Teks untuk Podcast 2014 002 04

Podcast 2014 002 04, merupakan bahagian keempat daripada rakaman audio rencana-rencana daripada Dewan Kosmik Oktober 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Perubatan

Sesak Nafas Akibat Efusi Pleura

Efusi pleura atau paru-paru berair bermakna pengumpulan cecair yang berlebihan di rongga pleura. Adalah normal jika ada sedikit cecair di rongga pleura. Hal ini dikatakan demikian kerana cecair diperlukan sebagai pelincir bagi memudahkan pergerakan lapisan pleura dalam dan pleura luar semasa bernafas. Jika berlebihan, cecair ini menyebabkan masalah kepada pesakit.

Penyebab Efusi Pleura

Efusi pleura umumnya bukanlah suatu entiti penyakit. Sebaliknya merupakan manifestasi penyakit yang lain. Ada pelbagai penyebab efusi pleura dan penyebab ini dapat dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu efusi pleura transudatif dan efusi pleura eksudatif. Perbezaan utama antara efusi pleura transudatif dengan eksudatif ialah kandungan protein di dalam cecair itu.

Umumnya efusi pleura transudatif mempunyai kandungan protein yang lebih rendah daripada efusi pleura eksudatif. Perbezaan ini dapat membantu doktor mengenal pasti punca sebenar efusi pleura pada pesakit.

Efusi pleura transudatif berlaku apabila cecair meresap keluar dari salur darah ke dalam rongga pleura. Hal ini terjadi apabila tiada keseimbangan tekanan hidrostatik, iaitu antara tekanan di dalam salur darah dengan tisu di luarnya. Tekanan akan berubah akibat penyakit tertentu, seperti kegagalan jantung dan fungsi hati serta kerosakan buah pinggang. Cecair daripada plasma darah

meresap keluar dan berkumpul di rongga pleura dan menyebabkan efusi pleura berlaku.

Efusi pelura eksudatif berlaku disebabkan oleh masalah pada lapisan pleura itu sendiri. Hal ini tiada kaitan dengan tekanan di dalam atau di luar salur darah. Lapisan pleura yang mengalami keradangan atau inflamasi akan merembeskan cecair. Cecair ini lama-kelamaan makin banyak dan berkumpul di rongga pleura, seterusnya membentuk efusi pleura.

Banyak faktor yang dapat menyebabkan terjadinya radang pada lapisan pleura. Antaranya termasuklah pneumonia dan pleurisi. Selain itu, tuberkulosis serta kanser paru-paru dan payu dara juga dapat mengakibatkan efusi pleura eksudatif.

Simptom Efusi Pleura

Simptom paling utama bagi efusi pleura ialah sesak nafas. Simptom ini pada mulanya tidak begitu dirasai pesakit jika cecair yang berkumpul tidak begitu banyak. Akan tetapi dengan pertambahan cecair di rongga pleura, sesak nafas pesakit akan bertambah dan berterusan. Hal ini disebabkan oleh paru-paru yang tidak dapat mengembang dengan baik akibat ruang di dalam toraks yang makin mengecil.

Sakit dada berlaku jika lapisan pleura mengalami radang atau inflamasi. Sakit pada bahagian dada ini menjadi lebih teruk jika pesakit menghela nafas. Simptom lain pula bergantung pada punca efusi pleura.

Jika faktor penyebab ialah kegagalan jantung, pesakit mungkin mengalami pembengkakan kaki pada masa yang sama. Jika puncanya ialah jangkitan tuberkulosis atau kanser paru-paru, pesakit akan mengalami batuk berdarah, hilang selera makan dan surut berat badan.

Diagnosis

Pengamal perubatan nnengesyaki adanya efusi pleura bermula daripada sejarah pesakit. Pesakit mungkin datang dengan simptom sakit dada dan sesak nafas yang berterusan. Pemeriksaan fizikal akan mendapati kurangnya bunyi pernafasan pada bahagian paru-paru, iaitu tempat berkumpulnya cecair efusi pleura.

