Teks untuk Podcast 2014 012 01

Podcast 2014 012 01, merupakan bahagian pertama rakaman audio rencana-rencana daripada Mingguan Wanita 20 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Wanita Cemerlang

Azryna cabar diri keluar dari zon selesa

Kebiasaannya, apabila sudah menjawat jawatan tinggi dan memperoleh pendapatan lumayan,seseorang akan berasa selesa dalam zon tersebut. Mereka tidak akan melepaskan kedudukan ini semata-mata untuk mencuba perkara baru.

Namun lain pula kisahnya dengan Azryna Kudin. Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini mencabar dirinya untuk keluar dari zon selesa. Walaupun ketika itu, dia sudah memperoleh pendapatan tinggi sebagai Juru Ukur Bahan di syarikat besar namun Azryna sanggup mengambil risiko demi minat mendalam terhadap bisnes.

“Saya seorang yang bekerja keras, amanah yang diberikan syarikat saya laksana sebaik mungkin. Sepanjang 10 tahun bekerja makan gaji, saya sangat komited. Jadual kerja begitu padat sehinggakan hampir setiap hari saya pulang lewat ke rumah demi memastikan segala perancangan syarikat berjalan lancar.

“Saya sudah memperoleh kepuasan diri dalam bidang tersebut. Masa depan memang terjamin tapi saya mahu keluar dari zon selamat ini. Saya menyukai cabaran dan tidak mahu lagi terikat dengan masa. Lagipun saya fikir sudah tiba masanya untuk saya memberi tumpuan kepada keluarga.

“Keputusan saya berjinak dalam bisnes mendapat sokongan padu daripada suami, Muhammad Zuhairi. Berkat usaha dan doa keluarga, saya membuka butik pengantin, Ryn’s Avenue di Sungai Petani, Kedah dan mengembangkan bisnes di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor,” ujarnya yang merupakan graduan Ukur Bahan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru.

Lengkapkan diri dengan ilmu

Sebelum menceburi bisnes, ibu kepada dua cahaya mata ini melengkapkan dirinya dengan ilmu. Dia membuat persediaan rapi agar bisnes yang diusahakan tidak kecundang di tengah jalan. Cerita Azryna, ketika masih bekerja dia mengikuti kursus solekan yang dikendalikan oleh jurusolek terkenal, Saidatulnisa.

“Bidang kecantikan bukanlah perkara asing dalam diri saya. Sejak zaman remaja lagi, saya memang suka merias diri. Minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan inilah yang mendorong saya menceburkan diri dalam bisnes perancang perkahwinan seperti solekan, busana pengantin, dekorasi dan fotografi.

“Memang teruja sangat dapat menimba ilmu solekan dengan beliau.Tidak sukar untuk saya menguasai teknik solekan kerana saya mempunyai bakat semula jadi. Kursus ini memberi peluang kepada saya menggali potensi diri yang terpendam.

“Alhamdulillah, sentuhan dan kreativiti saya menjadi. Lantaran, tanpa ragu-ragu saya diberi peluang menyolekkan pengantin. Kepercayaan ini membuatkan saya terharu. Sudah semestinya, saya memberikan yang terbaik untuk pelanggan,” katanya.

Serlah keanggunan raja sehari

Ditanya rahsia tentang solekan raja sehari, Azryna mengakui tidak mengamalkan sebarang petua khusus. Sebaliknya, wanita berkulit cerah ini mengatakan sebelum merias wajah pelanggan dia pastikan membaca Bismillah dan selawat.

“Saya fikir, apa juga yang kita lakukan mesti bermula dengan niat baik. Saya suka berhias dan saya gunakan bakat ini untuk mencantikkan wanita lain. Teknik solekan yang betul akan menutup kekurangan dan menyerlahkan kecantikan wanita.

“Masih segar dalam ingatan, pengalaman awal menyolek pengantin. Saya diberi amanah merias wajah adik saya, Asnidar, serta rakan karib saya, Izatul Laili pada hari bersejarah mereka. Saya lakukan tugas ini dengan sepenuh jiwa, Alhamdulillah mereka tampil anggun dan berseri di majlis perkahwinan mereka.

