Teks untuk Podcast 2014 007 03

Podcast 2014 007 03, merupakan bahagian ketiga daripada rakaman audio rencana-rencana daripada Mingguan Wanita 13 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Misteri Alam

Bunga pukul empat putihkan kulit

Bunga Pukul Empat atau nama botoninya Mirabilis Jalapa adalah tanaman hiasan yang berasal daripada bahagian Amerika Tropika, Bunga ini mendapat namanya daripada sifatnya yang berkembang pada lewat petang atau ketika mendung dan menguncup pada keesokan paginya.

Dikenali juga dengan nama Marvel of Peru ini, ia memiliki khasiat ubatan yang tersendiri. Bunga Pukul Empat adalah pokok herba dengan dahan tegak dan bercabang. Akarnya menghasilkan ubi.

Daunnya jenis ringkas terdapat dalam susunan berhadapan. Tangkai daun halus dan panjang. Bentuk daun bujur telur lebar, bujur telur runcing atau segi tiga. Hujung daunnya runcing.

Bunganya berbentuk trompet berwarna kemerah-merahan, merah jambu, oren, kuning atau putih. Ada juga jenis bunganya yang mempunyai jalur-jalur berlainan warna. Sebatang pokok boleh mempunyai lebih daripada satu warna bunga.

Jambak bunga pada hujung ranting dan kuncup pada waktu pagi serta berbau wangi pada waktu malam. Buahnya berbentuk bulat bebola, keras dan kulit berwarna hitam.

Herba ini tidak boleh digunakan oleh wanita yang ingin atau sedang hamil. Bijinya bersifat toksik yang boleh mengakibatkan muntah dan cirit. Akarnya yang terlalu tua mempunyai kesan julap. Biji dan akar mengandungi alkaloid jenis trigonelin. Bahagian yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah akar, buah, biji, bunga dan daun.

Akarnya dihancurkan dan ditampal pada lebam, luka dan seliuh. Serbuk akar yang kering dicampurkan bedak sejuk dan serbuk kayu cendana lalu digunakan sebagai bedak untuk menghilangkan jerawat serta menghaluskan dan memutihkan kulit.

Air rebusan akar dan ubinya diminum untuk merangsang pembuangan air besar, sebagai julap, merawat air kencing keruh, menyingkirkan cacing, artritis, bengkak kelenjar prostat, cirit, busung, disenteri, diabetes mellitus, erosi serviks, jangkitan salur kencing, mulas perut, keputihan pada faraj dan sifilis.

Air rebusan ini juga dikatakan boleh dijadikan ubat luaran bagi merawat bengkak buah dada, bisul, kudis dan sakit kulit. Akar dan rantingnya dimasak bersama daging lalu diminum untuk merawat bengkak-bengkak badan, selesema, dan keputihan pada faraj.

Akar yang kering direbus dengan susu lalu diminum untuk menguatkan tubuh. Cecair yang diperah daripada akar yang segar digunakan pada tonsil yang bengkak atau radang.

Ubat kurap dan jangkitan kulit

Buah atau biji pokok bunga pukul empat dikatakan boleh dibuat agen julap. isi yang telah dihancurkan menjadi serbuk dikatakan boleh dicampurkan dengan air gula lalu diminum untuk merawat cirit.

Sedikit serbuk biji ditelan untuk membuka selera makan. Buah atau biji dijadikan serbuk atau bedak yang disapu pada jerawat untuk menghaluskan dan memutihkan kulit.

Bunga yang telah dihancurkan dikatakan boleh ditampal pada kulit berkurap dan jangkitan lain. Bunga segar berwarna putih yang telah dihancurkan, diperah dan diambil cecairnya lalu dicampurkan madu lebah dan diminum untuk merawat batuk darah. Bunga yang segar dihancurkan, cecair diekstrak dan ditelan untuk merawat pendarahan dalam rahim dan menghalang keguguran bayi.

Cecair daripada bunga yang telah diperah dikatakan boleh dimasukkan ke dalam telinga untuk merawat sakit telinga. Cecair bunga berwarna putih disapu pada muka sebelum keluar rumah supaya cahaya matahari tidak mengancam kecantikan kulit muka.

