Teks untuk Podcast 2014 002 03

Podcast 2014 002 03, merupakan bahagian ketiga daripada rakaman audio rencana-rencana daripada Dewan Kosmik Oktober 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Konservasi

Belangkas Pengesan Pencemaran

Belangkas sering disalah anggap sebagai haiwan yang mempunyai sifat ganas dan tangkas. Walhal, haiwan ini “berjiwa lembut”, iaitu sederhana gerak-gerinya dan tidak terlalu agresif atau menyerang sesiapa. Hakikatnya haiwan inilah yang menjadi mangsa kepada manusia. Makhluk unik ini menyimpan seribu satu misteri yang belum terungkai sepenuhnya.

Belangkas merupakan haiwan invertebrate unik yang sentiasa disalahtafsirkan sebagai haiwan berdarah biru. Walau bagaimanapun, darah belangkas tidak berwama, tetapi bertukar kepada warna biru sebaik-baik sahaja dioksidakan oleh oksigen dalam ruang udara.

Tindak balas ion kuprum yang teroksida di dalam darah inilah yang menyebabkan warna darah belangkas bertukar kepada biru. Misteri di balik darah biru ini mula diteroka sekitar era 1960-an oleh Levin dan Bang. Hal ini membuktikan bahawa kandungan di dalam darah belangkas mempunyai nilai yang tinggi dalam industri farmaseutikal.

Sel darahnya dikenali sebagai hemosit atau lisat amebosit yang mengandungi dua jenis

granul, iaitu granul besar dan kecil yang mempunyai molekul pertahanan badan tersendiri. Tindak balas molekul ini biasanya bertindak secara sinergi dengan kehadiran patogen yang dikesan oleh reseptor pada lisat amebosit.

Pengesanan ini adalah pada lipopolisakarida (LPS), iaitu bahan binaan dinding sel bakteria Gram-negatif yang mencetuskan eksositosis (pemecahan vakuol sel) dan membebaskan faktor penggumpalan dan molekul antimikrob. Pembebasan faktor penggumpalan ini sekali gus menyebabkan berlakunya penggumpalan hemolimfa yang menyebabkan patogen terperangkap.

Seterusnya patogen ini akan dihapuskan oleh tindakan sebatian antimikrob. Selain penggumpalan hemolimfa dan tindakan antimikrob, sistem pertahanan lain, seperti proses pembentukan melanin, fagositosis, pembentukan oksigen aktif dan perantaraan fenoloksidase melanin juga terlibat mengikut keperluan. Sistem pertahanan yang pelbagai ini dikenali sebagai imun semula jadi bagi belangkas. Haiwan invertebrata ini tidak mempunyai sistem imun adaptif.

Menyedari akan keberkesanan darah unik ini dalam bertindak balas dengan LPS, bahan ini digunakan secara meluas dalam bidang farmaseutikal. Penghasilan produk pengesan endotoksin telah dikeluarkan dan dipasarkan lebih 30 tahun yang lalu menggunakan spesies belangkas dari Amerika Syarikat, Limulus polyphemus yang dikenali sebagai kit Limulus Amoebocyte Lysate (LAL).

Bermula pada bulan Disember 1987, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) menerbitkan garis panduan untuk pengesahan dan penggunaan ujian LAL atau lisat amebosit sebagai ujian produk akhir endotoksin bagi manusia, ubati parenteral haiwan, produk biologi dan peranti atau alat perubatan.

Setiap produk yang dihasilkan oleh industri farmaseutikal diwajibkan agar bebas daripada endotoksin. Oleh sebab itu, lisat amoebosit yang sangat sensitif terhadap LPS atau endotoksin digunakan bagi menentukan kuantiti atau mengesan kehadiran endotoksin. Hal ini secara tidak langsung dapat menggantikan ujian pirogen “ujian arnab demam” yang sebelum ini diguna pakai oleh Farmakopeia Amerika Syarikat (USP).

Pada masa ini, ujian pengesanan endotoksin oleh lisat amoebosit merangkumi kaedah penggumpalan, turbidimetri dan kromogenik. Bagi kaedah penggumpalan, lisat amebosit dicampurkan dengan endotoksin atau sampel dan dieramkan selama satu jam pada suhu 37 darjah Celsius sebelum penggumpalan dapat diperhatikan.

