Teks untuk Podcast 2014 012 02

Podcast 2014 012 02, merupakan bahagian kedua rakaman audio rencana-rencana daripada Mingguan Wanita 20 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Info Sihat

Trend dan risiko kanta lekap

Mungkin ada yang berasa rimas apabila `teropong’sentiasa diletakkan di atas hidung. Mungkin kerana faktor itu juga kanta lekap dicipta. Meskipun harganya sedikit mahal dan sukardipakai buat kali pertama tetapi itu bukanlah alasan untuk mereka tidak menggunakannya.

Senario yang diceritakan hanya berlaku suatu ketika dahulu di mana penggunaan kanta lekap masih belum meluas. Namun, perkembangan dunia optometri dan fesyen terkini membuatkan kanta lekap menjadi sebahagian daripadanya. Fungsi asal sebagai pengganti cermin mata berubah sekelip mata. Rata-rata anak remaja malah tidak kurang juga golongan dewasa mengenakan kanta lekap adalah untuk melengkapkan trend berfesyen selain ingin tampil berbeza dari orang lain.

Rentetan dari itu maka bermulalah permintaan terhadap kanta lekap berwarna malah ada juga ditawarkan kanta lekap bercorak bagi memberi kelainan. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan harga yang ditawarkan cukup murah selain mudah diperoleh.

Jika dahulu kanta lekap hanya boleh dibeli di kedai-kedai optometri sahaja tetapi sekarang ia seakan bebas dijual di mana-mana sahaja termasuklah pasar malam serta perniagaan di dalam talian.

Di sinilah berlakunya pengabaian aspek keselamatan. Tanpa perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan mata, mereka sewenang-wenangnya membeli dan mengenakan kanta lekap berkenaan.

Perlu diingatkan bahawa risiko yang menanti cukup tinggi. Dikatakan antara masalah mata yang sering terjadi adalah berpunca dari berlakunya jangkitan kuman, alahan malah ada yang lebih teruk lagi iaitu buta.

Minggu ini disediakan info tentang kanta lekap sebagai panduan untuk mereka yang menggunakannya dan mereka yang bercadang memakainya. Terdapat sebanyak dua jenis kanta lekap di pasaran dan anda harus memilihnya mengikut kesesuaian anda.

Kanta lekap lembut

Lazimnya dikategorikan sebagai kanta lekap pakai buang sama ada penggunaan harian, mingguan atau bulanan. Ramai mengatakan bahawa kanta lekap jenis ini lebih selesa dan sesuai dipakai untuk melakukan aktiviti lasak di samping jam pemakaian yang lebih lama.

Kanta lekap keras

la turut dikenali sebagai RGP (Rigid Gas-permeable). Diperbuat dari plastik, dikatakan kanta lekap ini lebih tahan lama. Selain itu, ia juga membenarkan oksigen untuk masuk ke dalamnya tetapi tidak sesuai dipakai sekiranya ingin melakukan aktiviti lasak.

Pasti ramai tertanya-tanya adakah kanta lekap sesuai digunakan oleh semua atau sebaliknya. Sebenarnya, ia masih selamat digunakan sekiranya pemakai mematuhi nasihat yang diberikan oleh pakar optometri sekali gus mempraktikkan amalan penjagaan yang baik.

Satu bonus juga buat mereka yang memiliki mata yang sihat. Begitu juga faktor usia. Tiada masalah mereka menggunakan kanta lekap tetapi perlulah merujuk kepada pakar optometri.

Bagaimanapun, bagi individu yang mempunyai mata yang mudah kering, menghidap penyakit mata, ibu mengandung atau mengambil ubat-ubatan untuk penyakit yang serius dinasihatkan agar tidak menggunakan kanta lekap. lni kerana keadaan mata pada waktu itu lebih sensitif sekali gus mengundang ederma dan beberapa penyakit lain.

Tapi usah bimbang memakainya kerana kanta lekap hanya akan membahayakan pemakai yang tidak berdisiplin sahaja.

PANDUAN PENJAGAAN ELAK MASALAH MATA

Berikut adalah beberapa penyebab masalah mata yang berpunca dari kanta lekap yang tidak diselenggarakan dengan baik :

Elak guna kanta, lekap sewaktu tidur

Kejadian yang biasa berlaku ialah amalan penggunaan kanta lekap sehari-hari. Ada yang memakainya melebihi dari jam yang sepatutnya malah tidak kurang juga yang malas menanggalkan kanta lekap ketika tidur pada waktu malam. Menganggap ia satu perkara remeh sebenarnya mengundang seribu satu macam risiko yang boleh membahayakan mata.