“Keluarga dan kenalan suka dengan hasil kerja saya. Dari situlah, saya mendapat pelanggan. Seorang demi seorang menemui saya untuk mendapatkan khidmat solekan. Sehingga kini, saya masih diberi kepercayaan merias wajah pengantin. Saya gembira dapat membantu mereka tampil menawan pada hari bahagia,” ujarnya

Minat mendalam terhadap seni halus juga mendorong wanita ini menghasilkan rekaan busana pengantin dan dekorasi bagi majlis perkahwinan. Rekaannya yang terkini dan unik ternyata menambat hati pelanggan. Bagi menghasilkan busana dan dekorasi istimewa, Azryna memberi sepenuh tumpuan.

“Saya menjadikan buku fesyen sebagai rujukan. Saya juga gemar melayari Internet untuk nnengikuti perkembangan dunia fesyen. Tidak mahu terikut dengan gaya sedia ada, saya sentiasa mencipta kelainan dalam setiap busana dan dekorasi yang dihasilkan. Busana rekaan saya lebih kepada gaya Muslimah, ia menyerlahkan ciri feminin dan membuatkan mempelai tampak manis serta sopan.

“Selain itu, saya amat mementingkan kualiti agar pelanggan selesa menggayakan busana tersebut. Aspek lain yang dititik berat adalah kekemasan jahitan, perincian, dan material berkualiti tinggi.

“Agar rekaan saya nnemenuhi cita rasa pelanggan, saya akan menyelami hati mereka ketika sesi konsultasi. Kami akan berbincang mengenai konsep perkahwinan yang diimpikan pelanggan. Sedaya upaya, saya akan membantu merealisasikan impian mereka dengan bajet yang diberikan,” kata Azryna yang turut menawarkan perkhidmatan fotografi, pelamin dan meja makan beradab.

Jadi teman baik anak

Walaupun hasil rekaannya sering menjadi pilihan selebriti dan orang kenamaan, Azryna tidak pernah mendabik dada. Dia bersyukur mendapat perhatian golongan tersebut dan terus berusaha menghasilkan karya terbaik.

“Saya tidak memilih bulu, semua pelanggan mendapat layanan yang sama rata. Saya bersama kakitangan bertungkus lumus bagi memastikan impian pelanggan menjadi kenyataan baik dari segi busana, dekorasi majlis mahupun sesi fotografi,” katanya.

Diminta berkongsi rahsia kejayaan, wanita bertubuh kecil molek ini tenang mengatur bicara. Katanya, cabaran dalam bisnes begitu besar. Bukan calang-calang orang mampu bertahan dengan ujian yang datang.

“Melayani pelbagai karenah pelanggan menjadi asam garam dalam bisnes. Tapi kita jangan serik dan putus asa. Saya sentiasa berfikiran positif, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Pengalaman mendewasakan kita agar membuat keputusan yang bijak.

“Untuk berjaya dalam bisnes, kita mesti tahu selok-belok bidang yang diceburi dan turun padang memastikan segalanya berjalan lancar. Persaingan sihat juga menjadi pemangkin kepada saya untuk terus menghasilkan rekaan eksklusif serta memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan.

“Bagi diri saya, kepuasan dalam memberi perkhidmatan adalah apabila pelanggan rasa berpuas hati. lni tidak akan dapat dicapai tanpa dedikasi yang ditunjukkan oleh adik saya, Asnidar, yang nnengendalikan butik pengantin Ryn’s Avenue di Sungai Petani, kakitangan di kedua-dua cawangan, serta sokongan moral yang kuat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Saya sangat berterima kasih kepada mereka.” jelas Azryna.

Kesibukan menguruskan bisnes tidak membuatkan wanita ini alpa. Dia tidak sesekali mengabaikan suami dan anak-anak. Azryna bijak mengimbangi masa antara keluarga dan kerjaya.

“Jika bercuti panjang, saya akan melancong di dalam dan luar negara bersama keluarga. Di samping dapat merehatkan minda dan mengeratkan silaturahim, percutian ini juga memberi ruang kepada saya meninjau peluang bisnes.

Hubungan saya dan anak-anak sangat rapat, kami bagaikan teman balk. Anak-anak pun tidak malu berkongsi cerita peribadi mereka dengan saya. Kami suka meluangkan masa bersama melakukan aktiviti yang digemari. Antaranya membeli belah dan bersiar-siar. Saya juga suka memasak juadah kegemaran suami dan anak-anak. Inilah cara kami menjaga hubungan kekeluargaan,” ujar ibu kepada Muhammad Danish, 17, dan Camilia Putri, 14.

