan dan pemulihan akhlak persendirian di Kuala Lumpur. Dari sinilah saya ditemukan dengan gadis berkenaan dalam satu rancangan khusus untuk wanita di TV. Matlamat rancangan berkenaan adalah supaya anak-anak gadis tidak bertindak yang sama.

Sebagai pakar cinta yang dijemput, saya mengatakan, tidak salah bercinta sebab itu adalah naluri, setiap manusia mahu dicintai dan mahu mencintai. Cinta itu indah dilalui apabila ia menuju matlamat suci yang dirancang tetapi akan menjadi masalah apabila ia tidak kesampaian.

Apa yang berlaku kepada mangsa berkenaan yang hilang kegadisan hanya oleh terlalu cinta tidak harus berlaku kepada orang lain pula. Cinta tidak perlu sampai terkorban diri tetapi jika hendak dibuktikan juga, kegadisan adalah harga yang terlalu mahal untuk dijadikan modal. Sebab, apalah lagi yang tinggal setelah kegadisan itu hilang? Si lelaki dengan mudah boleh `sapu punggung’ dan pergi sedangkan benih yang mula bertapak dalam rahim si wanita akan terus berkembang.

Usah hukum diri

Apabila saya bertanya apakah rasanya bercinta sesama jenis sedangkan dia seorang yang normal iaitu asalnya boleh mencintai lelaki dan bersyahwat terhadap lelaki hingga boleh berlaku perzinaan, gadis itu memberitahu dia terpegun oleh perhatian dan kasih sayang. Malah dia menyatakan tidak akan mempercayai lelaki lagi sampai bila-bila.

Saya memberitahunya dan seluruh penonton yang sedang menonton siaran langsung berkenaan, usah hukum diri sebegitu rupa sebab bukan semua lelaki tidak baik. Wanita juga demikian.

Usah ambil keputusan secara pukal sebab barangkali kita ditemukan dengan orang yang jahat kemudian berpisah untuk ditemukan dengan orang yang lebih baik lagi. Jika kita anggun kita akan bertemu dengan orang yang unggul. Andainya kita tunggul, yang tunggul jugalah yang akan kita temui nanti.

Kisah orang gagal bercinta bukanlah asing. la telah berlaku sejak kewujudan manusia lagi. Bukan sahaja cinta di kalangan anak muda tetapi pada orang dewasa juga. Hampir semua orang mengalaminya tetapi mengapa begitu ramai orang masih boleh bangkit sedangkan anda tidak?

Tidakkah anda lihat apa yang ada dalam jiwa adalah bukti ia boleh dilalui ataupun tewas kecundang? Pada jiwa yang lemah, ujian yang sedikit telah membawa duka lara yang panjang, tetapi pada jiwa yang kuat, ujian seberat mana tetap kecil baginya.

Oleh itu, kuatkanlah jiwa kita masing-masing. Rugilah membiarkan hati kita dibuai syaitan lalu terjerumus dalam lembah yang hina. Jika orang jadi kecundang dalam hidup oleh cinta yang gagal, mengapa tidak kita jadikan cinta kita yang gagal itu sebagai titik tolak untuk kehidupan yang lebih cemerlang?

Bukankah lebih baik membuatkan si durjana itu berasa kesal kerana mempermainkan cintanya daripada membiarkan dia tertawa kerana melihat kita tersungkur jatuh?

Bekerja Dari Rumah

Manfaat SOHO untuk wanita

Sebelum ini telah diterangkan tentang SOHO atau singkatan daripada Small Office Home Office yang juga bermakna operasi pemiagaan yang dilakukan di rumah. la memang sesuai untuk semua tapi tidak dinafikan cukup bermanfaat jika dijadikan pilihan wanita. Berikut faedah yang boleh mereka terima.

Anak-anak selamat di rumah

Tajuk-tajuk berita yang begitu kurang enak untuk dibaca seperti anak cedera di pusat asuhan atau mati tersedak susu di bawah jagaan pengasuh adalah antara dilema ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak. Namun demi ekonomi keluarga, ibu terpaksa keluar rumah bekerja.

