Teks untuk Podcast 2014 008

Podcast 2014 008, merupakan rakaman audio terjemahan bebas sebuah rencana berbahasa Inggeris daripada akhbar New York Times 16 Januari 2014 dan teks terjemahannya adalah seperti berikut:

Catatan kebutaan

oleh Peter Middleton dan James Spinney

Pada tahun 1983, penglihatan penulis dan ahli teologi John Hull hilang buat selama-lamanya setelah semakin berkurangan tahun demi tahun sebelumnyaa. Selama tiga tahun seterusnya, dia merakamkan diari tentang dunia dalaman seorang buta menggunakan perakam kaset . Filem “Catatan kebutaan” adalah olahan drama yang menggunakan rakaman asalnya.

Baru-baru ini, John Hull memberi maklumbalas tentang catatan diari dalam filem itu, mengingat kembali ketika dia masih celek, rasa berdebar ketika mula berdepan kegelapan dan akhirnya penemuan keindahan.

‘Catatan kebutaan’ Bahagian I: Memori

“Memang rasa ganjil mengimbas semula kenangan ini selepas lebih daripada 30 tahun. Ia seperti … seperti luka lama yang berdarah kembali. Mungkin hilang upaya adalah seperti itu. Pada satu tahap, sudah tentu, anda boleh menyesuaikan diri dengan keadaan. Anda sembuh. Anda terlupa. Tetapi sesuatu seperti ini datang dan terasa seolah-olah ia kudis yang tidak pernah sembuh.

Anak-anak saya, sudah besar-besar sekarang. Mereka anak-anak muda yang mempunyai kehidupan mereka sendiri di tempat-tempat yang berlainan di negara ini. Saya tidaklah tertanya-tanya sangat bagaimana rupa mereka, tidak pernah terfikirpun. Namun kenangan ini, entah bagaimana menggamit saya kembali ke dalam dunia penglihatan. Adakah saya akan dapat mengenali mereka dengan lebih baik jika saya berupaya melihat mereka selama ini? Saya tidak dapat menahan diri daripada tertanya-tanya.

Imogen, dengan mata besar berwarna coklat ketika dia kanak-kanak. Thomas, masihkah dia memiliki senyuman nakalnya itu? Gaby dan Joshua, bagaimana mereka? Anak-anak teruna yang baik-baik? Lizzie, adakah dia seorang wanita muda yang cantik sekarang? Namun, semua pertanyaan ini sia-sia sahaja bukan? Saya tidak perlu melihat mereka. Saya, saya tidak fikir saya akan mengenali mereka dengan lebih rapat jika saya boleh melihat mereka. Hidup saya dengan mereka penuh dengan perbualan, cerita hidup yang dilalui bersama-sama, kisah hari-hari yang berlalu.

Lagipun menjadi manusia bukanlah hanya melihat tetapi menyayangi.”

‘Catatan kebutaan’ Bahagian II: Panik

“Perasaan panik telah lama reda. Rasa sensitif tentang topik buta pula semakin berkurangan. Saya juga semakin kurang sedar tentang kegelapan. Ah, ketika cahaya malahan memori cahaya semakin pudar, kesedaran tentang kegelapan juga pudar. Jadi, saya tidak berasa seolah-olah saya dalam kegelapan. Ah, saya tidaklah asyik berfikir saya ni buta. Saya hidup seperti biasa dan saya, saya menyukainya.

Sudah tentu juga asma yang begitu serius pada masa itu menyumbang kepada perasaan panik. Jadi, itu satu lagi sebab mengapa ia tidak begitu buruk hari ini. Namun, sekali-sekala, kadang-kadang, saya rasa seperti diserang claustrophobia. Ditindas kegelapan yang … yang datang kembali bagi saya. Saya kurang pasti apa yang menimbulkannya. Kadang-kadang perasaan yang datang tiba-tiba, rasa seperti orang yang tidak normal, tiba-tiba menyedari, dikelilingi orang lain yang celek. Dan kemudian saya rasa seolah-olah terhimpit oleh gumpalan kegelapan yang besar. Seperti, seperti perangkap di sekeliling saya.

Saya tidak tahu sama ada orang celek pernah rasa terpukau atau panik oleh lebihan penglihatan. Lebihan cahaya? Adakah orang celek kadang-kadang berasa terdedah di hadapan seluruh dunia yang melihatnya? Jika tidak, kenapa perasaan buta menjadikan saya panik ? Nah, apabila rasa biasa menjadi buta hilang- apabila seseorang tiba-tiba berasa lain daripada yang lain – maka kehadiran orang buta lain terasa amat selesa “.