Jangan melebihi tempoh

Dari segi fizikalnya, keadaan kanta lekap masih lagi elok walaupun telah dipakai selama tiga bulan. Tetapi jika dilihat dari segi fungsi dan jangka hayatnya berkemungkinan besar kanta lekap itu sudah tidak boleh digunakan. Boleh dikatakan ramai individu masih menggunakan kanta lekap meskipun tempohnya telah lama tamat. Alasannya mudah sahaja, tidak merasa apa-apa perubahan kepada kanta lekap malah mata juga tidak bermasalah tatkala menggunakannya.

Tahu cara mencuci dan menyimpan

Walaupun kedengaran mudah tetapi cara mencuci dan menyimpan kanta lekap juga perlu dipelajari dengan betul. Jika tidak, kanta lekap tersebut mungkin rosak dan membahayakan mata. Cara mencuci dan menyimpan yang tidak sempurna mengundang kuman dan jangkitan kepada kanta lekap berkenaan seterusnya merebak ke mata.

Tukar bekas kanta lekap tiga bulan sekali

Selain membersihkan jari dan kanta lekap itu sendiri, bekas menyimpan yang dibekalkan juga perlu dibersihkan sekurang-kurangnya setiap minggu. Ini bertujuan untuk mengelakkan bakteria berkumpul di dalamnya sekali gus mengakibatkan jangkitan. Selepas dibersihkan, perlulah disimpan dengan baik dan dinasihatkan agar menukar bekas tersebut setiap tiga bulan berikutnya.

Tip guna kanta lekap

  • Pengguna baru pastinya keliru untuk membezakan bahagian luar atau dalam kanta lekap yang akan digunakan. Bagi membezakannya, letakkan kanta lekap pada jari hingga ia kelihatan seperti bentuk U sempurna tanpa ada `kelopak’ yang terkelepet. ltulah posisi yang betul untuk dilekapkan pada mata.

  • Memastikan jari anda bersih sebelum menyentuh atau mengambil kanta lekap. Elakkan dari menggunakan sabun atau pewangi yang keterlaluan ketika membersihkan jari. Dikhuatiri ia memberi kesan terhadap kanta lekap berkenaan.

  • Jangan sekali-sekali berkongsi kanta lekap dengan individu lain kerana ia hanya akan mengundang bahaya kepada mata anda kelak.

  • Jangan gunakan kanta lekap melebihi jam serta tempoh yang sepatutnya.

Tip Sihat

Tip cegah gigi berlubang

Ramai setuju apabila dikatakan biarlah sakit hati dari terkena sakit gigi. Benar, ia menjadi satu seksaan yang teruk. Hilang segala fokus untuk bekerja atau melakukan tugas-tugas harian.

Sakit yang dirasai membuatkan individu yang menderita tidak senang duduk. Bila diperiksa, rupa-rupanya ada lubang terbentuk di dalamnya. Rentetan dari lubang tersebut maka terjadilah bermacam masalah lain termasuklah mulut berbau.

Jadi, sebelum diserang sakit gigi maka segeralah dapatkan rawatan pencegahan, paling tidak enam bulan sekali. Dalam masa yang sama, anda juga perlu lakukan rawatan pencegahan sendiri berpandukan beberapa tip berikut :

Berus gigi selepas makan

Menggosok gigi setiap kali selepas makan adalah satu perbuatan yang patut diamalkan. la bagi memastikan tiada sisa makanan yang menempel di gigi sekali gus membersihkan kuman-kuman. Walau bagaimanapun, elakkan dari terus menggosok gigi selepas mengambil asam atau jeruk kerana ia boleh mempercepatkan proses pereputan gigi. Lengahkan waktu setengah ataupun satu jam selepas makan makanan berkenaan sebelum menggosok gigi.

Dua kali sehari

Mungkin anda pernah mendengar saranan daripada pakar-pakar pergigian supaya memberus gigi dua kali sehari. Apa yang pasti, ia memang berkesan. Waktu yang dicadangkan ialah selepas bangun dan sebelum tidur. Bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya anda menjadikan amalan memberus gigi setiap kali selepas makan.