Ibu Tunggal Berjaya

Pengalaman ikat perut jadikan Norsalam makin tabah

Sepasang kain ela dibentangkan. Diukur kemudian digunting dengan teliti sebelum dijahit mengikut rekaan yang diminta pelanggan. Tertunduk-tunduk Norsalmi Misri menjahit di mesin yang sengaja diletakkan di atas Iantai. Meskipun nampak tidak selesa tetapi itulah cara menjahit yang telah dipraktikkan sekian lama.

Meski penat tetapi bila memikirkan anak-anak, ibu tabah ini gagahkan juga. Tiada siapa lagi yang boleh diharap kerana dialah segala-galanya buat mereka. Dialah ibu, dialah ayah. Mengadu kesusahan kepada orang ramai bukanlah caranya. Selagi ada kudrat dan upaya, dia akan terus berusaha untuk memberi didikan sekali gus membesarkan anak-anak yang dianugerahkan Allah kepadanya.

“Sebelum ini saya pernah bekerja di sebuah kilang tetapi bertahan selama satu tahun sahaja. Ya lah, bimbangkan anak-anak di rumah walaupun yang sulung sudah besar. Sebab itulah saya bertekad terus mencari rezeki dengan menjahit. Sebenarnya, sudah lama saya ambil upah menjahit pakaian, sejak ada suami lagi. Tetapi ia dilakukan secara sambilan, tidak serius macam sekarang.

“Alhamdulillah, sejak mendapat bantuan dari Pusat Zakat, hidup kami anak beranak tidaklah sesusah dahulu. Rumah ini pun diberikan oleh mereka. Jika tidak, kami terpaksalah menumpang di rumah emak. Sebolehnya saya memang tak mahu bebankan sesiapa,” ujar Norsalmi mengimbas kepayahan hidupnya.

Sambungnya pernah satu ketika, dia anak beranak diuji dengan kesukaran yang cukup menyedihkan namun situasi itulah yang menjadikan dirinya makin tabah.

“Mana tidaknya, tiga hari kami tidak menjamah nasi kerana tak mampu membeli beras. Saya hanya buatkan cekodok untuk anak-anak. Hati ibu manalah yang tak sedih tetapi saya kuatkan semangat dan pesan kepada mereka supaya jangan beritahu orang lain.

“Bagaimanapun, rahsia yang disimpan akhirnya dibongkar oleh arwah bapa. Dia kemudiannya membeli sedikit barang keperluan dapur termasuk beras untuk kami sekeluarga.

“Bukan hendak berkongsi duka sendiri tetapi sebolehnya saya tak mahu menyusahkan mereka atau siapa sahaja. Selagi tulang empat kerat ini masih boleh bekerja, saya akan usahakan.

“Bagi mendapatkan wang sampingan, saya turut menjual nasi lemak dan mengambil anak-anak jiran balik dari sekolah. Alhamdulillah, cukuplah untuk menampung kami lima beranak.

“Pada waktu itu saya memang tak tahu caranya memohon bantuan zakat hinggalah ketua kampung mencadangkan nama saya ke Pusat Zakat,” terang ibu kepada empat cahaya mata ini panjang lebar.

Pentingkan pelajaran anak

Sekalipun terpaksa menempuh dugaan getir, Norsalmi tetap berjuang meneruskan kehidupan. Manakan tidak, sewaktu berpisah dengan bekas suami, dia masih mengandungkan anak bongsu sementara yang lainnya kecil-kecil lagi. Masih tidak mengerti tentang kehidupan.

Sekalipun bersedih dengan apa yang terjadi, dia tidak hanyut dengan emosi yang membelenggu diri. Ibu tabah ini berfikir bahawa dia harus bangkit demi anak-anak. Anak-anak yang akan mengubah nasib mereka kelak.

“Waktu siang saya berniaga nasi lemak dan ambil budak-budak balik dari sekolah. Ulang-alik dengan motor sahaja. Pada sebelah malam pula, saya menjahit.

“Kalau dilihat jadual memang padat tetapi kata orang mana datangnya senang kalau tidak menempuh kesusahan. Saya tak kisah asalkan anak-anak dapat pelajaran dan membesar seperti anak-anak lain. Meskipun hidup tidak semewah mana tetapi buat masa sekarang, makan pakai mereka tak pernah berkurang,” ujarnya.

