Teks untuk Podcast 2014 004

Podcast 2014 004, merupakan rakaman audio sebuah rencana daripada akhbar Kosmo 29 Disember 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Pulihkan buta dalam tiga hari

KESAKITAN yang dirasai Garry Morse ketika menjadi mangsa serangan sekumpulan 20 lelaki yang melemparkan sebotol air mengandungi cecair amonia masih terbayang dalam fikirannya.

“Amonia itu masuk ke dalam mata saya. Kesakitan yang dirasai merupakan yang paling teruk pernah saya alami,” ujar pegawai tadbir berusia 28 tahun itu.

Pada saat itu, tiada apa yang difikirkan Morse melainkan merasakan dirinya telah buta.

Pandangannya menjadi kabur. Tiada apa yang mampu dilihatnya melainkan warna yang samar-samar.

Dia dikejarkan sepasukan ahli paramedik ke Hospital Queen Elizabeth di Gateshead sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Royal Victoria di Newscastle, England.

“Amonia tersebut telah merosakkan kornea saya. Saraf kelopak mata juga rosak,” ceritanya seperti yang dilaporkan laman Dailymail.

Ekoran insiden tujuh tahun lalu itu, Morse telah menjalani empat pembedahan mata bagi membuang parut di matanya.

Tisu kornea

Biarpun begitu, penglihatannya tidak mampu dikembalikan.

Selepas dua tahun menderita kehilangan deria penglihatan, impiannya untuk melihat dunia kembali bersinar apabila seorang pakar bedah mata, Prof. Francisco Figueiredo memberi khabar gembira mengenai peluang untuk matanya dipulihkan.

Pada waktu itu, Morse menjadi individu kelima yang dijadikan sebagai responden untuk ujian klinikal rawatan terbaharu itu.

“Tisu daripada kornea mata saya yang sihat diambil. Proses itu tidak menyakitkan kerana saya diberi ubat pelali walaupun saya dapat melihat pisau bedah memasuki mata saya. Proses itu sekejap sahaja, kira-kira 15 minit,” katanya.

Dua minggu kemudian, sel tisu yang telah diuji di makmal itu dipindahkan ke mata kirinya yang rosak. Pembedahan itu mengambil masa kira-kira tiga jam.

Selepas tiga hari pembedahan, balutan pada mata Morse dibuka.

“Semasa balutan dibuka, saya melihat ada cahaya sedikit demi sedikit cuba masuk ke dalam mata. Sebaik sahaja mata dibuka, saya dapat melihat warna, bentuk, objek, dan manusia dengan jelas.

TISU daripada mata yang elok diambil untuk memperbaiki kornea yang rosak.

“Ia sangat menakjubkan. Saya mampu melihat dengan mata kiri saya seperti dulu,” ceritanya.

Menurut Figueiredo yang juga profesor oftalmologi di Universiti Newscastle, penyakit berkaitan kornea merupakan penyebab kedua kebutaan selepas katarak.

“Permukaan kornea sebenarnya meliputi sejenis lapisan tisu yang digelar epitelium yang akan diperbaharui oleh sel stem yang terletak di garisan kornea yang dikenali sebagai limbus,” ujarnya.

Bagi kes Morse, tisu sepanjang 1.5 milimeter diambil dari mata kanannya.

Tisu tersebut kemudian melalui beberapa ujian klinikal di dalam makmal dengan menggunakan membran amniotik daripada penderma plasenta bayi.

Membran amniotik merupakan sel yang kaya dengan bahan yang mampu menggalakkan penghasilan sel.

“Sel stem dan membran itu direndam di dalam cecair yang mengandungi pelbagai nutrien dan bahan lain yang menggalakkan pertumbuhan sel.

“Selepas beberapa hari, tisu tersebut berkembang kepada 3 sentimeter dan sedia untuk dipindahkan ke mata pesakit yang rosak. Ia akan terus berkembang membentuk beberapa lapisan,” katanya yang memberitahu, kebiasaannya mata normal memiliki lima hingga tujuh lapisan sel.

Mata baharu

Ujar beliau, dalam masa beberapa hari, penglihatan pesakit semakin baik dengan kornea yang baharu itu.

Menurut Figueiredo, pembedahan ke atas pesakit seperti Morse dianggap sebahagian daripada kajian itu.

Ini kerana rawatan kornea menerusi penghasilan sel stem tersebut belum diketahui ketahanannya untuk jangka masa panjang.

“Berdasarkan kepada keputusan positif yang diperoleh, teknologi ini mungkin bersedia untuk mendapat kelulusan bagi dilaksanakan ke atas lebih ramai pesakit,” katanya.

Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Stem Cells.

Sehingga kini, seramai 25 pesakit telah berjaya melakukan pembedahan tersebut dan mampu melihat seperti sediakala.

“Sangat menakjubkan apabila memikirkan sel tersebut mampu memberikan kornea yang baharu dalam masa beberapa hari sahaja.

“Saya kini mampu menjalani kehidupan normal.

“Bulan Ogos lalu, saya mengahwini pasangan saya, Victoria. Saya jumpa dia sejam sebelum serangan itu berlaku,” ujar Morse yang mengakui masih trauma dengan insiden tersebut.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s