Gunakan dental floss

Partikel kecil yang tersangkut di celah-celah gigi memang sukar dikeluarkan sekalipun diberus berkali-kali. Di sinilah dental floss berperanan bagi mengeluarkan sisa-sisa tersebut. Pada masa sama, ia juga membantu bagi mencegah gigi dari berlubang. Perlu diingat bahawa sisa makanan yang tersangkut dan tidak dibersihkan boleh mengakibatkan kerosakan pada dua batang gigi sekali gus.

Ambil makanan sihat

Pengambilan makanan sihat dan seimbang adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian bagi mengekalkan ekuatan gigi. Oleh sebab itulah kalsium perlu diambil selalu kerana itulah sumber kekuatan dan kesihatan gigi. Jangan hanya berpuas hati sekiranya anda telah menggosok gigi tetapi ingatlah kembali keperluan nutrisinya.

Pemeriksaan berkala dengan doktor gigi

Jangan sengaja buat-buat lupa melakukan pemeriksaan gigi secara teratur dengan doktor. Melalui rawatan pergigian lubang-lubang kecil di gigi anda dapat ditampal kembali tanpa mengorbankan gigi berkenaan.

Kelab Diet

Cara sihat tambah berat badan

Wanita sangat prihatin kepada bentuk tubuh mereka. Bagi individu berbadan gempal, pastinya tubuh langsing menjadi idaman. Oleh itu pelbagai usaha dijalankan bagi mengembalikan tubuh ke bentuk asal persis anak dara. Perkara yang sama juga berlaku ke atas wanita yang mempunyai badan terlalu kurus. Mereka juga bercita-cita menaikkan berat badan agar tubuh kelihatan menarik.

Bagaimanapun, usaha menaikkan berat badan bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai berpendapat untuk gemuk mereka hanya perlu makan dalam kuantiti yang banyak. Sebenarnya apa yang dikatakan itu tidak benar sama sekali. In kerana, mengambil makanan tanpa kawalan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan bagi menaikkan berat badan dengan kaedah selamat dan sihat.

Ambil nutrisi

Menambah berat badan tidak bermakna anda perlu kerap mengambil makanan berlemak. Ingat, bahawa anda bukan hanya ingin menambah berat badan tetapi cuba menaikkan otot. Makanan berlemak tidak digalakkan begitu juga dengan makanan ringan.

Sebaiknya pilihlah makanan sihat dan mengandungi lemak, karbohidrat serta nutrisi penting yang diperlukan oleh tubuh. Mungkin dengan mengambil susu, ikan salmon, daging ayam, pasta, keju, telur serta produk-produk yang mengandungi krim dan protein boleh membantu pertambahan berat badan seperti mana diinginkan. Oleh itu, pilih makanan yang mempunyai nutrisi, tidak hanya kalori tanpa zat-zat yang diperlukan.

Rajin bersenam

Sekiranya anda beranggapan bahawa senaman hanya boleh menurunkan berat badan, pertimbangkan semula. Sebenarnya, senaman yang dijadikan sebagai rutin memainkan peranan besar menaikkan berat badan. Sebaiknya, mintalah bantuan daripada mereka yang lebih pakar berkaitan senaman seperti mana yang disediakan di pusat-pusat gimnasium. Dengan pengetahuan yang dimiliki sudah pasti mereka lebih arif mencadangkan senaman-senaman yang boleh dipraktikkan untuk menaikkan berat badan.

Bagi mendapatkan kesan lebih cepat amalkan minuman yang kaya dengan protein seperti coklat smoothie sebaik selesai melakukan senaman.

Dapatkan tidur teratur

Ramai mengambil mudah perihal tidur. Oleh kerana terlalu sibuk dengan urusan harian maka ia sering diabaikan. Meskipun senaman dan menjaga pemakanan telah dilakukan tetapi jika waktu tidur tidak teratur maka ia hanya akan menggagalkan misi sebenar. Anda perlu dapatkan waktu tidur yang cukup sekiranya ingin menambah atau mengurangkan berat badan. Jangan sekali-kali mengambil mudah perkara ini.