Tapi jika di bawah penguasaan sendiri, sudah tentu anak-anak selamat. Bagaimana pula jika ada urusan di luar rumah sekiranya sudah mempunyai SOHO. Sudah tentu ada beberapa pilihan iaitu meletakkan separuh hari atau beberapa jam di rumah pengasuh ketika anda berurusan di luar.

Apa pun anda masih lagi ada banyak masa bersama anak-anak jika dibandingkan dengan ibu bapa yang seharian meninggalkan anak-anak. Seawal jam enam atau tujuh pagi sudah menghantar anak ke pusat jagaan dan malam pula barulah berjumpa mereka kembali. Itu juga perlu bertarung dengan agihan masa menguruskan hal-hal yang lain juga masa rehat untuk diri sendiri.

Antara pengalaman saya sendiri, ketika masih menetap di Kuala Lumpur jika mahu keluar sebentar memang sukar untuk meninggalkan mereka. Walau keluar untuk setengah hari saya perlu mencari alternatif dengan meninggalkan mereka di tempat asuhan atau di rumah jiran. Sudah semestinya khidmat perlu dibayar. Tapi kini memandangkan saya tinggal bersama ibu bapa, nilai tambahan ialah rasa anak-anak lebih selamat berada di bawah pengawasan datuk dan nenek mereka.

Lebih disiplin

Saya juga merasakan lebih berdisiplin dalam menguruskan rumah tangga. Tinggal di rumah orang tua juga boleh membantu meringankan beban mereka. Saya dapat kembali semula dengan niat asal untuk menemani mereka ketika usia emas. Saya juga dapat melakukan kerja dengan sempurna di rumah. Tak perlu tergesa-gesa mengejar masa. Apabila kita melakukan sesuatu dengan tenang hasilnya memang luar biasa. Jika buat dalam keadaan tergesa-gesa dan jiwa gelisah hasilnya pasti ‘kacau’.

Tempat paling sesuai untuk wanita

Rumah memang tempat paling sesuai untuk wanita. Aurat tidak dilihat oleh bukan muhrim malah keselamatan juga terpelihara. Sebenarnya bekerja di rumah lebih bebas terutama dalam aspek berpakaian. Sudah tentu sedikit sebanyak menjimatkan kerana tidak perlu membeli banyak baju kerja.

ANTARA WAHM & S0H0

Satu lagi istilah konsep bekerja di rumah yang sering didengar adalah WAHM atau singkatan dari Work At Home Mums (wanita bekerja di rumah). Apa bezanya dengan SOHO?

PERSAMAAN

  • Mempunyai ruang dan pejabat khusus di rumah. Ruang ini mempunyai kelengkapan dan peralatan yang lengkap untuk membantu melancarkan urusan kerja atau bisnes.

  • Kebebasan dalam melakukan hobi, minat, pengalaman ditransformasikan kepada pilihan kerja atau mengusahakan bisnes.

  • Bebas dalam membuat keputusan jadual kerja yang lebih fleksibel.

  • la boleh dilakukan secara sambilan atau sepenuh masa.

  • la boleh dijadikan sebagai menjana pendapatan sampingan.

  • Bisnes internet atau bisnes fizikal boleh sahaja diusahakan oleh individu yang berminat untuk menjana pendapatatan.

PERBEZAAN

  • WAHM menjadi pilihan sun rumah atau wanita yang bekerja dari rumah

  • SOHO boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berminat menjana pendapatan dari rumah sama ada lelaki, wanita, bujang, atau sudah berkeluarga, pelajar, warga emas.

  • Mempunyai perkaitan dengan bisnes berskala kecil.

  • Bengkel di tepi rumah, butik pakaian, butik andaman, kedai pakaian kanak-kanak adalah contoh perusahaan yang boleh dijalankan di rumah atau didirikan kedai, bengkel atau apa sahaja perusahaan yang berskala kecil.

  • Industri kecil sederhana adalah contoh bisnes skala kecil yang popular Malaysia.