Sebaliknya, kaedah turbidimetri menggunakan bacaan serapan sebelum pembentukan sempurna penggumpalan diambil pada jarak gelombang 340 nm (nanometer). Kaedah ketiga yang biasa digunakan, iaitu kaedah kromogenik pula melibatkan penggunaan substrat kromogenik.

Sebaik-baik sahaja lisat amebosit bertindak balas dengan endotoksin atau sampel yang mempunyai endotoksin, pembebasan warna kuning, iaitu p-nitroanilide (pNa) pada set uji kaji dapat diperhatikan. Darjah penggumpalan, kekeruhan atau kekuning-kuningan bagi kaedah penggumpalan, turbimetri dan kromogenik masing-masing dipengaruhi oleh kuantiti endotoksin. Makin tinggi kuantiti endotoksin, makin tinggi darjah penggumpalan, kekeruhan dan pembentukan wama kekuning-kuningan.

Oleh sebab penggunaan ujian ini sangat signifikan dalam industri farmaseutikal, sekumpulan penyelidik dan i Kumpulan Penyelidikan Belangkas, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Noraznawati Ismail telah berjaya melakukan inovasi pada tahun 2011 dengan menghasilkan prototaip kit ujian menggunakan darah belangkas yang dikenali sebagai kit pengesan pantas endotoksin TAL (Tachpleus Amoebocyte Lysate).

Hasil ujian makmal menunjukkan bahawa kit pengesan endotoksin ini juga mempunyai kualiti sebaik LAL yang dihasilkan di luar negara. Penghasilan kit sebegini secara komersial dapat memberikan sumbangan yang sangat signifikan kepada industri farmaseutikal selain mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.

Yang menariknya, proses pengekstrakan darah belangkas ini tidak menyebabkan kecederaan atau kematian kepada belangkas kerana menggunakan kaedah pengambilan darah yang selamat.

Selain darah yang bernilai komersial, belangkas juga dijadikan umpan oleh nelayan untuk menarik ikan dan ketam untuk masuk ke dalam pukat atau bubu di negara lain, seperti di Amerika Syarikat dan Jepun. Malah di negara lain, bangkai belangkas juga dijadikan baja yang berpotensi tinggi dalam meningkatkan hasil pertanian.

Di samping itu, belangkas juga merupakan biopenunjuk yang berkesan dalam mengesan pencemaran. Belangkas juga dilaporkan akan menjauhi sekitaran yang dicemari bahan kimia. Haiwan ini menunjukkan kepentingan yang signifikan kepada industri farmaseutikal dan masyarakat secara amnya. Sumbangan besar haiwan ini kepada manusia menyebabkan populasinya di sesetengah kawasan terancam kerana disalahgunakan dan dieksploitasi.

Konservasi

Badak Cipan Suka Menyendiri

Badak cipan atau badak tampung atau tenok atau Malayan Tapir (Tapirus indicus) adalah antara spesies mamalia bersaiz besar yang ada di Malaysia. Mamalia ini agak unik kerana rupa bentuknya berada antara kacukan dua haiwan liar, iaitu badak sumbu dan gajah.

Badak tampung dikumpulkan dalam keluarga Tapiridae. Selain benua Asia, badak cipan dapat ditemukan di kawasan hutan Tropika di benua Afrika dan Amerika Selatan, seperti Brazil, Surinam dan Costa Rica. Taburan badak cipan bermula dari India, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam sehingga Semenanjung Malaysia dan Sumatera.

Warna badak cipan ada dua, iaitu warna hitam dari kepala hingga bahu, warna putih pada perut dan badan hingga pangkal ekor dan warna hitam sennula pada punggung dan kaki belakang. Hidung badak cipan pula memanjang sedikit seperti belalai gajah.

Telinga dan hidung merupakan dua deria yang amat penting bagi badak cipan. Organ ini dapat mengesan bunyi dan bau musuh yang menghampirinya dengan lebih tepat. Mata badak cipan yang kecil pula digunakan untuk melihat pada jarak dekat sahaja.

Bentuk kesan tapak kaki badak cipan hampir serupa dengan kesan tapak kaki badak kerbau (Dicerohinus sunnatrensis), iaitu mempunyai empat kesan kuku yang nyata. Perbezaan antara kesan tapak kaki badak cipan dengan badak kerbau ialah kesan tapak kaki badak cipan lebih kecil dan lebih tajam jika dibandingkan dengan kesan tapak kaki badak kerbau.