Selain itu, doktor juga memeriksa tanda lain yang dapat memberikan petanda bagi punca penyakit. Antaranya termasuklah pembengkakan pada kaki dan kelenjar pada leher. Bengkak kaki ialah simptom kegagalan jantung. Bengkak kelenjar pada leher mungkin disebabkan oleh kanser paru-paru ataupun tuberkulosis.

Seterusnya doktor mencadangkan agar pesakit menjalani ujian sinar X pada bahagian dada. Kehadiran efusi pleura dapat dilihat dengan jelas dalam imej sinar X kecuali jika cecair terlalu sedikit.

Penyiasatan seterusnya ialah menjalankan prosedur pengambilan cecair pleura. Jarum yang halus digunakan untuk mendapatkan cecair ini untuk dianalisis. Prosedur ini biasanya dilakukan di wad atau bilik rawatan dan pesakit diberi ubat bius setempat untuk menahan sakit.

Analisis cecair pleura ini amat penting bagi menentukan penyebab efusi pleura. Kandungan protein diukur dan dibandingkan dengan protein di dalam plasma. Cecair ini juga diuji untuk menentukan kandungan glukosa, kehadiran bakteria, kuman tuberkulosis dan sel yang tidak normal seperti sel kanser.

Rawatan

Setiap rawatan bergantung pada penyebab efusi pleura. Sekiranya punca penyakit ialah jangkitan bakteria atau pneumonia, rawatan antibiotik secara intravena dimulakan.

Pesakit yang mengalami kegagalan jantung diberi ubat untuk menggalakkan mereka kencing lebih kerap. Pesakit juga dinasihati agar mengurangkan pengambilan air yang banyak.

Ada juga kes cecair pleura yang terlalu banyak perlu dikeluarkan menggunakan tiub dada. Hal ini biasanya dilakukan jika pesakit terlalu sukar bernafas hingga menyebabkan kandungan oksigen di dalam darah menurun kepada tahap yang membimbangkan. Tiub yang dimasukkan dikeluarkan setelah semua cecair dikeluarkan ataupun pesakit semakin stabil.

Sains dan Kehidupan

Sindrom Yoyo Bahayakan Kesihatan

Obesiti merupakan wabak di banyak negara di dunia. Gejala ini menyumbang hingga berbilion-bilion dolar dalam industri penurunan berat badan. Antara industri penurunan berat badan termasuklah produk makanan, buku dan perkhidmatan, pembedahan penurunan berat badan dan senaman.

Walaupun pada mulanya banyak individu yang mengalami obesiti dapat mengurangkan berat badan dengan ketara, proses mengekalkan berat badan adalah sukar bagi hampir 99 peratus daripada individu yang berdiet.

Kesukaran dalam mengekalkan berat badan yang ideal dan berat badan yang sering berkitar dikenali sebagai diet yoyo. Keadaan seperti ini memudaratkan kesihatan. Diet yoyo berlaku apabila seseorang tidak konsisten dalam menjalankan dietnya. Hal ini menyebabkan berat badannya dapat naik dan turun secara mendadak. Sindrom yoyo mengakibatkan metabolisme tubuh terbantut.

Kesan sindrom yoyo berlaku apabila seseorang itu mengamalkan diet yang ketat. Apabila badan kekurangan kalori, lemak dan tisu otot digunakan sebagai bahan bakar. Nitrogen daripada tisu otot dibebaskan apabila tindak balas ini berlaku. Bahan ini dibersihkan dan dikeluarkan daripada tubuh sebagai air kencing.

Makin banyak tisu otot digunakan, makin banyak nitrogen terhasil dan makin banyak air perlu dikeluarkan. Keadaan ini menyebabkan berat badan menurun. Jika diperhatikan secara teliti tiada pengurangan berat badan yang berlaku. Sebaliknya hanya air yang dikeluarkan daripada badan.