Karier

Tip atasi rasa bosan bekerja

Ada ketikanya kita melalui hari di ternpat kerja dengan perasaan bosan. Bukan disebabkan tiada kerja tetapi jemu bergelumang dengan perkara sama setiap hari. Ketika bosan, kita asyik mengira waktu mengharapkan pagi segera bertukar petang.

Jika sering terhimpit dengan perasaan bosan di tempat kerja pekerja cemerlang sekali pun akan merudum prestasinya. Akibatnya tidak mustahil berlaku kes letak jawatan, mensabotaj rakan sekerja, mengabaikan kerja berkumpulan dan sengaja menggagalkan sesuatu tugasan. Kerja menjadi kurang produktiviti dan pelbagai kesalahan sengaja dilakukan.

Sememangnya perasaan bosan ini tidak boleh dibiarkan menghantui diri, bimbang akibatnya dibuang kerja. Oleh itu mari kita lihat cara menyuburkan semula semangat bekerja dan menjadikan hari-hari yang dilalui lebih ceria walaupun rutinnya masih di pejabat yang sama.

Segarkan emosi permulaan aktiviti

Segarkan emosi anda terhadap aktiviti seharian yang boleh memberi pengaruh kepada jiwa dan emosi. Mungkin ketika bersiap ke tempat kerja atau dalam perjalanan, anda boleh mendengar siaran radio yang segar dan bermotivasi.

Selain itu, tidur yang mencukupi dapat membantu permulaan hari yang baik. Jika anda berasa tidak bermaya amalkan makanan kesihatan yang dapat menambah nutrisi untuk saraf. Berdoalah semoga diberi semangat baru untuk meneruskan kehidupan seharian.

Hias meja kerja untuk hasil tenaga baru

Hiasan atau susun letak di meja kerja memainkan peranan penting terhadap emosi anda. Aksesori yang diletakkan boleh menambah keceriaan, keselesaan dan juga memberi tenaga baru, namun jangan terlalu penuh hingga nampak semak. Mungkin anda boleh hias dengan pokok kecil, mini akuarium, bar, kata-kata motivasi atau sebagainya.

Berehat seketika

Kadangkala, bukan kerja harian menyebabkan kita berasa bosan. la lebih kepada rasa penat yang dialami hingga menyebabkan ketiadaan tenaga dan semangat untuk bekerja.

Cara terbaik adalah berhenti seketika, tarik nafas sedalamnya kemudian lakukan beberapa gerakan ringkas yang akan melancarkan semula aliran darah dalam badan.

Selain itu, bekerja sambil berdiri seketika dapat membantu mengecas semula tenaga. Mungkin anda boleh melelapkan mata sebentar untuk mengatasi kepenatan, awas jangan sampai terlebih tidur.

Jadikan mesyuarat lebih produktif

Ramai orang tidak suka hadir mesyuarat, bosan atau selalu beranggapan membazir waktu. Sedangkan banyak kerja masih belum siap. Bagi mengatasinya sediakan perancangan mesyuarat agar perjalanan mesyuarat lebih teratur. Anda juga boleh berbincang sebarang idea dengan pengurus untuk menjadikan mesyuarat lebih produktif.

Beri nafas baru pada kerja yang dibuat

Jika anda sudah bosan dengan kerja seharian, apa kata beri nafas baru terhadap kerja tersebut. la bukan sahaja mengecas semangat, malah anda juga akan mendapat perhatian istimewa daripada pengurus atas usaha yang dibuat.

Selain itu mungkin anda boleh bertukar-tukar tugasan kecil dengan rakan sekerja. Ini akan membuatkan hari anda lebih menarik kerana anda belajar dan cuba membuat perkara baru.

Pekerja mungkin akan mengalami kesan psikologi sementara akibat kebosanan di pejabat seperti tekanan, tidak gembira dan kurang keyakinan diri. Pada masa sama perasaan bosan di pejabat sebenarnya adalah nilai yang sangat mahal harganya buat seorang pekerja kerana dia mungkin akan kehilangan bakat dan sumbangan penting dalam jangka masa lebih panjang jika dibiarkan berterusan.