Selain itu, bentuk dan longgokan najis badak cipan juga hampir sama dengan najis badak kerbau. Biasanya najis haiwan ini berwarna hijau pekat seperti najis kerbau, bercampur dengan daun dan batang kayu yang tidak hadam atau tidak lumat.

Badan badak cipan gempal dan bulat. Berat badak cipan dewasa dapat menjangkau hingga 500 kilogram. Anak badak cipan yang baru lahir berwarna perang dengan tompok putih pada keseluruhan badannya. Warna ini bertukar hitam dan putih apabila badak cipan mencapai umur antara enam hingga lapan bulan.

Badak cipan dewasa mempunyai gigi taring, gigi geraham serta rahang yang besar dan kuat. Badak cipan dapat ditemukan di kawasan hutan tanah pamah dipterokarpa hingga di kawasan berketinggian 1000 meter dari paras !aut. Kesan badak cipan pernah direkodkan di kawasan hutan tanah tinggi, seperti Cameron Highland dan Bukit Fraser di Pahang serta Bukit Larut di Perak.

Dari segi kehidupan, badak cipan biasanya hidup bersendirian dan berpasangan ketika musim mengawan.

Badak cipan kerap ditemukan tersesat di kawasan ladang getah yang bersempadan dengan hutan rimba. Haiwan ini aktif pada waktu malam hingga pagi dan berehat atau tidur pada waktu tengah hari.

Badak cipan juga suka berkubang atau berendam di dalam air bagi menyejukkan badan, terutama sekali pada waktu tengah hari. Haiwan ini juga gemar mengeluarkan najisnya di dalam air, terutama sekali di air sungai yang mengalir.

Habitat

Habitat utama badak cipan ialah hutan tanah pamah dipterokarpa. Habitat seumpama ini kaya dengan tumbuhan dan buah hutan yang dapat dimakan oleh haiwan ini. Di samping itu, kawasan datar yang sentiasa lembap dan berair ini menjadikannya habitat yang amat digemari oleh badak cipan.

Badak cipan juga dapat ditemukan di kawasan hutan sekunder, iaitu hutan yang telah dibalak secara pilihan. Pucuk kayu muda yang tumbuh di kawasan yang baru dibalak amat digemari oleh badak cipan. Badak cipan juga gemar merendamkan badannya di dalam air, terutama ketika cuaca panas atau pada waktu tengah hari. Adalah mudah untuk melihat kesan tapak kaki badak cipan di tebing sungai kerana haiwan ini amat gemar mencari makanan di tebing sungai yang ditumbuhi rumput sambau, rumput cengkenit atau paku pakis. Badak cipan juga mendiami kawasan hutan paya gambut, terutama di kawasan tinggi yang tidak ditenggelami air.

Badak cipan tidak ada di hutan paya bakau kerana habitat ini amat tidak sesuai baginya. Kesan tapak kaki badak cipan kadangkala dapat ditemukan di kawasan tanah tinggi, terutama sekali di lembangan sungai.

Hal ini mungkin disebabkan oleh kawasan hutan tanah pamah di keliling hutan tanah tinggi atau hutan bukit diteroka dan diganti dengan kawasan pertanian. Badak cipan tiada pilihan lain kecuali mendiami kawasan hutan tanah tinggi yang masih ada tumbuhan yang dapat dimakannya.

Makanan

Badak cipan makan pelbagai jenis buah hutan, paku pakis, rumput sambau serta pucuk kayu hutan yang muda dan lembut. Buah hutan, seperti temponik, bangkong, ara, macang hutan dan keranji amat digemari oleh haiwan mi. Rumput sambau (Paspalum conjugatum) dan pucuk paku pakis (Fenaria sp) yang tumbuh di kawasan lapang atau tebing sungai juga amat digemari oleh spesies ini.

Selalunya badak cipan menyusuri denai gajah atau seladang ketika mencari makanan. Denai yang kerap digunakan oleh kumpulan gajah atau seladang ini biasanya lapang dan lebar.

Denai gajah yang lapang ini biasanya ditumbuhi rumput rampai, seperti rumput cengkenik, rumput sambau, paku pakis atau tumbuhan yang baru tumbuh. Tumbuhan yang baru tumbuh ini berasal daripada dahan yang dipatahkan oleh kumpulan gajah yang pucuknya dapat dimakan oleh haiwan ini.