Setelah sekian lama berkorban membanting tulang empat keratnya, hasil kian dirasai oleh ibu tunggal ini. Meski hidup tidak mewah namun selesa untuk dia sekeluarga.

“Alhamdulillah, hasil pengorbanan yang dilakukan kian nampak. Anak sulung dan kedua banyak meraih pingat dan anugerah di dalam sukan. Mereka memang minat ke arah itu dan saya tak pernah ada masalah dengannya.

“Soal pelajaran dan kerjaya, saya tidak suka memaksa malah memberi kebebasan untuk mereka memilihnya. Begitu juga dengan anak-anak yang lain. Potensi diri mereka menyerlah perlahan-lahan. Hanya iringan doa dan harapan agar apa juga impian mereka terlaksana,” ujarnya yang bertekad mahu mengubah kehidupannya.

Cukuplah derita yang ditanggung selama ini. Sebolehnya, Norsalmi tidak mahu kesusahan itu menjadi `badi’ buat anak-anak pula.

“Sebab itulah saya tidak pernah bersungut jika terpaksa bekerja lebih. Sekarang, bukan waktunya untuk saya fikirkan diri sendiri. Semuanya untuk anak-anak kerana merekalah yang akan diharapkan kelak,” katanya yang tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju daripada penduduk setempat.

Anak tak merungut

Sekalipun mesin jahitnya sering kali terhenti kerana terlalu kuat ‘bekerja’ tetapi Norsalmi tidak pernah berputus asa. Satu hingga dua jam sekali, dia akan berehat seketika dan membuat kerja-kerja rumah lain seperti memasak, mengemas dan menguruskan anak-anak.

“Walaupun kami pernah susah, anak-anak tidak pernah merungut atau minta makanan yang sedap-sedap. Apa yang saya beri itulah yang dimakan.

Tetapi, sekali-sekala saya cuba dapatkan menu sedap sedikit atau makanan segera di bandar.

“Mereka memang seronok apabila berpeluang menikmatinya. Kala itulah gugur air mata saya melihat gelagat mereka. Syukurlah, walaupun bukan selalu tetapi saya berjaya mengadakan makanan tersebut seperti ibu bapa lain. Begitu jugalah dengan barang-barang lain. Saya akan cuba beri walaupun bukan dalam tempoh yang singkat. Selagi terdaya tenaga ini, saya akan usahakan demi keselesaan anak-anak.

“Kini, masing-masing dah besar panjang, anak sulung baru sahaja habis SPM, begitu juga dengan anak kedua yang baru selesai PMR. Sementara yang ketiga berada di Tahun Lima dan yang bongsu sekali baru berusia lapan tahun,” jelasnya yang tidak pernah penat berpesan kepada anak-anak supaya belajar dengan tekun bagi mengubah nasib keluarga di masa hadapan.

Wanita & Bisnes

Warisi bisnes ayam proses – Nur Amalina realisasikan harapan ayah

Jika gadis lain lebih berminat menceburi bisnes kecantikan, lain pula buat anak muda ini. Fatin NurAmalina Masri, 27, memilih mewarisi bisnes pemprosesan ayam milik bapanya.

Meski bukan bisnes yang glamor seperti produk kecantikan mahu pun fesyen namun Nur Amalina bangga melakukannya sementelah semangat usahawan semakin mendalam di jiwanya.

Gadis ini juga banyak menjadikan kisah dan pengalaman bapanya membina perniagaan sebagai motivasi. Katanya, hal itu menjadikan dia lebih bersemangat untuk membawa Masri Processing Sdn Bhd, ke mercu kejayaan.

“Ayah seorang peniaga yang gigih. Syarikat yang telah diusahakan sejak tahun 1993 ini benar-benar memberi satu motivasi besar kepada saya untuk menerajuinya.

“Bermula sebagai penjual ikan dan ayam secara kecil-kecilan dan berjualan di sekitar kampung, kami tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti akan mempunyai sebuah kilang memproses ayam.

“Mendengar kisah dan pent jerih ayah itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk mengharungi dugaan dan cabaran dalam perniagaan,” jelas anak sulung dari enam orang beradik yang banyak menerima dorongan daripada bapanya.

Selain itu kata Nur Amalina yang kini memasarkan ayam proses sekitar Johor Bahru, bapanya turut berkongsi ilmu untuk menjadi seorang peniaga yang baik.