Berjumpalah ketua untuk mengatasi masalah ini jika ia begitu serius buat anda Sudah menjadi tanggungjawab ketua membuatkan pekerja rasa selesa dan kurang tertekan. Mereka bukan sahaja mengurus kerja pekerja tetapi juga harus mengurus emosi pekerja. ltulah peranan ketua yang ideal.

Mengurus Kewangan

Pelajaran dari brosur bank

Kita biasa menerima brosur-brosur daripada pihak bank ke peti surat rumah. Lazimnya “surat-surat” sedemikian tidak disimpan lama malah terus masuk bakul sampah. Begitu juga dengan saya, tetapi kadang kala saya sengaja membacanya untuk mencari tip kewangan yang mahu diberikan kepada penerimanya. Berikut hasil pemerhatian saya, perenggan berwama ialah petikan asal diikuti dengan ulasan saya sendiri.

Mulalah menyimpan sebanyak RM200 sebulan ke dalam pelaburan yang akan meningkat purata sebanyak 8 peratus setahun dan selepas 30 tahun, anda akan memiliki sebanyak RM300,000. Jika anda mula 10 tahun lewat, anda perlu menyimpan sebanyak RM500 sebulan untuk mencapai jumlah yang sama. Lebih baik anda bermula dengan apa yang anda miliki sekarang daripada sesuatu yang tidak boleh kemudian.

Tip ini menggunakan keajaiban hukum kompaun (compound interest magic)untuk menghimpun wang secara sistematik dan selamat tetapi mungkin lambat sikit. Apa yang penting bukan pemahaman matematiknya tetapi pelaksanaan untuk memenuhi sebarang bentuk wawasan jangka panjang seperti tabung pendidikan anak.

Dapatkan pelan insurans yang sesuai agar anda tidak perlu menggunakan wang simpanan anda apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku. Menyerahkan risiko kepada syarikat insurans boleh membantu anda membayar kos rawatan perubatan, penyaraan hidup dan mungkin boleh memberi pendapatan seandainya anda tidak lagi mampu untuk bekerja.

Hidup kita sentiasa dihantui risiko. Sememangnya kita boleh mengambil banyak langkah untuk mengurangkan (menghapuskannya sukar) kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku kepada kita tetapi kadang-kadang jika sudah takdir….Kalau berlaku apakah kita sudah bersedia menghadapinya dari segi kewangan?

Kebolehan anda melakukan kerja untuk majikan bergantung kepada dua faktor – iaitu keupayaan anda dan kesihatan anda. Mutu kedua-dua faktor ini boleh merosot dan mengakibatkan beban kewangan kepada anda.

Biasanya pihak majikan ada menyediakan insurans kelompok. Bila sudah menerima surat pelantikan lihat kontrak insurans tersebut. Apakah sekiranya anda berkeluarga perlindungan tersebut boleh dilanjutkan secara percuma?

Ketahui juga jenis perlindungan yang diberikan. Adakah ia insurans hayat, insurans kemalangan atau insurans perub Kalau ada kekurangan dari segi faedah, lengkapkan dengan mengambil insurans peribadi. lnsurans sebegini boleh menjadi satu sistem “simpanan/pelaburan” paksaan yang mendisiplinkan anda.

Buat pelaburan

Melabur memang ada risikonya tetapi di sebaliknya, kalau anda tidak melabur risikonya lebih besar. Pelaburan boleh memberikan pendapatan untuk perbelanjaan anda dan boleh membantu anda bersara lebih awal. la juga boleh meningkatkan simpanan anda apabila pelaburan anda matang.

Pembaca mungkin bertanya bagaimana pula dengan instrumen tanpa risiko seperti simpanan tetap? Dalam kes simpanan tetap pulangannya memang boleh dijamin dan simpanan selamat tetapi hasil pulangan tidak menguja.