Badak cipan juga kerap melewati jenut atau sira air panas atau sira tanah untuk mendapatkan zat galian, seperti kalsium, kalium, sulfur, fosforus dan magnesium bagi menguatkan tulang serta kesihatannya. Kesan tapak kaki haiwan liar ini mudah ditemukan di sekitar jenut atau sira.

Di kawasan ladang pula, badak cipan mematahkan batang atau dahan anak getah yang masih muda untuk mendapatkan pucuk yang masih muda untuk dimakannya. Kulit getah yang masih muda juga dimakan oleh spesies ini. Gigi dan rahang badak cipan yang kuat ini memudahkannya mematahkan batang getah yang masih muda.

Pekebun berasa amat bimbang apabila mengetahui badak cipan melalui kawasan tanaman getah mereka yang masih muda. Ada yang mengambil tindakan sendiri dengan menembak badak cipan dengan senjata api yang dapat mencederakan atau membunuh haiwan ini.

Pembiakan

Musim pembiakan badak cipan adalah antara bulan Januari hingga September. Badak cipan jantan mencari badak cipan betina untuk mengawan dan berpasangan ketika musim mengawan. Hormon di dalam air kencing badak cipan betina yang terpalit di atas tanah atau daun kayu dapat dihidu oleh badak cipan jantan.

Badak cipan jantan tahu sama ada badak cipan betina dapat menerimanya untuk mengawan atau tidak. Keadaan ini membolehkan badak cipan jantan menghampiri badak cipan betina yang telah bersedia untuk mengawan. Proses mengawan ini mengambil masa beberapa hari. Selepas mengawan badak cipan jantan meninggalkan badak cipan betina dan masing-masing akan menyendiri.

Jangka masa bunting bagi badak cipan betina antara 390— 395 hari atau hampir 11 bulan. Hanya seekor anak badak cipan dapat dilahirkan. Anak badak cipan yang baru lahir mempunyai warna bulu yang berbeza daripada ibunya. Bulu anak badak cipan berwarna perang dengan tompok atau jalur berwarna putih pada badannya. lbu badak cipan akan menjaga dan menyusukan anaknya sepanjang masa.

Anak badak cipan yang masih kecil ini rnudah menjadi mangsa kepada haiwan pemangsa, seperti harimau belang dan harimau kumbang. Di samping itu, anak badak cipan ini akan mengikut ibunya hingga dewasa dan mencari kawasan keliaran yang baharu.

Musuh

Badak cipan tidak mempunyai musuh yang tertentu. Spesies ini mempunyai nilai komersial hanya kepada mereka yang nnemerlukannya, seperti pihak zoo atau taman haiwan yang menjadikan haiwan ini sebagai haiwan pameran. Di negara ini, badak cipan tidak diburu oleh pemburu untuk dijadikan makanan.

Penurunan populasi spesies ini biasanya disebabkan oleh kehilangan habitat utamanya, iaitu hutan tanah pamah dipterokarpa yang ditukarkan kepada kawasan pertanian atau penempatan manusia. Ada juga badak cipan yang terkepung di hutan pulau atau hutan yang terpencil dilanggar oleh kenderaan apabila keluar ke lebuh raya.

Ada juga badak cipan yang ditemukan terperangkap di dalam perigi buta, perigi lama yang tidak digunakan lagi atau parit yang dalam di ladang. Jika lambat diselamatkan badak cipan mati kelaparan atau mati kelemasan. Ada juga rekod yang menunjukkan bahawa badak cipan terkena jerat simbat yang dipasang oleh pemburu haram bagi menangkap babi hutan atau kijang.

Luka pada kaki haiwan ini yang disebabkan oleh jerutan kuat tali keluli jerat simbat tidak mudah sembuh. Akibatnya luka ini dijangkiti kuman dan menjadi busuk atau gangren serta dihinggapi penyakit yang menyebabkan badak cipan tidak berupaya mencari makanan. Akhirnya badak cipan mati kelaparan.

Harimau belang atau harimau kumbang juga cuba membaham badak cipan dewasa. Hal ini dapat dibuktikan daripada kesan luka lama yang ada pada belakang haiwan in Badak cipan akan menyerang kembali penyerangnya dengan menggigit musuhnya. Gigi taring dan kacipnya yang besar dan tajam amat ditakuti oleh musuhnya. Gigi ini dapat menyebabkan luka dan kecederaan yang teruk kepada penyerangnya.