Penggunaan tisu otot sebagai bahan bakar sebenarnya melemahkan fungsi tubuh untuk membakar kalori. Makin besar otot, makin banyak kalori dapat dibakar. Contohnya seorang ahli bina badan perlu makan makanan yang tinggi kalori, untuk memelihara ototnya. Kegagalan tisu otot untuk membakar kalori akan menyebabkan seseorang itu bertambah gemuk.

Seseorang yang mengehadkan pengambilan makanan atau mengambil diet yang mengehadkan penggunaan kalori akan mengakibatkan metabolisme seseorang itu menjadi perlahan atau terbantut. Diet seperti ini menyebabkan seseorang itu lesu. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan lemak yang dibuang daripada badan, tetapi bahagian otot yang hilang.

Ada beberapa panduan yang ada dalam pelbagai buku panduan menurunkan berat badan, iaitu pengambilan kalori hendaklah melebihi 50 peratus daripada keperluan kalori harian (DCR) individu itu. Dengan cara ini seseorang itu dapat menurunkan berat dengan cara yang sihat.

Contohnya, jika DCR seseorang itu ialah 2400 kilokalori, jumlah makanan yang perlu diambil tidak boleh kurang daripada 1200 kilokalori. Dalam menurunkan berat badan perkara yang paling penting yang perlu diberi perhatian ialah seseorang itu perlu makan dengan jumlah yang sederhana dan kerap untuk mengawal nafsu makan.

Seseorang yang mengharapkan berat badan yang ideal perlu memberikan penghargaan kepada tubuh badannya. Malah tidak perlulah menahan diri daripada menikmati makanan. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan ini menyebabkan diet seseorang itu hanya akan berhenti separuh jalan.

Oleh sebab itu, makanan yang lazat sepatutnya dinikmati. Seseorang yang telah berusaha menjaga dietnya dari hari lsnin hingga Jumaat dengan betul dan penuh disiplin, tidak salah seandainya memberikan bonus kepada diri sendiri pada hujung minggu.

Seseorang itu perlu memberikan ganjaran dengan menyambut kejayaan mengawal pemakanan dan mengamalkan diet yang seimbang sepanjang tempoh berdiet. Akan tetapi, dalam meraikan kejayaan mengawal pemakanan, kualiti dan kalori makanan yang diambil perlu dikawal.

Kemudian barulah pelan diet dimulakan semula pada minggu berikutnya.

Ada juga yang hanya makan tiga kali sehari dalam pelan diet. Tiga hidangan sebenarnya tidak cukup untuk mengawal nafsu makan dan tidak dapat meningkatkan metabolisme badan. PeIan makanan yang betul ialah makan sekurang-kurangnya lima kali sehari dalam kuantiti
yang sedikit.

Walau bagaimanapun, seseorang itu masih dapat menikmati makanan lebih daripada lima kali sehari selagi pengambilan kalori seharian seseorang itu tidak melebihi keperluan badannya. Perlu diingat bahawa keperluan kalori antara setiap orang adalah berlainan.

Oleh sebab itu, seseorang yang serius untuk mendapatkan dan mengekalkan berat badan yang ideal perlu tahu jumlah kalori yang diperlukan oleh badan. Seterusnya jumlah kalori dalam setiap hidangan makanan perlu diketahui.

Pengambilan sarapan pagi amat penting bagi mengelakkan seseorang itu mengambil jumlah makanan yang lebih pada waktu makan yang berikutnya. Sarapan penting untuk mencetuskan metabolisme harian setiap individu. Pengambilan sarapan merangsang pembakaran kalori seawal waktu pagi.

Dalam pelaksanaan diet, kawalan nafsu makan merupakan cabaran yang paling utama. Cabaran ini antara sebab pelan diet gagal diamalkan secara berterusan. Orang yang mengawal jumlah kalori pemakanan diibaratkan sebagai orang yang sedang mengawal kewangan harian.