Daun pokok Bunga Pukul Empat dikatakan boleh ditumbuk lumat, cecairnya diperah dan disapu pada kudis, luka dan mata bengkak. Cecair daunnya ditelan untuk merawat gonorea dan cecair keluar dari rahim.

Daunnya dihancurkan dan digosok pada badan untuk merawat demam panas, atau diletak pada bisul supaya cepat masak. rebusan daun disapu pada bisul dan bisul bernanah. Manakala daun dan ranting dimasak sup bersama daging untuk diminum sebagai tonik.

Walaupun pokok Bunga Pukul Empat ini memiliki khasiat ubatannya yang tersendiri, namun penggunaannya untuk tujuan perubatan perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Aneka Petua

Buah pinang ubati kudis

Kudis memang sering dialami oleh kanak-kanak. Bagi merawatnya ambil beberapa biji buah pinang yang sudah kering. Buang kulitnya, kemudian tumbuk pinang tadi hingga lumat. Campurkan dengan minyak kelapa supaya habuk buah pinang itu melekat di kulit. Bahagian kulit yang berkudis itu hendaklah dibersihkan sebelum disapu dengan serbuk pinang.

Cara segar kulit kepala

Selain menggunakan syampu ada cara lain yang boleh dilakukan untuk mengembalikan kesegaran kulit kepala. Ramas tujuh biji limau nipis yang telah dipotong melintang ke dalam bekas air suam. Tapis air limau itu dan lumurkan di kepala selama 10 minit. Kemudian barulah dibilas. Lakukan pada waktu petang.

Bawang buang angin dari badan

Masalah angin dalam badan memang tidak menyelesakan. Perut terasa sebu dan asyik bersendawa. Anda boleh menggunakan beberapa petua berikut untuk mengatasinya. Campurkan air perahan bawang merah setengah cawan bersama halba rebus setengah cawan. Kemudian bancuh sedikit madu asli ke dalam bancuhan itu. Kacau dan minum campuran itu setiap hari. Selain itu boleh juga kupas seulas bawang putih yang sederhana besarnya lalu makan mentah-mentah. Badan menjadi hangat dan angin akan keluar. Rasa mual dan pening akan berakhir.

Rawat gusi yang bengkak

Gusi yang bengkak memang menyukarkan terutama untuk makan. Gunakan petua ini bagi meredakan bengkak. Ambil sedikit kulit pokok mempelam atau mangga. Basuh dan rebus dengan sedikit air dan campur dengan sedikit garam. Apabila menggelegak, angkat dari dapur dan biarkan sehingga suam panas. Berkumurlah setiap hari dengan air tersebut.

Tepung kanji redakan ruam panas

Masalah ruam panas boleh menyebabkan bayi menangis. Petua ini boleh membantu kaum ibu. Tepung kanji dicampurkan sedikit bedak wangi, kemudian lumurkan pada bahagian badan yang mempunyai ruam panas. Sebaiknya lumurkan selepas mandi. Insya-Allah ruam panas akan beransur sembuh.

Atasi sengal tulang

Patahkan ranting pohon kemboja dan ambil getahnya. Sapukan getah itu pada sendi-sendi tulang, di bahagian tubuh yang mengalami sengal terutamanya pada sebelah pagi.

Daun gelenggang penawar kurap

Selain kudis, kurap juga antara masalah kulit yang kerap dihadapi terutama orang dewasa. Atasinya dengan menggunakan daun gelenggang. Basuh sebelum menggulungnya. Kemudian cicah hujung daun tersebut dengan gula dan gosokkan tempat yang berkurap dengan daun tersebut. Gosok berulang kali sehingga tempat yang berkurap tersebut mengeluarkan darah. Luka di tempat berkurap akan berkuping. Kuping akan tanggal selepas beberapa hari kemudian. Kurap akan hilang dan tidak berulang kembali.

Panduan Ibu Muda

Bila dapat si kecil jangan lupakan yang besar

Menyambut kelahiran cahaya mata kedua bukan sahaja menggembirakan hati ibu dan bapa, malah ia memberi satu pengalaman baru buat si abang / kakak. Setelah membawa pulang bayi ke rumah, ibu bapa mungkin perlu berhadapan dengan tindakan abang / kakak yang lebih banyak mengemukakan pertanyaan, berasa cemas dan takut atau mempunyai rasa ingin tahu terhadap perlakuan ibu kepada adiknya.