Kesihatan

Selulitis bahaya pada pesakit diabetes

Selulitis adalah jangkitan pada kulit dan permukaan bawah tisu lembut kulit. la berlaku apabila bakteria menyerang kulit pecah atau normal dan merebak di bawah kulit atau pada kulit itu sendiri. Ini menyebabkan jangkitan dan keradangan. Keradangan adalah proses di mana tubuh memberikan reaksi pada bakteria.

Keradangan boleh menyebabkan pembengkakan, kemerahan, kesakitan atau kepanasan. Mereka yang berisiko mendapat selulitis termasuklah mereka yang mengalami trauma pada kulit atau masalah perubatan seperti berikut:

  • Diabetes

  • Masalah peredaran seperti peredaran darah tidak mencukupi pada anggota tubuh, penyaliran vena atau limfa yang tidak baik atau vena varikos.

  • Masalah kulit seperti ekzema, psoriasis,atau penyakit berjangkit yang menyebabkan lesi (luka) kulit seperti cacar air.

Penyebab

  • Kecederaan yang memecahkan kulit.

  • Jangkitan berkaitan dengan prosedur pembedahan.

  • Sebarang pemecahan dalam kulit yang membenarkan bakteria untuk menyerang kulit (contohnya masalah kulit kronik seperti ekzema atau psoriasis).

  • Benda asing dalam kulit.

  • Jangkitan di bawah kulit (contohnya luka terbuka yang terlalu lama dan cukup dalam untuk mendedahkan tulang pada bakteria. Kadangkala ini berlaku pada mereka yang menghidap diabetes yang tidak dapat merasai kaki mereka).

Gejala-gejala selulitis

Selulitis boleh muncul dalam sebarang bahagian tubuh. Kebanyakan muncul pada bahagian yang telah menjadi radang seperti luka bahagian kulit tidak baik atau peredaran tidak baik. Gejala-gejala biasa selulitis adalah seperti berikut:

  • Kemerahan pada kulit.

  • Jalur warna merah pada kulit atau kawasan kemerahan yang besar.

  • Pembengkakan.

  • Kepanasan.

  • Sakit atau rasa nyeri.

  • Keluarnya cairan atau kebocoran cecair warna kuning atau nanah daripada kulit.

  • Jika masalah ini merebak pada tubuh melalui darah, demam dan rasa sejuk menggigil akan dialami.

Rawatan

Segeralah berjumpa dengan doktor jika anda mengalami sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala selulitis seperti berikut:

  • Demam atau rasa sejuk menggigil.

  • Kemerahan pada kulit.

  • Jalur warna merah pada kulit.

  • Pembengkakan.

  • Rasa nyeri.

  • Keluarnya cairan daripada kulit.

Jika anda mengalami sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala selulitis seperti berikut, segeralah mendapatka rawatan kecemasan:

  • Demam tinggi atau rasa sejuk menggigil.

  • Loya dan muntah-muntah.

  • Pembesaran terlalu jelas atau pengerasan pada kawasan yang telah menjadi merah.

  • Sakit yang meningkat.

  • Kekejangan pada kawasan kemerahan atau rasa nyeri di kawasan yang disentuh.

  • Masalah perubatan lain yang boleh memberi kesan walaupun daripada jangkitan ringan.

Pemeriksaan dan ujian untuk selulitis

Kebanyakan doktor akan melakukan diagnosis selulitis daripada sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan dan ujian berikut:

  • Doktor juga mungkin akan mengambil darah untuk ujian jika pesakit merasakan jangkitan adalah teruk secukupnya untuk berada di dalam aliran darah.

  • Doktor juga mungkin akan melakukan X-ray pada kawasan yang dikhuatiri telah dimasuki benda asing pada kulit atau jika tulang dijangkiti.

  • Doktor juga mungkin akan mengeluarkan cecair dari kawasan yang dijangkiti dengan jarum dan menghantar cecair itu ke makmal untuk diuji.

Rawatan, penjagaan di rumah

Anda boleh melakukan langkah-langkah berikut untuk merawat dan menjaga sendiri masalah selulitis di rumah:

  • Rehatkan kawasan tubuh yang terlibat.

  • Tinggikan kawasan tubuh yang terlibat. Ini akan membantu mengurangkan pembengkakan dan melegakan rasa tidak selesa.

  • Gunakan ubat pelega kesakitan seperti acetaminophen atau ibuprofen. Ini akan mengurangkan kesakitan dan juga membantu memastikan demam berkurangan.