Selain itu, seseorang itu perlu memastikan dirinya dapat makan dengan kerap dan makan hidangan yang berkualiti serta cukup khasiatnya. Kuantiti makanan yang diambil perlu diketahui seperti makan segenggam nasi atau dua keping roti.

Ketika berdiet, senaman perlu dilakukan. Namun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa senaman bukan suatu perkara yang penting dalam usaha menurunkan berat badan. Walau bagaimanapun, dengan senaman seseorang itu akan lebih bersemangat dan diet menjadi lebih sempurna.

Tambahan pula, pada masa yang sama seseorang itu akan menjadi cergas dan cerdas. Pengurusan berat badan bukan hanya penyerapan kalori melalui makanan, tetapi juga melalui senaman.

Amalan berdiet bukanlah suatu amalan jangka pendek yang perlu diamalkan oleh seseorang. Sebaliknya, amalan ini perlu dilakukan sepanjang masa. Definisi diet bermaksud mengamalkan pemakanan. Oleh sebab itu, diet perlu diamalkan dengan betul.

Sebagai peringatan, pelan pemakanan yang diambil perlu dirujuk kepada pakar pemakanan agar diet yang dilakukan menjadi diet yang sihat dan tidak membebankan pengamalnya. Pengamal diet juga perlu faham dan ambil tahu tentang fakta sains di balik setiap diet yang diamalkan.

Apa-apa yang penting ialah diet dilakukan dalam jangka masa yang berterusan agar berat badan tidak turun atau naik secara mendadak sehingga menyebabkan diet yoyo berlaku. Selain berat badan naik dan turun secara mendadak, diet yoyo menyebabkan berat badan seseorang itu lebih bertambah setelah berhenti diet.

Diet yoyo menjadikan tubuh tidak konsisten sehingga memberikan kesan buruk. Menurut ahli sains dari Wake Forest University di North Carolina, berat badan yang naik semula setelah amalan diet akan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Hal ini disebabkan oleh kadar kolesterol jahat, tekanan darah, trigliserida dan gula darah yang lebih tinggi ketika berat badan meningkat. Ada kajian yang dijalankan terhadap model haiwan untuk lebih memahami cara diet yoyo memberikan kesan terhadap jantung dan fungsi vaskular. Kajian ini dilakukan untuk menentukan kesan kitaran berat pada fungsi jantung dan pembangunan aterosklerosis dalam model tikus.

Seseorang yang mengamalkan diet yoyo akan menyebabkan metabolisme tubuhnya menjadi lebih lambat. Mereka akan kehilangan jisim otot ketika penurunan berat badan berlaku. Kehilangan jisim otot ini memperlahankan metabolisnne tubuh hinggakan tubuh tidak dapat membakar kalori untuk menghasilkan tenaga dengan berkesan.

Diet yoyo ini juga menyebabkan lemak banyak terkumpul pada perut. Lemak ini dikenali sebagai lemak visera dan berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana lemak ini sering dikaitkan dengan kandungan kolesterol, insulin, trigliserida dan tekanan darah yang tinggi. Lemak jenis ini merupakan lemak yang paling bahaya dan dapat meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, strok, demensia (pikun) dan beberapa jenis kanser.

Selain itu, diet yoyo juga akan melemahkan sistem kekebalan tubuh. Ada kajian yang menunjukkan bahawa orang yang mengikuti program diet sebanyak lima kali dan kemudian mengalami naik turun berat badan akan mengalami penurunan sistem imun hingga 30 peratus.

Oleh sebab itu, pembaca dinasihati untuk memahami terlebih dahulu program diet yang dilakukan serta kesan jangka panjangnya. Diet yang dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh hanya menyebabkan berat badan naik dan turun seterusnya membahayakan kesihatan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s