Teks untuk Podcast 2014 010

Podcast 2014 010 merupakan rakaman audio rencana-rencana daripada beberapa akhbar bertarikh 22 Januari 2014 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kosmo

Pelekat kereta seragam bagi OKU akan diperkenalkan – Rohani.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkenal pelekat kereta seragam untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya di kawasan bandar.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pada peringkat ini, perbincangan masih diadakan dengan pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan dijangkakan selesai selewat-lewatnya April ini.

“Majlis Mesyuarat Kebangsaan OKU telah menyuarakan permohonan pelekat kereta seragam ini, selain mahukan papan tanda meletak kenderaan OKU yang jelas supaya orang bukan OKU tidak menyalah guna kemudahan itu.

“Dalam hal ini, saya minta orang ramai beri pertimbangan. Kalau kita mahu mentaliti rakyat negara maju, maka kita mestilah ada kesedaran seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Sensori TNB-MAB di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields di sini, hari ini.

Sinar Harian

Komited tingkat ekonomi OKU

PELBAGAI langkah diambil kerajaan untuk membantu menaikkan taraf hidup dan ekonomi Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk peruntukan RM441 juta dalam Bajet 2014.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementerian itu menyediakan program dinamakan Purple DNA yang melibatkan semua OKU di bawah KPWKM untuk menghasilkan hasil kerja kraf tangan seperti jahitan dan anyaman.

“Produk itu akan dibeli oleh kementerian untuk digunakan sebagai hadiah pemberian atau cenderahati, dan bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung OKU sebagai dana mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Taman Sensori Tenaga Nasional Bhd (TNB)-Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur, semalam.

Rohani turut berkata, pada masa sama, kementerian itu sentiasa melakukan perbincangan dengan jabatan kerajaan serta pihak swasta seperti pasar raya dalam memasarkan produk buatan OKU dan memberi mereka peluang pekerjaan.

“Selain itu, Kementerian Sumber Manusia juga ada menyediakan Skim Bantuan Galakan Perniagaan bagi OKU dengan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000.

“Jika dilihat semua pihak memainkan peranan dalam membantu memperkasakan ekonomi OKU di negara kita bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka,” katanya.

Turut hadir di majlis perasmian tersebut Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie serta Presiden MAB Datuk Ganesan Supayah.

Taman Sensori TNB-MAB adalah taman yang boleh diakses dan dirasai keindahannya oleh OKU penglihatan melalui bau tumbuhan dan papan tanda tulisan Braille bagi nama tumbuhan yang ada di taman tersebut.

TNB membelanjakan RM115,000 yang diperoleh melalui kutipan Tabung Amal TNB-MAB bagi membuka taman itu di Kompleks MAB di Brickfields, Kuala Lumpur.

The Star

Teks berikut ialah terjemahan bebas daripada rencana asal di dalam Bahasa Inggeris.

Sebuah taman untuk menghidu bau bunga

Kuala Lumpur: Godfrey Ooi , 66, teruja berjalan-jalan di taman sensori pertama di Malaysia , berhenti di setiap pokok untuk menyentuhnya dan meneriakkan nama tumbuh-tumbuhan itu kepada dua orang kawan-kawannya.

Godfrey, bagaimanapun, tidak menggunakan deria penglihatannya membaca papan tanda yang terpampang. Sebaliknya, warga emas , yang telah buta sejak lahir itu, menggunakan deria sentuh beliau untuk mengenali tumbuh-tumbuhan tadi.

“Taman ini sangat berguna diwujudkan supaya orang seperti saya boleh menggunakan pancaindera kami yang lain untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

“Rancangan membangunkan taman ini bagi orang-orang cacat penglihatan telah lama dicadangkan sejak tahun 2005 lagi, dan saya gembira melihat ia telah berhasil hari ini,” katanya ketika ditemui di taman sensori TNB- MAB di perkarangan kompleks Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields di sini semalam.

Sebuah taman sensori khusus dicipta untuk manfaat yang cacat penglihatan, supaya mereka boleh menggunakan deria sentuh, bau dan bunyi untuk membezakan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ.

Taman ini adalah projek bersama di antara MAB dan Tenaga Nasional Berhad , dan mengandungi lebih daripada 30 tumbuh-tumbuhan, termasuk kenanga , jejarum , ciku dan kedondong .

Godfrey dan dua orang kawannya, Barnabas Lee dan Thavasothy S.M. Pillai, menjadi tumpuan perhatian ketika mereka berjalan-jalan di taman itu, mengagumkan pelawat-pelawat lain dengan membaca pantas tanda-tanda Braille yang menunjukkan nama tumbuh-tumbuhan di situ.

“Saya sedar pokok-pokok ini masih muda sekarang, tetapi saya pasti taman ini akan menjadi lebih baik apabila pokok-pokok tersebut bertambah matang dan akan menjadi lebih mudah untuk kami belajar membezakan mereka,” kata Godfrey, yang baru-baru ini bersara daripada menjadi ahli jawatankuasa MAB.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang melancarkan taman itu semalam, berkata inisiatif itu akan membolehkan lebih ramai orang cacat penglihatan menikamti keindahan alam semula jadi dan meningkatkan kesedaran alam sekitar mereka .

“Ramai daripada kita tahu tentang bau boleh digunakan mengenal pasti tumbuh-tumbuhan, tetapi saya amat berminat apbila diberitahu bahawa tumbuh-tumbuhan juga boleh dibezakan dengan bunyi yang dihasilkan apabila angin bertiup, ” katanya.

Rohani berkata tidak terdapat banyak taman-taman sensori di negara-negara Asean, tetapi tidaklah luar biasa di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, dan Australia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s