‘Catatan kebutaan’ Bahagian III: Hujan

“Saya tidak pasti sama ada keindahan benar-benar wujud dalam kebutaan atau sama ada ia hanya serpihan kehidupan yang dipulihkan kepada anda apabila begitu banyak yang hilang. Dunia memang kembali kepada anda. Entah bagaimana lebih berharga pula kerana ia serpihan. Tetapi kemudian anda lupa bahawa itu hanya serpihan dan mula menikmatinya seadanya.

Saya rasa kebutaan merendahkan sempadan kesedaran anda supaya anda mula sedar perkara-perkara yang jika tidak, anda tidak akan perasan. Angin yang bertiup di celah pokok. Bunyi daun kering berdesiran di depan pintu. Suara manusia. Cahaya matahari pada muka anda. Dan perkara-perkara yang lebih remeh: bau buku baru, betapa licinnya bucu meja, rambut manusia, tegukan pertama apabila minum wain merah. Sudah tentu saya tahu bahawa orang celek juga menikmati perkara-perkara ini, tetapi mungkin kebutaan membawa pengalaman yang lebih intensif yang entah bagaimana menjadikannya lebih indah?

Saya membuka tingkap bilik air pada awal pagi. Ada sentuhan fros pada jendela tersebut. Terdengar jeritan burung hantu. Jauh kedengaran kereta api pagi bergegas lalu. Saya menutup tingkap. Dalam keheningan itu saya tahu bahawa hidup ini indah. “

Cerita di sebalik “Nota kebutaan”

Daripada pengarah-pengarah

Pada bulan Mei 2011, kami menerima sebuah bungkusan berisi kotak yang berhabuk mengandungi lapan kaset C90. Dalam gemercik analog pita yang pertama, kami mendengar suara yang kini telah biasa kami dengar: “Kaset satu. Bahagian satu. Catatan kebutaan. “Itulah kali pertama rakaman itu dimainkan semula setelah hampir 25 tahun berlalu.

Kami bertemu dengan John dan Marilyn Hull enam bulan dulu ketika penggambaran dokumentari pendek mengenai pengalaman orang buta dengan salji. Antara banyak-banyak testimoni yang diperolehi semasa kajian kami adalah buku karangan John, “Menyentuh batu.” Kami terpegun dengan pemerhatiannya yang mendalam dan tarikan ceritanya. Tentu sekali, kami tidak sabar-sabar untuk mengetahui sama ada pita diari yang merupakan sumber rujukan buku itu masih wujud, dan rasa amat bertuah apabila John bermurah hati mahu berkongsi dengan kami.

John menghidap penyakit katarak pada usia 13 tahun, yang menyebabkan dia buta selama beberapa bulan pada satu-satu masa. Pemulihan penglihatannya diikuti oleh satu siri penceraian retina. Selepas beberapa pembedahan, pada tahun 1980, ketika berusia 45 tahun, penglihatan John menjadi begitu teruk sehinggakan dia telah didaftarkan buta. Dia dan Marilyn baru sahaja berkahwin dan Marilyn baru sahaja melahirkan seorang anak lelaki, Thomas. Pada masa itu John bekerja sebagai seorang pensyarah di Universiti Birmingham, England, dan dia mengimbas kembali tempoh awal ini dipenuhi cabaran menyesuaikan diri, yang meninggalkan sedikit sangat masa untuk renungan.

John mula berdepan dengan kehilangan yang besar ini hanya pada tahun 1983, apabila dia hilang sensasi terakhir yang melibatkan cahaya. “Saya sedar bahawa jika saya tidak memahaminya,” katanya kini mengimbas kembali, “kebutaan akan memusnahkan saya.” Pada bulan Jun tahun itu John membuat rakaman diari pertamanya.

“Dunia yang mengheret saya dan mereka yang saya sayangi akan menyelubungi kami. Tidak ada jalan balik. Kebutaan itu kekal dan tidak boleh diubah … Hidup saya dalam krisis. “

Sepanjang tiga tahun yang berikut John mencatatkan lebih 16 jam diari audio, mendalami dunia kebutaan. Diari tersebut mendokumenkan tempoh penyingkiran rasa gundah, tetapi akhirnya satu pembaharuan, yang John jelaskan sebagai satu penemuan “dunia di luar penglihatan.”

Sepanjang tempoh ini, diari tersebut dicirikan oleh pandangan yang resah mencari-cari. Dan di sini pengungkapan kami menjadi bermasalah – wawasan, pandangan, pemerhatian. Salah satu ketegangan besar yang timbul dalam kerja ini ialah ia sentiasa menghampiri batas bersuara, mengekang bahasa yang dikuasai oleh rujukan visual dan imej. Namun, inilah detik-detik yang paling puitis: The Los Angeles Times, dalam ulasan tentang buku John, “Menyentuh batu,” menyatakan “bakatnya untuk – dalam kata-kata penyair buta John Milton – membuat ‘kegelapan kelihatan.’ “Sebagai pembikin filem, juga, kami mendapati bahawa mengolah bahan ini dalam medium visual adalah usaha separa paradoks.