Rawatan perubatan untuk selulitis

Jika jangkitan selulitis tidak terlalu teruk, anda boleh merawatnya di rumah. Doktor akan membekalkan ubat antibiotik yang dipreskripsi selama seminggu hingga 10 hari. Doktor juga akan menggunakan intravena (IV) atau antibiotik intraotot dalam rawatan-rawatan kepada pesakit berikut:

  • Jika jangkitan adalah teruk.

  • Mempunyai masalah perubatan.

  • Terlalu muda atau terlalu tua.

  • Jika selulitis melibatkan kawasan besar atau kawasan yang dekat dengan struktur penting seperti jangkitan di sekeliling soket mata.

  • Sekiranya jangkitan menjadi teruk selepas mengambil antibiotik selepas dua hingga tiga hari.

Pesakit mungkin akan dimasukkan ke dalam wad jika jangkitan menjadi besar, merebak atau di dalam kawasan penting seperti di muka. Dalam kebanyakan kes, antibiotik yang diberikan melalui intravena akan diberikan sehingga jangkitan dikawal dengan baik dalam tempoh dua hingga tiga hari. Selepas itu anda boleh bertukar kepada ubat yang dimakan di rumah.

Ubat

Perubatan antibiotik untuk selulitis dimasukkan ke dalam mulut atau melalui suntikan. Beritahu doktor anda mengenai sebarang reaksi yang pernah anda alami sebelum ini terhadap antibiotik.

Pembedahan

  • Amat jarang sekali jangkitan selulitis memerlukan pembedahan.

  • Nanah atau pengumpulan nanah dalam tisu mungkin perlu dibuka secara pembedahan bagi membenarkan pengaliran keluar.

  • Tisu mati perlu dipotong untuk membenarkan penyembuhan.

Aneka Petua

Daun pandan wangikan kereta

Ada cara mudah mengharumkan kereta. Ambil beberapa helai daun pandan segar, letakkan di bawah kerusi atau mana-mana tempat yang tidak menyemakkan mata. Bila daun ini sudah kelihatan kering dan tidak mengeluarkan bau lagi, tukarkan kepada daun baru. Boleh juga gunakan sabun wangi. Letakkan di dalam kereta sebaiknya di ruang terbuka. Jika mahu kelihatan cantik, bungkus sabun dengan kain net. Baunya lembut dan tahan lama.

Hilangkan kesakitan cekam kuku

Cekam kuku memang menyakitkan. Jika mengalaminya boleh amalkan petua ini sebagai rawatan. Ambil sebiji limau nipis atau kasturi dipotong sedikit bahagian atasnya. Kemudian bakar limau tersebut sehingga bertukar warna kekuningan. Biarkan limau berkenaan suam-suam kuku. Selepas itu, cucuk bahagian jari yang mencengkam atau bernanah itu pada bahagian limau yang telah dipotong tadi. Insya-Allah kuku yang bernanah akan mengecut dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Ubati cirit birit

Bancuh air suam bersama teh tanpa gula. Biarkan rasa pahit atau kelat sedikit. Bacalah selawat dan minum. Insya-Allah akan mengurangkan cirit birit.

Melegakan selesema

Ramai yang akan menghadapi selesema ketika musim hujan ini. Rawat sendiri masalah ini dengan panaskan secerek air hingga menggelegak. Selepas itu masukkan dalam besen. Masukkan sedikit serbuk teh atau serbuk kopi dan titiskan dua titis minyak geliga. Ambil gebar dan selimutkan seluruh badan bersama besen sekali. Tunggu hingga 10 minit. Bernafaslah seperti biasa dan badan akan berpeluh-peluh. Tapi pastikan anda tidak menitiskan lebih dari dua titik minyak geliga, dibimbangi terlalu panas untuk badan.

Penawar gatal kulit dan alahan

Bagi menghilangkan gatal kulit dan alahan, ambil beberapa helai daun sirih dan rebus. Biar hingga mendidih. Celup kain bersih ke dalam air rebusan sirih yang sudah suam-suam kuku. Tekapkan kain itu pada bahagian kulit yang gatal kira-kira setengah minit. Insya-Allah kegatalan akan hilang.