Katakan kita memberikan wang kita kepada Bank untuk disimpan di dalam akaun simpanan tetap. Tetapi pihak bank tidak akan memeram wang ini dalam gedungnya. bank mesti mencari pulangan yang lebih besar supaya boleh membuat untung di samping membayar balik faedah yang sudah dijanjikan kepada anda dan pada masa yang sama mengembalikan modal asal anda. Jadi pengurus pelaburan pihak bank sudah tentu tidak akan memindahkan duit tersebut ke akaun simpanan tetap yang lain contohnya di syarikat insurans untuk mendapat pulangan kecil.

Hakikatnya pihak bank sendiri perlu ambil risiko untuk mendapat pulangan tinggi. Jadi sebagai pelabur individu yang bijak, kenapa harus menyimpan semua duit dalam bank atau lebih tepat lagi akaun bank yang memberikan pulangan kecilan.

Kenapa tidak melabur terus di tempat yang bank sendiri melabur contohnya saham atau instrumen kewangan lain? Cara ini bagus kalau pelabur sedia membayar harga dan masa untuk memperoleh pengetahuan dan kepakaran berkaitan. Kalau pelabur ini tidak memiliki pengetahuan atau tidak berminat memantau dengan teliti, dia boleh menyerahkan tugas sukar ini kepada pengurus dana.

Untuk maklumat lanjut tentang konsultasi kewangan, bengkel, seminar dan buku-buku tulisan saya SMS kepada 017-8719444 atau emailkan kepada ilmudigital@gmail.com. Berita terkini laman web www.suntharasegar.com

Personaliti Lelaki

Shahiffei korban cita-cita demi bisnes kek lapis

Demi minat yang mendalam anak muda ini sanggup melupakan cita-cita yang diimpi sejak kecil demi menyertai bisnes ibunya. Meski tindakannya dipertikai namun kalau hati sudah tekad, ia tidak menjadi halangan.

Usahawan muda Mohan Shahiffei Masri Si Kumbang ini mengorbankan cita-cita sebagai jurutera kerana mahu menumpukan kepada perniagaan kek Iapis.

Graduan dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia ini bagaimanapun mengakui pada peringkat awal dia sendiri agak gusar dengan keputusan tersebut kerana bimbang bisnes kek lapis yang diusahakan tidak menjadi atau hanya sekerat jalan.

Namun, berpegang kepada kata-kata belum cuba belum tahu di samping menyahut seruan kerajaan yang mahu anak muda terbabit dalam perniagaan, dia bulatkan hati.

Memegang jawatan sebagai Pengurus Besar di Shaf Mujaheed Batrisya Enterprise perniagaan milik keluarga, dia mendapat-galakan dan dorongan daripada ibu bapanya. Bercerita tentang perniagaan kata pemuda berusia 24 tahun ini ia bermula oleh ibu ketika bapanya bekerja sebagai wartawan di kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia.

“Ayah saya mempunyai ramai kenalan kalangan masyarakat di sana. Pada satu ketika sewaktu di sana seorang kenalan mahu mengadakan majlis yang memerlukan pelbagai hidangan kuih-muih termasuk kek.

“Ibu memang pandai membuat kek lapis Sarawak dan kenalan ayah menempah dari ibu. Oleh kerana kek jenis ini hanya terdapat di Malaysia khususnya di Sarawak, mereka tertarik dengan keunikan dan kesedapan kek ini.

“Selepas itu mereka selalu menempah kek lapis dan ini memberi idea kepada ibu untuk membuka perniagaan,” ujar Mohamad Shahiffei atau lebih mesra disapa Shaf.

Kesungguhan ibu membuka mata

Sambungnya pada peringkat awal ibunya, Kartini Buyong hanya mengusahakannya secara kecil-kecilan tapi sambutan yang diterima memang di luar dugaan. Tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada ibunya mengembangkan perniagaan.

“Memang ibu sengaja buka di Semenanjung kerana di negeri kelahirannya Sarawak perniagaan kek lapis sudah banyak. Pada awal pembukaan iaitu pada tahun 2002 keadaan bisnes memang agak sukar kerana ketika itu kek lapis ibu belum begitu dikenali. Apatah lagi ketika itu masih belum ada laman sosial bagi mempromosikan produk.