Mengejutkan juga apabila anda menyedari bahawa anak sulung mahu membantu anda melayani si kecil. Jadi, bagaimana anda menangani perkara ini?

Apa yang harus anda lakukan?

Jelaskan pada anak

Sebaik sahaja didapati hamil, anda perlu mempersiapkan anak sulung lebih awal. Anda perlu memberitahunya mengenai kehamilan anda, kehadiran adik barunya dan persiapan ini haruslah dilakukan sesuai dengan usia anak.

Selalu bersama

Jelaskan kepada anak yang lebih tua bahawa anda pernah mengasuh mereka dengan cara yang sama seperti adiknya itu.

Cara ini, anak sulung anda merasa diri lebih dihargai apabila mengetahui mereka juga pernah diasuh dengan cara sedemikian.

Selain itu, anda boleh memberikan tugas-tugas mudah kepada abang / kakak dalam membantu anda mengasuh bayi. Aktiviti-aktiviti ini boleh nnendekatkan hubungan abang / kakak dengan adik barunya. la juga merupakan masa yang tepat untuk anda menyampaikan nilai-nilai penting dalam kekeluargaan.

Atasi rasa cemburu

Kanak-kanak mudah merasa kehilangan perhatian apabila mereka mengetahui hadirnya seorang lagi anggota keluarga. Mereka akan mengambil sedikit masa untuk memahami keadaan tersebut tetapi akan menyedari bahawa kehadiran bayi tersebut akan mengambil perhatian anda daripada mereka. Abang / kakak melihat bayi mendapat semua perhatian yang sebelumnya hanya untuk dirinya.

Tidak kurang juga ada anak yang lebih tua mahu menyusu kembali selepas melihatkan adiknya menyusu. Jangan merasa khuatir kerana secara semula jadinya, keinginan tersebut hadir kerana ingin tahu.

Oleh itu, rasa ingin tahu anak ini harus dipenuhi dengan membiarkan mereka mencubanya. Jika kemahuan ini dipenuhi dan anda juga harus berusaha menggantikan sesuatu yang lebih istimewa, maka anak yang lebih tua ini akan lupa dengan sendirinya.

Sebaiknya, jangan sesekali anda mengabaikan kehadiran si abang / kakak. Berikan tumpuan yang sama untuk kesemua anak anda agar mereka tidak berasa disisihkan. Jika anda mengucup bayi, jangan lupa kucup juga anak yang lebih tua. Pasti dengan cara ini, mereka berasa dihargai dan tahu bahawa ibu masih menyayangi dirinya.

TERIMALAH SEADANYA

Bagi ibu, anak adalah segala-galanya. Begitu juga kepada anak, ibu bapa adalah segala-galanya untuk dirinya. Berikut empat perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa agar sentiasa dekat dengan anak-anak:

1. Bersedia menjadi ibu bapa – Apabila ibu bapa berusaha mendalami ilmu keibubapaan dan bersedia memikul tanggungjawab, mereka akan ikhlas menjadi ibu bapa dalam erti kata yang sebenar.

2. Terima seadanya – Jangan sesekali terlalu berharap mengenai jantina bayi. Terima kehadiran si manja seadanya kerana dia adalah tanda cinta antara anda berdua.

3. Fahami karakter – Terdapat perbezaan cara pengasuhan antara anak lelaki dan anak perempuan. Bapa perlu dekat dengan anak lelakinya kerana dia akan menjadi ‘role model’ buat anaknya itu.

4. Manfaat masa – Ibu bapa bekerja tidak seharusnya terlalu sibuk dengan pekerjaan. Pulang sahaja daripada kerja, isi masa bersama anak-anak. Lakukan sebarang aktiviti bersama bagi mengukuhkan lagi kasih sayang seisi keluarga.

Untukmu Mama

Ketahui bila masa bayi lapar susu

Menyusui bayi merupakan perkara yang menjadi perhatian utama para ibu. Oleh itu, para ibu perlu mengetahui cara penyusuan yang tepat dan mengenali tanda-tanda bayi yang ingin menyusu.