“Saya ceduk banyak ilmu daripada ayah. Pengalaman yang dimiliki oleh ayah rugi kalau tidak saya gunakan sebaik mungkin.Saya mahu bergelar peniaga berjaya seperti ayah suatu hari nanti.

“Kini saya ke arah untuk harapan ayah dan juga impian saya sendiri. Kalau ada yang bertanya dan berkata, tidak bosankan dengan perniagaan sedemikian, jawapan saya hanyalah satu, berniaga apa sahaja memang ada keseronokan tersendiri,” luah Nur Amalina.

Cabar diri

Kata graduan dalam bidang pengurusan perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara ini, berniaga banyak mencabar dirinya sendiri. Melalui dunia perniagaan juga mengajar dia menghargai masa dan cara untuk berurusan dengan pembekal.

“Perniagaan ini memerlukan saya berjumpa dengan ramai pembekal dengan pelbagai kerenah. Mereka menawarkan harga yang berbeza untuk urus niaga. Jadi saya harus matang dan bijak menilai mana satu yang terbaik untuk diberikan kepada pelanggan saya pula.

“Saya tidak boleh terima sembarangan tanpa memikirkan apa yang akan kami dapat kelak. Selalunya, saya dan ayah berbincang mengenai hal ini dan kebiasaannya pembekal yang sentiasa mengekalkan hubungan baik dan senang berurusan akan kami kekalkan. Tidak dinafikan ada juga pembekal baru yang kami cuba untuk berurusan. Kami sentiasa mengamalkan win-win situation,” ujar anak sulung dari enam beradik ini.

Sambung Nur Amalina selain berdepan pembekal. cabaran lain adalah dari segi pengurusan masa. Luahnya yang sudah berumah tangga, mujur juga suami turut sama terbabit dalam perniagaan ini.

“Dia memahami kesibukan saya kerana dia suami juga bekerja di pejabat seperti saya. Jadi kami sentiasa amalkan waktu yang berkualiti. Masa kami berdua tetap ada begitu juga masa untuk keluarga.

“Kebiasaannya waktu itu kami manfaat untuk bercuti ataupun berkumpul satu keluarga. Hal ini tidak mendatangkan masalah apabila masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Lagipun kerja itu juga satu ibadah jadi tidak perlu dipayahkan urusan yang boleh dipermudahkan. Itu adalah prinsip saya,-kata peniaga muda yang cekal ini.

Proses 35 ribu ekor ayam sehari

Bercerita mengenai pengalamannya lagi, saat diberikan amanah untuk menerajui Masri Processing Sdn Bhd, pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Pertama sekali mampukah dia membawa Masri Processing kepada tahap yang diharapkan oleh keluarganya.

“Saya risau jika keadaan sebaliknya yang berlaku. Tetapi atas dorongan dan semangat yang diberikan oleh keluarga saya ambil tanggungjawab itu dan hingga kini alhamdulillah perancangan berjalan dengan lancar. Cuma biasalah dalam perniagaan akan berdepan sedikit sebanyak cabaran dan itu adat dalam perniagaan,” ungkap Nur Amalina.

Akui anak kelahiran Johor ini lagi, dia bernasib baik kerana mewarisi perniagaan yang sudah dalam keadaan stabil dan sedang berkembang. Pun begitu untuk mengekal apa yang sudah dilaksanakan oleh orang tuanya itu bukanlah mudah.

“Masri Processing Sdn Bhd menyasarkan pasaran yang lebih meluas dan bukan hanya tertakluk di negeri Johor sahaja. Saya mahu mennasarkan ayam keluaran syarikatnya ke serata negeri. Buat permulaan mulai tahun hadapan Masri Processing Sdn Bhd, cuba memasarkan ayam ke sekitar Lembah Klang.

“Kami sedang berusaha membuka cawangan baru di Semenyih, Selangor dalam usaha memasarkan ayam ke serata negeri Selangor dan juga Lembah Kiang,” ujarnya sambil memberitahu ayam proses halal yang dikeluarkan dijamin dari segi status halal dan kebersihannya.

Di samping itu kata Nur Amalina meski untuk pasaran sekitar negeri Johor sahaja, Masri Processing memproses 25,000 hingga 35,000 ekor ayam sehari menggunakan mesin canggih dan tenaga pekerja.

Matlamat tahun 2014

Memasuki tahun 2014, gadis ini berkeyakinan merealisasikan matlamat yang dirancang dengan tunjuk ajar bapa dan kerjasama pekerja. Dia mahu melebarkan sayap perniagaannya.