“Kami hanya mempromosikan Kek Lapis Batrisya dari mulut ke mulut sahaja. Malah, ketika itu hanya berniaga di rumah sahaja. Selepas sembilan tahun mengukuhkan perniagaan kek lapis, Julai 2003 baru ibu mendapat keyakinan untuk melakukannya secara komersial,”ujar Shaf.

Katanya keyakinan itu datang selepas melihat permintaan dan sambutan terhadap kek lapis Sarawak makin tinggi. Inspirasi dan semangat yang ditunjukkan ibunya ini benar-benar membuka mata dan minda anak muda ini untuk membantu usaha ibu.

“Melihat apa yang ibu lalui barulah saya tahu untuk berniaga bukannya perkara senang dan banyak yang perlu diperhatikan. Malah, untuk memulakan bisnes ini secara serius memerlukan modal besar dan ada risikonya.

“Bertolak dari situ, saya nekad menolong ibu menguruskan perniagaan. Sebagai anak sulung, itulah peranan saya kerana kalau bukan anak-anak yang menolong siapa lagi. Saya tidak kisah cita-cita saya menjadi jurutera terkubur begitu sahaja kerana saya yakin perniagaan ini juga mampu mendatangkan hasil dan menjamin masa hadapan.

“Saya dan ibu dibantu oleh adik saya Mujaheed selaku pengurus pemasaran. Dia juga seperti saya sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pramugara kerana mahu menolong ibu,” ceritanya yang ditemui di kedai keknya yang terletak di Kampung Nakhoda, Batu Caves baru-baru ini.

Ejekan pembakar semangat

Cerita Shaf saat dia menyatakan mahu terlibat dalam perniagaan kek lapis, ada beberapa pihak yang cuba memperlekehkan niat murninya itu.

“Mereka mempersoalkan boleh hidupkah kalau setakat jual kek. Saya kuatkan semangat dan menganggap kata-kata mereka itu sebagai satu cabaran. Alhamdulillah setelah bekerja keras, akhirnya hasil itu nampak. Sungguhpun begitu kami masih lagi mencari idea untuk memastikan ia terus berkembang dan mampu bersaing.

“Kalau dulu kami hanya berniaga di rumah, kini alhamdulillah kami sudah mempunyai kedai dan kilang membuat kek di bawah syarikat Shaf Mujaheed Batrisya Enterprise dan kami juga menerima tempahan melalui talian dan laman sosial,” kata Shaf yang tamat pengajian pada tahun 2010 dan terus membantu ibunya.

Ujar Shaf dalam memasarkan kek lapis dan memastikan ia mendapat sambutan, dia amat menekankan kualiti, keaslian produk selain kelainan.

“Saiz kek kami lebih besar dengan harga berpatutan. Tapi diakui untuk menghasilkan kek lapis ini bukanlah mudah kerana ia remeh dan memakan masa. Jadi, selalunya kami menyarankan agar pelanggan menempah awal.

“Bagi memberi pilihan kami menyediakan lebih dari 30 jenis kek lapis Sarawak dan ia resipi turun-temurun. Malah, selain kek lapis kami juga berjinak-jinak menjual kek-kek terkini seperti kek keju meleleh dan kek keju nestum.

“Alhamdulillah kini kek lapis ibu makin mendapat sambutan, kami menerima begitu banyak sekali tempahan. Kalau dulu hanya musim perayaan sahaja tetapi kini setiap hari ada tempahan. Berikutan itu kami membuka francais untuk mereka yang berminat mencuba bisnes ini.

“Perancangan masa hadapan kami adalah membuka cawangan di zon selatan iaitu di Mersing, Johor. Kami sudah meninjau pasaran di sana dan mendapati permintaannya begitu tinggi,” katanya yang turut menerima tempahan daripada artis popular.

Dunia Lelaki

Hargai wanita lelaki perlu romantis

Dilayan bak puteri dan menerima kata-kata cinta pasti meninggalkan kesan di hati wanita. Bertuah badan andai ditakdirkan teman lelaki atau suami seorang yang romantis.

