Teks untuk Podcast 2014 009

Podcast 2014 009, merupakan rakaman audio sebuah rencana daripada akhbar Kosmo 19 Januari 2014 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Magis cinta lelaki buta disimbah asid

Bekas pemandu lori yang buta akibat disimbah asid tiga tahun lalu mahu melupakan peristiwa hitam itu selepas berkahwin awal bulan ini.

TIGA tahun lalu, Muhamad Hanif Shuib sedang leka menonton televisyen di rumahnya di Padang Besar, Perlis sebelum pintu rumahnya tiba-tiba diketuk. Di luar, kelibat dua lelaki sedang menunggu di muka pintu.

Muhamad Hanif, bekas pemandu lori, perlahan-lahan bangun untuk membuka pintu tetapi malangnya salah seorang lelaki itu sepantas kilat menyimbah asid ke mukannya.

“Muka saya bagaikan terbakar manakala penglihatan menjadi kabur.

“Saya terus berlari keluar untuk mendapatkan pertolongan. Saya ditemui di tepi jalan kira-kira 30 meter dari rumah oleh seorang penunggang motosikal yang kemudian menghantar saya ke hospital,” katanya ketika ditemui di Padang Besar baru-baru ini.

Ceritanya dalam nada sedih, akibat simbahan asid itu, 50 peratus muka dan pinggangnya melecur.

Dijahit

Lebih menyedihkan, deritanya tidak berakhir di situ. Deria penglihatannya terpaksa dibuang selama-lamanya, manakala kedua-dua kelopak mata ditutup serta dijahit. Cuma sedikit lubang ditinggalkan bagi membolehkan air matanya mengalir keluar.

Muhamad Hanif memberitahu, kulit pada belakang badan, paha dan kaki dijadikan pengganti kulit di bahagian muka dan depan badannya yang rosak teruk terkena simbahan asid tersebut.

“Kini seluruh badan saya terpaksa berbalut kerana sedang bersalin kulit. Ini menyukarkan saya untuk bergerak.

“Dahulu saya tak macam ini tetapi saya reda dan cuba menyesuaikan diri,” katanya.

Muhamad Hanif kini berusia 27 tahun. Kedua-dua lelaki penyimbah asid itu sehingga ini belum dapat dikesan.

Kejadian pada 14 Mei 2011 itu masih segar dalam ingatan lelaki ini yang mengakibatkannya dia menjadi orang kelainan upaya (OKU).

Cemburu dengan hubungan cinta Muhamad Hanif dengan seorang gadis berumur 32 tahun dikatakan punca dia diperlakukan sedemikian.

Menurut bapanya, Shuib Mat yang berumur 70 tahun, kejadian yang menimpa anak bongsunya itu amat mengejutkan kerana mangsa seorang yang disenangi dan tidak mempunyai musuh.

“Sebelum ini, Muhamad Hanif putus cinta dengan seorang gadis selepas mereka menjalin hubungan kira-kira tiga tahun.

“Walaupun begitu, wanita itu masih kerap bertandang ke rumah anak saya dan mengganggunya,” ujar Shuib.

Tirai bahagia

Muhamad Hanif memulakan tirai 2014 dengan penuh harapan apabila berkahwin dengan seorang tukang masak restoran, Intan Norfariehan Iliana Razali, 22.

“Perkenalan kami selama dua bulan semasa belajar mengaji al-Quran di sebuah masjid berdekatan menimbulkan bibit-bibit cinta sehingga kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Abang (Muhamad Hanif) seorang yang romantis dan pandai memujuk kalau saya merajuk,” kata Intan.

Tambah Intan, dia tidak memikirkan soal paras rupa kerana percaya suaminya akan mencintainya sehingga ke akhir hayat.

“Walaupun dia tidak dapat melihat wajah saya kami yakin akan hidup bahagia,” katanya.

Bagi Muhamad Hanif, dia merancang untuk bekerja sebagai tukang urut bagi menanggung keluarganya kelak.

“Dahulu saya bujang tetapi setelah berkahwin, saya sudah ada komitmen malah bakal mempunyai zuriat.

“Isteri saya pula bekerja, jadi dengan pendapatan kami berdua rasanya cukup untuk menanggung keluarga. Lagipun kos hidup di kampung tidak terlalu tinggi berbanding di bandar besar,” katanya.

Ujarnya lagi, dia menerima segala ketentuan Allah.

“Jika kita sekadar merintih dan menyesali nasib, perjalanan hidup tidak akan ke mana, lebih baik saya teruskan kehidupan dan membahagiakan keluarga.

“Mengenai bilangan zuriat, saya tidak dapat tentukan. Jika ramai pasti lebih meriah rumah,” katanya.

Bagi bapanya, Shuib, dia berharap anaknya dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih bersemangat dan melupakan peristiwa hitam itu.

“Saya yakin dia mampu bangkit. Sebelum ini kebanyakan masanya dihabiskan dengan duduk sahaja di rumah.

“Tetapi, beberapa bulan sebelum berkahwin, dia rajin belajar al-Quran di masjid berdekatan rumah selain belajar mengurut di sebuah pusat mengurut di bandar Kangar,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s