“Kini adalah masa untuk memperkukuhkan lagi perniagaan. Semoga perancangan yang dibuat berjaya.

“Kami yakin dengan kapasiti yang ada dan mampu memenuhi setiap permintaan. Ini juga salah satu cara kami mengukuhkan lagi perniagaan sedia ada” ungkap Nur Amalina.

Keranamu Guru

Rosnita tak pinggir pelajar lemah

Setiap makhluk ciptaan Allah punyai kelebihan don kelemahan. Begitu juga dengan manusia, tidak ada istilah sempurna. Mengambil iktibar di sebalik semua ini, Rosnita Mat Ail, 36, sentiasa muhasabah diri dan berlapang dada menerima ujian daripada Yang Maha Esa.

Rosnita percaya penglibatannya dalam bidang perguruan bukanlah kebetulan sebaliknya semua yang berlaku sudah direncanakan oleh-Nya. Dia bersyukur dan gembira diberi peluang memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa.

“Selepas tamat pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda dalam jurus Pengurusan Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya sempat bekerja di sebuah syarikat swasta. Di sana, saya diberi amanah untuk melatih pekerja baru. Dan situlah, timbulnya minat mengajar.

“Pada masa sama, Allah lorongkan jalan untuk saya bergelar pendidik sepenuh masa. Saya mengikuti Kursus Perguruan Lepasan ljazah (KPLI) di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras, Selangor selama satu tahun. Sejak itu, kecintaan terhadap bidang ini semakin menebal dalam diri saya,” kata guru yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Cerita Rosnita dia tidak pernah menyesal menjadi guru malah begitu teruja dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pelajar serta guru-guru lain. Dari hari ke hari semangatnya semakin berkobar-kobar untuk terus mendidik generasi muda agar menjadi insan cemerlang.

“Dalam usaha merealisasikan impian ini . sudah semestinya saya memberi sepenuh komitmen. Bukan sahaja bertanggung jawab mengajar pelajar malah saya juga diberi mandat untuk sama-sama membentuk akhlak pelajar. Tugas guru tidak berakhir di bilik darjah mahupun sekolah sebaliknya proses yang berterusan walau di mana pun saya berada.

“Saya akui bukan mudah menarik minat pelajar agar fokus dalam pelajaran apatah lagi untuk skor dalam peperiksaan. Ini kerana setiap pelajar mempunyai tahap berbeza, ada yang bijak, sederhana dan lemah.

“Pendekatan pembelajaran adalah berbeza mengikut kemampuan mereka_ Saya tidak memilih bulu, semua pelajar istimewa di hati saya. Tidak pernah saya meminggirkan pelajar lemah malah saya lebih memberi tumpuan, perhatian dan membantu golongan ini agar dapat meningkatkan prestasi dalam pelajaran seterusnya mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan,” jelasnya.

Kongsi teknik jawab soalan

Tidak cukup dengan pembelajaran di dalam bilik darjah, Rosnita mengadakan kelas tambahan bagi membantu pelajar membuat persiapan rapi untuk menduduki peperiksaan. Sebagai guru Bahasa Inggeris, dia amat memahami kesukaran pelajar untuk menguasai subjek tersebut.

“Saya tidak nafikan, ramai pelajar malu dan takut untuk berbahasa Inggeris. Saya sentiasa mengajak pelajar berfikiran positif dan berusaha memantapkan diri untuk menguasai bahasa tersebut.

“Jika ada kemahuan dan usaha, segalanya tidak mustahil. Saya mengambil contoh diri sendiri. Ketika saya bekerja di syarikat swasta dahulu, kakitangan di sana berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Pada mulanya, saya berasa sangat kekok, malu dan tidak yakin untuk berbahasa Inggeris.

“Mujur saya cepat sedar, saya tidak biarkan diri tenggelam dengan sikap negatif. Saya belajar perlahan-lahan, Alhamdulillah akhirnya saya dapat menguasai bahasa tersebut. Pengalaman ini saya kongsi dengan pelajar.

“Sebenarnya tidak sukar untuk kuasai Bahasa Inggeris. Pelajar mesti kikis rasa malu dan sentiasa berkonnunikasi dalam bahasa tersebut. Dalam proses tersebut, jangan takut melakukan kesilapan kerana ia akan mematangkan

“Mulakan dengan langkah kecil dengan menggunakan perkataan bahasa Inggeris dalam perbualan. Tidak salah bercakap dalam bahasa rojak tapi dari semasa ke semasa, pelajar mesti perbaiki diri dan belajar melalui kesilapan,” ujar Rosnita panjang lebar.