Tutur lembut dan perbuatan yang menyenangkan menjadikan wanita rasa sangat dihargai. Pun begitu selalunya perlakuan romantis lelaki biasa boleh dilihat menerusi drama cinta di televisyen. Tapi sebenarnya tidak salah sesekali mencuba menjadi romantis kepada pasangan anda.

Peka tarikh penting

Berbanding wanita yang mudah nnengingati tarikh penting dalam menjalinkan hubungan cinta, lelaki pula sebaliknya. Terima atau tidak, lelaki amat memandang remeh tarikh-tarikh penting yang berlaku dalam perhubungan. Oleh itu, tidak salah belajar mengingati tarikh-tarikh tersebut. Sebagai permulaan, tulis pada diari supaya anda tidak terlupa tarikh keramat dalam hubungan bersama pasangan.

Berikan kejutan

Sekali-sekala berikanlah kejutan kepada pasangan. Mungkin anda boleh membuat kelainan dengan menunjukkan kemahiran memasak di dapur. Lagi bagus andai anda boleh memasak makanan kegemaran wanita kesayangan anda. Percayalah usaha anda itu pasti membuatkan Si dia berasa bahagia dan terharu meskipun hasilnya tidak sesempurna mana.

Beri Pujian

Memahami wanita tidak sesukar mana. Anda boleh belajar memuji mereka meskipun untuk perkara remeh. Tambah bermakna, saat anda memuji Si dia, pandang tepat ke dalam matanya sambil memegang erat tangannya. Percayalah, wanita akan rasa lebih bahagia diperlakukan seperti itu.

Layanan istimewa

Andai hari-hari biasa dilalui dengan kesibukan menguruskan rumah tangga, apa kata anda mendukung Si isteri atau mengurut badannya yang keletihan. Pasti si dia rasa sangat disayangi oleh suami.

Tidak salah sekiranya anda memberikan layanan istimewa kepada si dia seperti membuka pintu kereta sewaktu menghantar Si dia pulang.

Pujukan manja

Si dia mungkin merajuk kerana mahukan perhatian daripada anda. Justeru cubalah belajar mengalah dan memujuk ketika si dia merajuk. Gunakan nada yang lemah lembut dan kata-kata cinta. Tidak salah anda menggunakan ayat-ayat seperti pada awal percintaan dahulu untuk memujuk. Paling terkesan andai anda memohon maaf atas kekasaran anda. Ingat jangan bersikap ego.

Berpimpin tangan

Masalah utama si suami adalah membiarkan isteri menguruskan anak-anak ketika keluar bersiar-siar misalnya. Tidak kira walaupun anda sudah mempunyai anak berjalanlah sambil berpegangan tangan bersama si isteri. Pasti isteri rasa sentiasa selamat kerana suami sentiasa memaut tangannya.

Kejutan bunga

Bunga amat sinonim dengan wanita. Mereka sangat menyukai bunga lebih-lebih lagi menerima kejutan bunga daripada orang yang dicintainya. Apa kata anda mengirimkan jambangan bunga ros ke pejabatnya tanpa si dia mengetahui. Selitkan juga kata-kata cinta kepadanya. Pasti si dia berasa terharu dengan kejutan istimewa anda itu.

Ungkapan sayang dan cinta

Lelaki memang terkenal dengan sifat sukar melafazkan kata sayang. la adalah kerana sikap ego yang ada dalam diri mereka. Sesekali belajarlah mengucapkan kata-kata cinta. Andai tidak mampu meluahkannya secara berdepan, ungkapan menerusi pesanan ringkas atau menulis di kertas yang kemudiannya diletakkan pada pintu peti ais juga boleh diguna pakai. Pasti hati si dia berbunga-bunga keriangan.

Beri sokongan

Memberi sokongan terhadap idea dan cadangan si dia pasti membuatkan wanita rasa dihargai. Sekiranya kurang bersetuju, mungkin anda boleh memberikan pendapat anda. Si dia pun mahu dengarkan pendapat anda. Bukannya kata-kata yang boleh melemahkan dan menjatuhkan semangat si dia.