1. Jika bayi anda mulai menghisap ibu jari, merengek atau meliuk-liuk tubuhnya, itu bererti waktunya untuk menyusu. Jangan biarkan hingga bayi anda menangis. Mulut bayi yang menangis lebih menyukarkan ia melekat pada puting.

2. Menyusui bayi seharusnya tidak menimbulkan rasa sakit atau tidak selesa, baik pada ibu mahupun pada bayi. Apabila anda merasa sakit, kemungkinan besar proses menyusui belum berjalan dengan lancar. Segera dapatkan konsultasi daripada kaunselor penyusuan untuk posisi dan teknik penyusuan yang tepat. Kekangan dalam aktiviti menyusu seperti rasa sakit akan membuat seorang ibu merasakan penyusuan susu ibu itu sebagai sesuatu yang sukar.

3. Jika anda ibu bekerja dan mahu mengajar bayi minum susu ibu daripada botol, anda disarankan untuk tidak berada dalam ruangan yang sama dengannya. Bagi bayi, payudara ibunya lebih digemari berbanding botol susu.

Pantau berat bayi

American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar ibu menyusukan bayi sebanyak lapan hingga 12 kali sehari, bergantian antara payudara kanan dan kiri. Namun bukan mudah menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

lni kerana ada bayi yang menyusu lebih daripada 12 kali sehari atau di tengah proses menyusu, bayi tertidur sedangkan anda belum sempat memberikan payudara yang sebelah.

Namun begitu ada pandangan yang mengatakan ramai bayi sihat yang menyusu tanpa mengikut kepada panduan yang sering dicadangkan. Kekuatan menyusu dan daya hisap bayi dapat mempengaruhi jumlah susu ibu yang diminum. Contohnya bayi anda mungkin boleh menghisap susu ibu lebih banyak dalam masa tujuh minit, sementara bayi yang lain memerlukan masa sehingga 15 minit.

Jadi, bagaimana untuk mengetahui sama ada bayi anda mendapat susu ibu yang mencukupi? Jawapannya ialah selagi kadar bayi membuang air kecilnya normal (minimum enam kali sehari) dan bayi kelihatan sihat, ini menunjukkan bayi anda mendapat cukup susu.

lbu juga boleh memantau berat badan bayi. Anda tidak perlu bimbang jika bayi tidak mengalami penurunan berat badan-lebih daripada 10 peratus berat sewaktu kelahirannya.

Sebaliknya anda harus berwaspada apabila mendapati bayi anda hanya menyusu kurang daripada 10 minit setiap kali menyusu, kekerapan membuang air kecil kurang daripada empat kali sehari dan kulit bayi masih berkerut walaupun usia sudah lebih daripada satu minggu.

Tip

Eksklusif 6 bulan

Perkara berikut perlu dilakukan oleh ibu semenjak hamil agar berjaya menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan dan meneruskannya sehingga bayi berusia dua tahun.

1. Percaya diri bahawa anda dapat menyusukan bayi.

2. Mencari maklumat bersama suami mengenai manfaat susu ibu, teknik menyusu, teknik memerah susu badan, kaedah menyimpan susu dan sebagainya.

3. Mencari kaunselor dan pendukung penyusuan susu ibu, ikuti juga komuniti ataupun forum agar anda dapat berkongsi pengalaman dengan para ibu.

4. Melahirkan bayi anda di hospital yang menggalakkan penyusuan susu ibu.

5. Segera menyusukan bayi setelah bayi dilahirkan.

6. Minta agar bayi diletakkan di dalam sebuah ruangan bersama ibu setelah dilahirkan.

7. Tidak memberikan cecair lain selain susu ibu.

8. Lakukan perahan setelah dua minggu melahirkan bayi untuk dijadikan stok semasa anda keluar bekerja kelak.

Info

Bayi lebih cerdas

Dikatakan 36 peratus kecerdasan bayi disumbangkan oleh penyusuan susu ibu. Ternyata susu ibu meningkatkan perkembangan otak dan kecerdasan anak yang seterusnya meningkatkan kehidupan sosial mereka kelak. Dengan menyusu susu ibu juga bayi menunjukkan kurang tanda-tanda tekanan.