Sepanjang lapan tahun bergelar pendidik, banyak pengalaman pahit manis yang ditimba Rosnita. Wanita kecil molek ini mengatakan kenangan mendidik pelajar nakal tidak pernah dilupakan.

“Saya masih ingat lagi, pelajar ini sangat nakal dan sering menimbulkan masalah di sekolah. Saya tidak bersangka buruk padanya. Saya mengambil pendekatan psikologi, saya mengajarnya menguasai bahasa Inggeris.

“Dia memang sangat lennah dalam subjek Bahasa Inggeris dan tidak pernah lulus. Tidak putus asa, saya terus membantunya menguasai subjek ini. Saya kongsi tip skor dalam peperiksaan. Saya ajar cara mudah untuk pelajar mendapat markah.

“Menjelang peperiksaan, saya memberi latih tubi pelbagai bentuk soalan agar pelajar mendapat pendedahan. Persediaan mental juga turut dititik berat, selain melakukan solat hajat dan ceramah motivasi, saya bersama rakan sejawat dan ibu bapa tidak putus mendoakan kejayaan pelajar,” cerita Rosnita.

Kutip dana, bantu pelajar miskin

Melihat pelajar yang kurang berkemampuan, Rosnita terpanggil untuk membantu golongan ini. Dia bersama guru dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) melaksana tanggung jawab sosial dengan mengutip dana bagi meringankan beban golongan tersebut.

“Ada pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, mereka tidak mampu membeli buku latihan dan barang keperluan belajar yang lain.

Golongan ini mendapat perhatian yang tidak berbelah bagi daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), sekolah dan ibu bapa. Mereka mendapat bantuan kewangan menerusi Kumpulan Wang Pelajar Miskin (KWAM).

“Kami bekerjasama membantu mereka agar dapat belajar dalam keadaan selesa seperti pelajar lain. Bantuan ini bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran. Saya selalu pesan agar pelajar saya belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu dapat membantu mengubah nasib diri dan keluarga,” ungkapnya penuh makna.

Dalam pada itu anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini turut berkongsi kriteria untuk menjadi guru yang baik. Katanya, individu yang mahu melibatkan diri dalam bidang perguruan mestilah mempunyai minat mendalam.

“Minat dan kecintaan inilah yang akan mendorong kita untuk terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara. Selain itu, guru juga perlu berpengetahuan luas dan berfikiran positif. Mereka juga haruslah bersabar melayan kerenah pelajar dan menunjukkan sikap yang baik agar pelajar dapat mencontohinya.

“Guru kini juga mesti bijak memenangi hati pelajar dengan pendekatan yang kreatif. Tawan hati pelajar agar mereka suka dengan karakter guru. Keserasian clan ikatan ini akan mendorong pelajar untuk meminati subjek yang diajar dan memberi fokus di dalam bilik darjah,” katanya yang gemar melancong ke lokasi menarik bersama suami, Mohd Yusnor Mohd Yusuf, 42, dan anak-anaknya, Mohd Zulqarnain, 12, dan Ardini Aeshah, 1.

Srikandi

Di kelilingi bayi sakit, hati Siti Mariam sentiasa tersentuh

Melihat sendiri dua daripada bayi! kembar tiga menemui Sang Pencipta beberapa bulan lepas meruntun emosi ibu kepada Muhammad Amsyar Ziqri ini. Nyata naluri keibuan wanita yang berasal dari Jengka, Pahang ini menjadi cetusan semangat untuk dia terus memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

Berkongsi cerita, Siti Mariam Mohd Yusof yang senang dipanggil Siti tidak menyangka dorongan ayah membuahkan minat seterusnya memberi dia peluang merasai pengalaman yang tidak ternilai.

Ujar Siti, menyelami kesedihan pesakit menjelmakan satu perasaan yang sukar digambarkan meski mengetahui dia perlu kuat mendepani apa jua situasi.

“Saya tidak mungkin dapat melupakan pengalaman melihat dua daripada bayi kembar tiga meninggal dunia. Seorang demi seorang bayi pramatang itu pergi menghadap Ilahi.