Rakaman asal audio yang dibuat oleh John menjadi asas naratif filem ini. Kita juga mendengar suara Marilyn, yang diambil dari wawancara BBC dari awal 1990-an. Sumber-sumber dokumentari disokong oleh tafsiran sinematik menggunakan pelakon, metafora visual dan reka bentuk bunyi bertekstur. Rakaman audio digunakan dengan pelbagai cara: penceritaan secara langsung, dialog dan dalam keadaan tertentu percakapan kata demi kata, oleh pelakon-pelakon kami.

Dalam menggabungkan dokumentari dan unsur dramatik, kami berharap untuk mengikuti trend terkini dalam pendekatan kreatif berkaitan bentuk dokumentari, seperti “Stories We Tell” oleh Sarah Polley dan “The Act of Killing” oleh Joshua Oppenheimer; filem-filem yang menyoal siasat perbezaan antara “apa yang benar” dan “yang dilakukan” dalam rangka kerja dokumentari.

“Catatan kebutaan” telah digarap sebagai tiga bab yang berbeza, setiap satu meneroka satu tema utama diari. Yang pertama memberi tumpuan kepada peranan visual dalam ingatan dan pembinaan diri. Yang kedua meneroka pergelutan John dengan penerimaan dan persoalan sama ada dia akan dapat benar-benar mencari kedamaian dengan kebutaan. Bab terakhir adalah meraikan rasa – imbasan pertama John yang pertama tentang “kekayaan” kebutaan dan nuansa persepsi bukan visual.

Penjelasan John tentang kebutaan sebagai “daerah sempadan antara mimpi dan memori” memandu pendekatan estetik kami, dan banyak daripada imej utama filem itu berakar umbi daripada keterangannya. Keseluruhan diari John mengimbas kembali mimpi “beraneka warna”, “tahap kesedaran visual paling akhir,” yang dibandingkannya dengan pengalaman menonton filem. Khususnya, imej air yang berulang dalam filem itu – visi gelombang melonjak; diheret ke laut dalam – adalah dari penceritaan John.

Walaupun suara John dan Marilyn merupakan bahagian utama runut bunyi, kami mengelak menggunakan secara langsung bahan arkib visual pada skrin. Dalam petikan di mana John menerangkan “cuba mengingat kembali kenangan gambar-gambar” untuk mengingat semula wajah anak-anak, kami dengan hati-hati mencipta semula imej dari album foto keluarga Hull menggunakan pelakon-pelakon kami.

Catatan dari diari dan temu bual penyelidikan dengan John dan Marilyn menghasilkan bab kedua filem yang menunjukkan beberapa keadaan sedih apabila perasaan panik mencetuskan asma. John telah mengalami masalah pernafasan yang teruk sejak zaman kanak-kanak, dan ini menjadi semakin teruk dalam tempoh beberapa tahun pertama kebutaan, satu manifestasi akut fizikal rasa diri yang terasing. Mungkin kebetulan, di bahagian lain diari, John membandingkan minda mereka yang baru buta, yang rindukan rangsangan optik, dengan paru-paru yang kekurangan oksigen, tercungap-cungap menghirup udara.

Babak terakhir “Catatan kebutaan” mengandaikan naratif yang lebih besar daripada pita-pita tadi, dengan John mengenalpasti perubahan besar dalam pandangan beliau. Di penghujung diari, John mendapati bahawa dia semakin sering terpaksa mengingatkan dirinya tentang kewujudan dunia visual. Malah, dalam entri dari tahun 1986 dia juga mentakrifkan kebutaan sebagai “, sebuah hadiah paradoks yang gelap,” di mana dia akan mentakrifkan semula hidupnya.

Sekarang dalam usia lewat 70-an dan masih bekerja sebagai profesor kehormat di Queen’s Foundation for Ecumenical Theological Education, Birmingham, John pada tahun 2012 telah dianugerahkan “Lifetime Achievement Award for Services to Literature on Blindness” oleh Royal National Institute of Blind People (RNIB).

Maklum balas John terhadap ekstrak diari yang digunakan dalam “Catatan kebutaan, “mendengar semula setelah 30 tahun berlalu, mengiringi filem itu dalam bentuk teks dan audio. Adalah jelas memang pedih baginya mengenang semula apa yang telah berlalu. Pada minggu lepas sahaja, John memberitahu kami bahawa sementara merangka maklum balas ini beliau terpaksa menelefon Marilyn dari pejabatnya untuk bertanya, “Mengapa saya lakukan ini?” Marilyn menjawab, “Untuk yang lain-lain.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s