Motivasi

Hilang pinggang kerana gemuk

Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga orang penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan berlebihan berikutan terlebih makan.

Setakat ini, 8.5 juta orang penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes. Bilangan rakyat Malaysia yang ‘kehilangan pinggang’ ini akan terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Maka itu, apabila saya memperkenalkan ‘Senaman Terapi 3E’ sebagai kaedah paling cepat mengurangkan lilit pinggang adalah tepat. Terbaru, seramai 10 orang peserta saya dari Worldwide Holdings Berhad dalam program Motivasi 3E (Extra Mind, Extra Mild, Extra Mile) mengurang lilit pinggang mereka antara setengah hingga tiga inci setelah bersenam sebanyak lapan kali dalam tempoh empat hari. Pencapaian serupa ini sebenarnya bukanlah lagi pelik sebab dalam setiap program motivasi 3E yang saya jalankan, pasti ada seorang dua yang mencapai keputusan ajaib.

Misalnya, seorang peserta dalam program Motivasi 3E di Kementerian Belia dan Sukan, mengalami sakit pinggang selama bertahun-tahun. Beliau melakukan senaman ini sekali sahaja dan sembuh daripada penyakitnya itu (Alhamdulillah). Testimonial beliau saya kongsi dalam Facebook `drtuah’.

Berdasarkan ini, senaman yang betul adalah penting dipatuhi dalam hasrat untuk melahirkan individu-individu yang sihat. Bersenam yang ekstrem hingga menzalimi tubuh bukanlah baik untuk jangka panjang, sebab sebenarnya pergerakan secara harmoni lagi santai itu lebih berkesan untuk keputusan yang lebih cepat. Melenjan tubuh akan merosakkan tisu-tisu sendi serta boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi lain hingga kesihatan terganggu.

Cara hidup sihat adalah keutamaan jika kita mahu tubuh badan yang sihat dalam tiga aspek — mental, spiritual dan fizikal. Bayangkan ketika ini seorang daripada tiga orang penduduk negara adalah obes atau mempunyai berat badan berlebihan, bagaimanakah rupa masyarakat Malaysia pada masa akan datang?

Kurang bersenam

Kerajaan nnelalui Kennenterian Kesihatan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian kalangan rakyat ini kerana kajian menunjukkan purata setiap individu melakukan aktiviti senaman selama 20 minit sehari. Sayangnya, mereka banyak bersenam ini adalah dari bangsa Cina, sedang bangsa India dikira kurang manakala bangsa Melayu teramat-amat kurang.

Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.

Bayangkan jika mereka terus tenggelam dalam dunia begini, bukan sahaja kita kehilangan masyarakat yang tidak pandai bersosial secara betul tetapi juga individu-individu yang sukar mementingkan din.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah.” — (Muslim)

1. Islam amat peka terhadap pembangunan aspek jasmani manusia agar proses transformasi yang dilakukan dapat melahirkan manusia yang seimbang, berilmu, berakhlak dan sihat.

2. Apabila seseorang Muslim itu sihat bermakna dia mempunyai kekuatan, kemannpuan dan fikiran yang cergas untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah SWT. Dia berupaya melaksanakan tanggungjawab lain yang diamanahkan oleh manusia kepadanya sama ada dalam sesebuah organisasi, persatuan, kelab, rumah tangga, masyarakat atau pemerintahan.

3. Kekuatan jasmani bererti seseorang itu memiliki daya ketahanan badan melawan penyakit. Badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekali gus meningkatkan kualiti kerja yang akan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim itu.

Karier

Tip siap kerja tepat pada masa

Pasti panik apabila diarahkan menyiapkan sesuatu tugasan yang belum pernah dibuat. Lebih tertekan kerja tersebut perlu dibereskan dalam masa singkat.

Jangan kecut perut berhadapan dengan situasi ini. Anda perlu bertenang untuk mengatur kerja dengan lebih sistematik. Jika perlu tarik nafas untuk melegakan perasaan dan kemaskan suasana kerja supaya dapat membuat perancangan dengan teratur dan teliti. Selain itu tip di bawah ini juga dapat membantu anda menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan.