“Bayangkanlah saya yang cuma seorang jururawat ketika itu berasa sedih dengan kehilangan dua orang bayi comel berkenaan. Bagaimana pula dengan ibu bapa bayi berkenaan lebih-lebih si ibu yang mengandung dan melahirkan bayi kembar tiga itu.

“Memang sukar digambarkan perasaan ketika itu namun saya lihat sebalik rasa sebak, ibu bapa bayi berkenaan begitu tabah menerima ujian Ilahi. Bila dikenangkan semula, saya sendiri tidak tahu bagaimara berhadapan situasi tersebut andai ia terjadi kepada saya-jelas wanita berusia 26 tahun ini lagi.

Bertugas di Wad NICUHospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan. Siti mengakui penglibatannya ke dunia kejururawatan menerusi minat yang dipupuk.

“Saya tidak pernah terfikir bergelar jururawat. Mulanya saya memohon-sekadar suka-suka sahaja kerana melihat dua orang kakak lain turut bekerja sebagai jururawat. Namun tidak sangka saya mendapat tawaran mengikuti latihan kejururawatan selepas itu.

“Pada masa yang sama, saya turut menerima panggilan kemasukan ke universiti. Tawaran kedua-duanya membuatkan hati saya berbelah bahagi kerana saya memang tidak berminat menjadi jururawat.

“Namun atas nasihat ayah, saya terima tawaran mengikuti kursus latihan jururawat dan menjalani latihan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh pada tahun 2007,” ujarnya yang tamat latihan tiga tahun selepas itu.

Hati perlu kuat

Daripada rasa tidak suka, minat terhadap dunia kejururawatan bercambah selepas mengikuti latihan kejururawatan.

“Timbul rasa simpati dan ingin membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan selepas saya berkhidmat pada Ogos 2010. Saya mula bertugas menjaga pesakit-pesakit yang bernafas dengan bantuan mesin di bawah Jabatan Anaestesiologi selama dua tahun.

“Tetapi disebabkan minat mendalam untuk berkhidmat kepada bayi dan kanak-kanak, akhirnya saya memohon dipindahkan ke Unit Paediatrik. Dari situ bermulalah cabaran saya menjaga bayi-bayi yang mempunyai masalah kesihatan, kebanyakan daripada mereka adalah bayi pramatang dan bernafas dengan bantuan mesin pernafasan,” jelas isteri kepada Mohd Eazwan Shah Abd Azir

Anak keenam daripada 11 orang beradik ini turut menyifatkan penjagaan bayi yang diamanahkan kepadanya mempunyai banyak cabarannya.

“Hati kena kuat dan cekal kerana setiap hari saya pasti tersentuh melihat bayi yang baru lahir ditempatkan di NICU. Pastinya terdapat perbezaan menjaga orang dewasa dan bayi kerana kadangkala kita tidak tahu kehendak bayi tersebut.

“Mereka tidak pandai mengadu sakit berbanding orang dewasa. Bukan sahaja dari segi penjagaan bayi namun kami jururawat perlu menangani emosi ibu bapa bayi yang terbabit.

“Pastinya saya sebagai ibu memahami perasaan mereka bila berhadapan dengan anak yang mempunyai masalah kesihatan. Di sini, kami perlu bijak mengawal keadaan. Ya lah, kadangkala mereka berasa sedih dan seolah-olah mahu jururawat menjaga anak mereka sahaja.

“Dalam situasi ini, kami perlu menerangkan kepada mereka bahawa keutamaan perlu kami berikan sekiranya terdapat bayi-bayi lain yang lebih memerlukan khidmat kami ketika itu.

“Bukan tidak menjaga bayi mereka tetapi masalah kecemasan perlu diutamakan kerana tanggungjawab kami adalah cuba memberikan khidmat terbaik kepada semua pesakit tanpa mengira status,” jelasnya.

Disebabkan minat mendalam untuk memberi perawatan terhadap bayi, Siti berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Neonatal.

“Saya bersyukur kerana keluarga dan suami menyokong kerjaya saya ini. Bukan mudah menjadi seorang jururawat dan walaupun kerjaya ini bukan kerjaya glamor namun ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

Bayangkanlah kami terpaksa bekerja syif tanpa mengira cuti umum dan pulang pula tidak tentu masa. Tentunya saya berharap ramai lagi anak-anak muda berminat menyertai kerjaya ini,” tuturnya pada akhir kata.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s