Buah pinang ubati kudis

Kudis memang sering dialami oleh kanak-kanak. Bagi merawatnya ambil beberapa biji buah pinang yang sudah kering. Buang kulitnya, kemudian tumbuk pinang tadi hingga lumat. Campurkan dengan minyak kelapa supaya habuk buah pinang itu melekat di kulit. Bahagian kulit yang berkudis itu hendaklah dibersihkan sebelum disapu dengan serbuk pinang.

Misteri Alam

Labu botol kurangkan tahap gula dalam darah

Labu botol atau nama botaninya Lagenaria Siceraria adalah sayuran yang tergolong dalam keluarga Cucurbitaceae. Labu botol berasal dari kawasan tropika Afrika dan sekarang mempunyai taburan di keseluruhan kawasan tropika dunia.

Pokok labu botol adalah jenis tumbuhan pemanjat dengan batang yang mempunyai jalur-jalur panjang dan sulur yang kuat. Sulur biasanya terbahagi dua, satu lebih panjang daripada yang satu lagi. Daun labu botol ringkas, membulat bujur, berbulu dan berbau.

Bunga terletak pada ketiak daun, tunggal dan berwarna putih. Buah yang tua mempunyai kulit yang keras dan tahan lama, isi putih dan lembut. Buahnya mempunyai pelbagai saiz dan bentuk, kebanyakannya bulat seperti bentuk botol.

Banyak kegunaan labu botol. Buah muda boleh dimakan sebagai sayur setelah direbus, digoreng, dimasak sup, kari dan jenis masakan lain. Biji labu botol matang boleh dipanggang dan dimakan seperti kuaci. Minyak biji digunakan sebagai minyak masakan.

Pucuk dan daun muda boleh digunakan sebagai sayur yang dimakan setelah dicelur atau dimasak buat lauk. Kegunaan lain labu botol adalah apabila dikeringkan ia boleh dijadikan bekas air, kraf tangan, alat muzik dan sebagainya.

Makanan sesuai pesakit diabetes

Buah labu botol mengandungi 95 peratus air dan menyebabkan ia mudah dihadamkan. Selain itu, buah labu botol juga turut mengandungi 3.5 peratus karbohidrat, 0.5 peratus protein, 0.1 peratus lemak, mineral besi, fosforus, kalsium, vitamin A, B1, B2, serta niasin dan vitamin C.

Glukos dan gula dalam labu botol dikatakan hampir tidak ada dan ini menyebabkan ia menjadi salah satu makanan pilihan sesuai untuk pesakit diabetes. Labu botol dikatakan mampu mengurangkan tahap gula dalam darah. Oleh itu dikatakan pesakit diabetes boleh memakan buah labu botol dalam diet pemakanan seharian atau menjadikan tabiat meminum jus labu botol setiap hari bagi mengurangkan gula dalam darah.

Buah labu botol dikatakan boleh direbus dan dibuat sirap ubat herba yang diminum untuk merawat sakit dada. la juga dikatakan boleh direbus dan diminum untuk menyejukkan badan, melawaskan pembuangan air kecil, mengeluarkan batu karang dalam pundi kencing, mengubati sakit perut dan usus serta demam panas. Namun begitu perlu berhati-hati kerana pengambilan yang terlalu banyak digunakan boleh menyebabkan muntah-muntah dan cirit-birit.

Kurangkan berat badan

Dikatakan jus yang dihasilkan daripada buah labu botol mampu digunakan untuk mengurangkan berat badan. Cecair buah yang telah dicampurkan dengan air limau nipis dikatakan boleh disapu untuk rawatan jerawat. Jika mengalami demam panas, cecair air labu botol disapu pada kepala dan tapak kaki untuk menurunkan suhu badan.

Jus buah labu botol juga dikatakan mampu membantu dalam merawat cirit-birit. Minum jus labu botol yang telah dibubuh sedikit garam untuk melegakan cirit-birit. Jika anda mengalami masalah urinari, dikatakan meminum jus labu botol sehari sekali mampu melegakan rasa panas terbakar di laluan urinari berikutan dengan keasidan tinggi air kencing. Jus labu botol dikatakan mampu bertindak sebagai campuran beralkali.

Buah labu sayur ini juga dikatakan amat baik untuk menyeimbangkan fungsi hati. la juga kerap dicadangkan dalam perubatan Ayurveda apabila hati meradang dan tidak dapat memproses dengan baik untuk mendapatkan zat yang maksimum.