1. Dapatkan maklumat
Anda harus timbulkan pelbagai persoalan apabila diamanahkan sesuatu kerja. Contohnya, adakah anda past dengan apa yang anda perlu lakukan? Bagaimana projek seharusnya dikendalikan? Bilakah projek itu perlu diselesaikan?
Jika kerja yang diberikan itu ketika majikan anda dalam keadaan tergesa-gesa, kemungkinan maklumat disampaikan tidak lengkap. Jadi sebelum memulakan projek tersebut pastikan anda benar-benar tahu apa yang anda perlu lakukan. Sekiranya tidak jelas, dapatkan keterangan lanjut daripada majikan sebelum memulakan projek tersebut.

2. Jangan segan minta bantuan
Bukan mudah melakukan sesuatu pekerjaan seorang diri dalam waktu terhad. Bantuan daripada orang lain atau rakan-rakan sekerja boleh melicinkan pelaksanaan tugas mengikut jadual. Dengan semangat kerja berpasukan segala-galanya akan menjadi mudah.

3. Minta nasihat pakar
Sekiranya projek yang sama pernah dikendalikan oleh seseorang, minta nasihat daripada orang tersebut. Nasihat diberikan memudahkan anda merancang dan tahu selok-belok kerja yang patut anda lakukan. Kebarangkalion anda dapat menyiapkan tugasan dalam tempoh singkat berlandaskan panduan dan strategi yang diberikan.

4. Guna rujukan rekod lalu
Jika anda diarahkan menyiapkan projek yang sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini, sudah pasti ia mempunyai rekod terdahulu. Anda boleh membuat rujukan berdasarkan rekod lama.
Ini juga cabaran buat anda menghasilkon tugasan yang lebih baik lagi.

5. Buat carta kerja
Setiap tugasan perlu diagihkan mengikut keperluan yang logik. Anda perlu menyiapkan carta kerja dan kalendar untuk memastikan setiap tugasan itu dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang ditetapkan.
Cara ini dapat nnengelakkan anda daripada terhimpit dengan beberapa tugasan tertangguh dan sedia ada. Paling mudah buat kerja yang perlu dihantar terlebih dahulu atau yang memerlukan banyak komitmen.

6. Memastikan ahli kumpulan buat kerja
Jika kerja yang diberikan berbentuk kerja berkumpulan, pastikan setiap ahli memahami tugasan. Mereka juga perlu tahu cara melaksanakan tugas masing-masing. Jangan sekali-kali lepas tangan dengan andaian bahawa masalah tidak wujud selepas memberi arahan kerana kadangkala arahan tersebut tidak jelas.

7. Periksa kerja berulang kali
Menekan pekerja menyiapkan kerja boleh membuatkan banyak kesilapan akan berlaku. Anda perlu sering kali memeriksa pelaksanaan projek supaya tidak dikejutkan oleh sesuatu di luar jangkaan terutamanya pada saat-saat akhir. Tindakan memeriksa dan mengulang periksa tidak rugi kerana ia dapat menjamin pelaksanaan tugas itu dilakukan mengikut objektif.

8. Rekod kerja yang diberikan
Memastikan setiap maklumat yang diperoleh tepat dan difailkan supaya senang kerja anda kemudian hari. Anda dapat menjimatkan masa kerana tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Mungkin juga anda dapat membantu kawan-kawan lain yang berhadapan dengan situasi seperti anda.
Bagi mengurangkan tekanan fizikal dan mental ketika melaksanakan sesuatu tugasan yang memerlukan tindakan segera maka anda perlu mengambil sedikit masa untuk berehat dan melapangkan fikiran.
Kalau perlu kurangkan waktu makan tengah hari tetapi jangan sesekali meninggalkannya. Berehatlah dan lupakan tekanan kerja apabila di rumah. Tidur secukupnya agar anda bersedia bekerja pada keesokan hari.

Mengurus Kewangan

Alasan kenapa anda perlu ada Akaun Semasa

Bagi pembaca yang menjalankan perniagaan anda tentu sudah biasa menggunakan akaun semasa. Akaun semasa adalah akaun deposit yang ditawarkan semua institusi perbankan di Malaysia dan boleh digunakan sama ada untuk kegunaan peribadi atau perniagaan.