Pelukan dan ciuman

Sewajarnya seorang suami terus memberikan pelukan dan ciuman buat isteri tersayang. Caranya ialah setiap kali sebelum keluar kerja, peluklah si dia dan berikan ciuman sebagai tanda kasih dan sayang anda.

Klinik Lelaki

Peluh berlebihan cetus gangguan psikologi

Ramai beranggapan peluh yang berlebihan adalah perkara normal yang berlaku dalam kehidupan seharian. Ubah tanggapan itu kerana ia mungkin masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian serius. Lebih-lebih lagi andai anda berpeluh tanpa sebab seperti sedang bersenam, melakukan kerja berat atau sebagainya.

Wanita mempunyai bilangan kelenjar peluh yang lebih banyak berbanding lelaki. Namun kelenjar peluh lelaki lebih aktif mengeluarkan peluh. Maka tidak hairanlah lelaki mengeluarkan lebih banyak peluh dan bila ia berlebihan, akan mengundang kepada penyakit yang dikenali sebagai hiperhidrosis.

TAKRIFAN

Hiperhidrosis atau masalah peluh berlebihan yang sehingga menitik dari badan adalah satu perkara tidak normal. Walaupun ia bukan penyakit kategori berbahaya namun boleh sebabkan gangguan psikologi.

Tiada punca tepat namun yang pasti aktiviti saraf simpatetik keterlaluan memberikan rangsangan kepada kelenjar peluh yang normal seterusnya menyebabkan kelenjar menghasilkan banyak peluh dalam masa yang singkat.

Hiperhidrosis berlaku hampir dua peratus daripada jumlah penduduk dunia. la juga bersifat keturunan dengan anggaran 30 peratus daripada penghidapnya mewarisi daripada ahli keluarga mereka. Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa penghidap hiperhidrosis mempunyai kebarangkalian sehingga 25 peratus mendapat masalah serupa.

JENIS DAN GEJALA

Primer

  • Jenis ini yang tidak diketahui puncanya. la biasanya terjadi setempat pada bahagian badan, kaki, ketiak dan muka.

  • Masalah berpeluh berlebihan turut dikesan pada bahagian kepala, dada, belakang dan pangkal paha

Sekunder

  • Boleh terjadi pada keseluruhan badan yang disebabkan oleh jangkitan kulat, obesiti, penyakit autoimun, menopaus, kehamilan, kencing manis, tumor, batuk kering dan gangguan psikiatri.

  • Kadangkala penghidapnya tidak menyedari bahawa masalah berpeluh berlebihan ini adalah satu penyakit sehinggalah pada satu tahap mereka tidak berasa selesa dalam menjalani kehidupan seharian.

PENCEGAHAN RAWATAN:

Penggunaan deodoran

Fungsinya untuk menjadikan kulit dalam berkeadaan ‘asid’ menyebabkan kuman bakteria tidak sesuai tinggal di kawasan itu.

Teknik lontophoresis

Teknik yang mana arus elektrik bervoltan rendah digunakan di kawasan yang mempunyai peluh berlebihan. la amat berkesan pada sesetengah pesakit.

Pembedahan simpatektomi torasik endoskopi atau ETS

la adalah satu pembedahan tanpa torehan yang dilakukan oleh pakar bedah memusnahkan saraf yang mengawal kelenjar peluh. la akan mengurangkan pengeluaran peluh. Rawatan ini sesuai untuk pesakit yang menghadapi masalah berpeluh secara berlebihan terutama di tangan dan kaki.

Teknik ‘No Sweat’

Satu teknik yang melibatkan prosedur selama 15 minit dengan tusukan kecil di bawah kedua-dua lengan. Rawatan tersebut bukan sahaja memberi keputusan yang cepat malah pesakit boleh meninggalkan hospital pada hari yang sama dengan keadaan tangan, kaki atau mana-mana bahagian yang bermasalah lebih selesa tanpa peluh.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s