Biji labu botol dikatakan boleh ditumbuk lumat dan ditampal pada gigi atau gusi yang sakit. Manakala bunga dan isi batang labu botol dikatakan boleh direbus dan diminum sebagai penawar racun.

Walaupun labu botol dikatakan memiliki khasiat ubatan, namun begitu penggunaannya untuk perubatan perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Panduan Ibu Muda

Ketahui 7 kaedah perancangan keluarga

Perancangan keluarga yang baik disarankan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Lantaran itu tidak hairanlah bilangan ahli keluarga semakin mengecil berbanding suatu ketika dahulu. Bagi yang bergelar ibu bapa, mereka berusaha untuk menjarakkan kelahiran bagi mengehadkan bilangan anak.

Pelbagai faktor yang mendorong pasangan suami isteri mengamalkan perancangan keluarga seperti berkahwin pada usia terlalu muda atau usia lewat, memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat, masalah kesihatan, faktor kewangan, menyambung pengajian dan lain-lain lagi.

Terdapat pelbagai kaedah dalam merancang keluarga. Lazimnya ia selamat, berkesan, mudah digunakan, tiada kesan sampingan dan kos yang berpatutan.

1. Semula jadi – menggunakan kaedah masa selamat, tempoh kesuburan, mukus serviks dan azal, iaitu mengeluarkan zakar sebelum ejakulasi. Bagaimanapun peratus kegagalan tinggi.

2. Penggunaan kondom – penggunaan kondom mampu menghalang sperma daripada memasuki serviks. la kaedah yang selamat selagi kondom tersebut tidak berlaku kebocoran. Bagaimanapun ramai lelaki tidak menggemari kaedah ini.

3. Pil – pil perancang begitu popular di kalangan wanita bagi menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari serta menyebabkan mukus dari pintu rahim menjadi pekat. Jika anda mengambil pil seperti yang dicadangkan, keberkesanan menggunakan kaedah ini amat tinggi.

4. Suntikan – hormon progestogen disuntik bagi mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari di samping mengakibatkan mukus seseorang wanita menjadi pekat.

5. Implanon – alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang di bawah lapisan kulit di bahagian tengah lengan atas dan berfungsi selama tiga tahun. Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel yang bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap. la sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Wanita yang memakai implanon akan subur semula setelah tiga minggu alat tersebut dibuka.

6. Alat dalam rahim – alat dimasukkan dalam rahim. la berkesan antara tiga hingga lima tahun dan kejayaannya mengelakkan kehamilan sehingga 98 peratus. Selain itu terdapat juga alat dalam rahim yang diserap bersama hormon.

7. lnstrauterin (IUD) – alat anjal berbentuk T dimasukkan ke dalam rahim bagi mengganggu pergerakan sperma dalam ruang uterin. Terdapat dua jenis IUD iaitu yang mampu melindungi daripada kehamilan selama 10 tahun dan yang perlu diganti setiap tahun.

BERDUA LEBIH BAIK

Sukarnya menyediakan waktu yang berkualiti bersama anak, ditambah dengan kos pendidikan yang semakin mahal membuatkan anda dan suami bercadang untuk menambah bilangan ahli keluarga.

Bagaimanapun melihat rakan-rakan yang mempunyai ramai anak, membuatkan anda terfikir untuk mempunyai seorang lagi cahaya mata. Berikut lima alasan bahawa memperoleh dua orang anak lebih baik daripada seorang.

1. Bahagi kasih – Ketika anda mempunyai seorang anak, anda dan suami menyayanginya dengan sepenuh hati. Namun setelah lahirnya anak kedua, ternyata anda boleh menyayangi kedua-dua anak dengan sama adilnya.

2. Kasih adik-beradik – Setiap adik-beradik mempunyai ikatan yang khusus. Meskipun mereka saling bertengkar, mereka akan tetap menjadi sahabat terbaik.

3. Makin ramai, makin seronok – Melihat keluarga besar melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama membuatkan anda berasa Iebih seronok. Keadaan pasti lebih meriah.

4. Teman bermain – Bermain bersama-sama bukan sahaja memberi pengalaman tetapi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

5. Belajar mengatasi masalah – Tidak mudah untuk anak-anak belajar nilai-nilai seperti berkongsi, bersahabat dan bekerjasama. Dengan adanya saudara kandung, mereka akan mempelajari nilai-nilai tersebut melalui interaksi sesama mereka.