Selain kemudahan menulis cek ,berikut beberapa sebab mengapa akaun semasa penting:

  • Akaun semasa menunjukkan komitmen sebenar anda untuk berniaga.
  • Akaun semasa datang dengan kemudahan buku cek untuk kemudahan transaksi perniagaan anda.
  • Setiap bulan, anda akan menerima penyata bank yang dihantar oleh bank melalui pos atau secara online bagi tujuan rujukan perniagaan anda. Penyata ini akan merekodkan semua kemasukan dan pengeluaran wang yang anda telah lakukan bagi tujuan rujukan anda.
  • Mengelak risiko akaun peribadi dibeku sementara kerana terlalu banyak transaksi. Pelik tapi benar!
  • Kemudahan overdraf – iaitu satu kemudahan yang ditawarkan bank untuk anda mengeluarkan duit meskipun baki akaun semasa anda tidak mencukupi. lni sebenarnya satu hutang sementara bertujuan melicinkan operasi perniagaan.

Semua sebab di atas penting tetapi ramai tidak tahu sebab utama kita patut mempunyai akaun semasa. Tahukah anda bahawa institusi-institusi kewangan yang memberikan pinjaman kewangan lebih mempercayai perniagaan yang mempunyai akaun semasa. Apabila mereka meyakini kredibiliti perniagaan anda, institusi kewangan merasa lebih selesa memberikan jumlah pinjaman yang lebih besar.

Ada dongeng yang tersebar mengatakan lebih elok kerja makan gaji kerana bank lebih suka dengan penyata slip gaji yang stabil berbanding dengan mereka yang berniaga kerana tidak tentu pendapatan bulanan.
Disebabkan dongeng tersebut ramai antara kita yang takut berniaga sendiri kerana kesukaran mendapatkan pinjaman terutamanya pinjaman besar seperti hartanah.

Ketakutan sedemikian timbul akibat kurang ilmu. Apa kata kalau anda tahu jawapan kepada yang berikut:

  • Masa yang sesuai untuk memohon pinjaman bank
  • Bagaimana untuk tahu kelayakan mendapatkan pinjaman. lni amat penting.
  • Bagaimana untuk memilih bank yang sesuai bagi pinjaman beli rumah ?
  • Bagaimana menguruskan akaun bank agar memiliki akaun yang cantik di mata pihak bank.
  • Apakah kaedah kecemasan jika permohonan pinjaman menggunakan akaun syarikat tidak lulus?
  • Apa itu maksud sebenar komitmen bulanan dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada permohonan pinjaman anda.
  • Enam kategori orang yang tidak layak keluarkan duit KWSP untuk membeli rumah. Pastikan anda bukan dari jenis enam orang ini.
  • Enam jenis dokumen yang perlu disediakan semasa melakukan permohonan untuk memastikan kelulusan permohonan pinjaman anda.
  • Empat perkara yang perlu anda sediakan sebelum melakukan permohonan pinjaman bank.
  • Tiga jenis dokumen sandaran yang perlu disediakan untuk membantu kelulusan pinjaman bank?

Memang sukar untuk mendapat ilmu seperti ini daripada pegawai-pegawai bank.

Untuk mereka yang berminat terutamanya yang ada perniagaan sendiri (tidak kira sambilan atau tidak) anda boleh mencedok pengalaman yang sudah dibukukan dengan mendalam oleh seorang usahawan berdasarkan pengalamannya.

Setahu saya tidak ada satu pun universiti atau kolej yang mengajar kemahiran kewangan sebegini. Hubungi saya jika anda bernninat untuk melihat topik kandungannya atau membelinya terus.

Walaupun fokus utama ialah tentang tip lulus pinjaman untuk usahawan, ada juga tip khas untuk orang yang bekerja makan gaji. Panduan seperti ini memang tidak dijual di mana-mana kedai buku sebab ianya cuma didedahkan sekali sekala di seminar-seminar tertutup. la disertakan sekali dengan pelan tindakan supaya mudah untuk anda ikuti langkah demi langkah.

Untuk maklumat lanjut tentang konsultasi kewangan, bengkel, seminar dan buku-buku tulisan saya SMS kepada 017-8719444 atau emailkan kepada ilmudigital@gmail.com. Berita terkini laman web http://www.suntharasegar.com

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s