INFO

Satu daripada lapan orang ibu bapa menggunakan internet untuk mendapatkan makluman kesihatan. Malah mereka memeriksa keadaan kesihatan anak melalui internet sebelum membawanya bertemu doktor.

Untukmu Mama

Puting tenangkan bayi tapi….

Ramai ibu menggunakan puting sebagai alat penenang kepada bayi semenjak dahulu lagi. Walaupun han ini ibu bapa banyak didedahkan kepada keburukan penggunaan puting, namun ia tetap digunakan secara meluas dan sernakin meningkat. Malah melalui satu kajian melaporkan bahawa dua per tiga ibu menggunakan puting.

Lazimnya puting diberi kepada bayi berusia dari dua bulan. Bukti juga menunjukkan bahawa ibu bapa cenderung memberikan puting jika bayi itu bayi pertama atau jika bayi itu lelaki. Berikut pro dan kontra terhadap penggunaan puting

Sisi positif

1. Seiring peningkatan kematian mendadak kepada bayi, puting dipercayai dapat menyelamatkan nyawa bayi. Terdapat beberapa kajian yang menyatakan ibu bapa harus segera memberikan anak puting ketika baru menangis. Apabila berhenti menangis, lepaskan puting untuk mengelakkan menjadi kebiasaan.

2. Jika bayi anda jenis yang mudah menangis dan puting satu-satunya yang boleh membuatnya berhenti menangis, sebaiknya berikan puting kepadanya. Ini membantu menenangkan buah hati anda.

3. Bagi mereka yang pro puting, puting mampu memberi kepuasan refleks hisapan bayi. Ada juga ibu baru yang tidak bersedia menerima risiko ketika memberhentikan penyusuan badan. Jadi puting adalah satu-satunya alat memuaskan hasrat menyusu bayi.

4. Menghisap puting juga boleh membantu sesetengah bayi pramatang. Jika mereka diberikan puting untuk dihisap sebelum meminum susu, mereka mungkin boleh beralih dengan lebih senang daripada melalui tiub kepada penyusuan botol. Bayi pramatang yang diberi puting sebelum menyusu menjadi lebih selesa dan tenang semasa disusukan dan selepasnya.

Sisi negatif

1. Puting dipercayai menyebabkan jangkitan telinga pada bayi. Menghisap puting menambah kemungkinan jangkitan berpindah dari mulut ke tiub eustachia iaitu saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak.

2. Puting telah dikaitkan dengan risiko tinggi mendapat simptom seperti muntah-muntah, demam, cirit-birit dan kolik.

3. Doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kerana menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh.

4. Penggunaan puting tidak membolehkan bayi membebel yang merupakan langkah penting dalam mereka bertutur. la juga tidak menggalakkan bayi berlatih berceloteh yang diperlukan mereka untuk membina kemahiran berkomunikasi.

5. Bukti juga menunjukkan bahawa ibu yang menggunakan puting cenderung untuk bercerai susu awal. Penggunaan puting telah dikaitkan dengan masa yang lebih singkat bagi penyusuan badan secara eksklusif.

MENGAPA AIR LIUR BAYI MELELEH

Bukan sesuatu yang luar biasaa apabila melihat bayi yang air liurnya membasahi mulut dan dagu. Lalu beranggapan ia kerana gigi bayi sedang tumbuh atau lainnya. Menurut jurnal Pediatric Child Health, air liur meleleh sentiasa terjadi pada bayi terutama di usia sekitar lima hingga enam bulan. Ini kerana kemampuan menelan pada bayi masih sangat terbatas.

Selain itu, mengeluarkan air liur juga memberi manfaat kepada bayi, iaitu:

1. Membersihkan – Air liur yang mengalir keluar membuatkan mulut lebih lembap dan bersih.

2. Mengenal rasa – Air liur membantu bayi lebih mengenali rasa sehingga boleh membantu meningkatkan selera makan.

3. Pelincir – Ketika si kecil tumbuh gigi, aliran air liur berfungsi untuk mencegah gejala radang di sekitar gigi.

INFO

Bayi baru lahir secara genetiknya mempunyai deria bunyi yang kuat. Mereka boleh membezakan bunyi-bunyian dan boleh mengenali suara ibu serta merta semasa dilahirkan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s