Perlindungan

Badak cipan ialah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar No. 716 tahun 2010. Sesiapa yang didapati menangkap, membunuh atau memelihara haiwan ini tanpa permit atau lesen daripada pihak berkuasa dapat didenda di bawah Seksyen 61(a) sehingga RM100 ribu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Di samping itu, badak cipan ialah mamalia yang unik dan mempunyai nilai kitaran alam semula jadi kepada ekosistem alam semula jadi hutan di negara ini. Pengekalan, pengawalan serta perwujudan kawasan perlindungan yang lama dan baharu merupakan satu usaha yang dapat menstabilkan populasi spesies ini pada masa akan datang.

Haiwan ini juga dapat dikatakan sebagai warisan alam semula jadi yang perlu dilindungi supaya dapat dilihat oleh generasi muda yang akan datang. Kajian lanjut perlu dilakukan oleh pakar pengkaji hidupan liar bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang perlakuan, pemakanan, populasi serta taburan mamalia ini di Malaysia. Hingga kini, terlalu sedikit perkara yang diketahui tentang mamalia ini.

Perhutanan

Rancangan Pengurusan Hutan di Malaysia

Rancangan pengurusan bermaksud pengarahan dan pengawalan sebuah entiti atau sekumpulan manusia untuk tujuan penyelarasan dan pengharmonian suatu sektor dalam mencapai matlamat tertentu.

Dan i aspek perhutanan, pengurusan merangkumi status dan penggunaan sumber hutan, pengurusan dan pemeliharaan hutan, jangkaan hasil dan sumbangan sektor perhutanan kepada ekonomi. Rancangan pengurusan hutan tidak hanya bertujuan bagi pengeluaran atau pengusahasilan kayu-kayan secara sistematik, tetapi juga mengambil kira pemeliharaan ekologi dan kepentingan alam sekitar dalam pengurusan suatu kawasan hutan.

Hutan di Malaysia kaya dengan flora dan fauna. Setiap kawasan hutan, terutamanya kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Malaysia dapat diandaikan sebagai sebuah kilang yang dapat mengeluarkan bahan mentah untuk membina bangunan, menghasilkan perabot, makanan dan ubat-ubatan, di samping peranannya dalam keseimbangan alam sekitar.

Malaysia mempunyai kira-kira 14.49 juta hektar atau 44 peratus daripada jumlah kawasan hutan yang diklasifikasikan sebagai HSK bagi tujuan hutan pengeluaran dan hutan perlindungan. Secara umumnya, kawasan hutan mengeluarkan dua produk utama, iaitu hasil kayu dan hasil bukan kayu.

Hutan ialah sumber bagi pengeluaran produk bahan mentah bangunan, seperti kayu gergaji, papan lapis dan papan serpai. Kawasan ini juga penting sebagai sumber air bersih, rotan dan tumbuhan ubatan.

Kawasan hutan di Malaysia, terutamanya yang melibatkan kawasan pengeluaran diurus berdasarkan Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) yang disediakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri setiap 10 tahun.

Menurut Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan 1993), Seksyen 2(1) “Rancangan Pengurusan Hutan” dapat didefinisikan secara umum sebagai “suatu rancangan kendalian yang berhubung dengan aktiviti atau program silvikultur, ekonomi atau pemuliharaan yang ditetapkan bagi suatu HSK tertentu atau sebahagian daripadanya untuk memastikan pengambilan, penanaman semula dan pemuliharaan pokok teratur berdasarkan prinsip perolehan berkekalan”.

Sesuai dengan definisi yang digunapakai oleh konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, definisi ini dapat dikembangkan dengan merangkumi aspek lain yang berkaitan, seperti pemeliharaan ekologi dan kepelbagaian biologi, ekopelancongan, masyarakat yang bergantung pada hutan (terutamanya orang asli) dan perlindungan alam sekitar.

Oleh sebab itu, objektif utama penyediaan RPH adalah menyediakan suatu dokumen rujukan yang dapat diguna pakai dalam membantu dan memberikan hala tuju kepada Jabatan Perhutanan dalam menjalankan pengurusan dan pentadbiran kawasan hutan bagi aktiviti pengeluaran hasil hutan, seperti pengusahasilan secara berkekalan, menjamin keberkekalan kepelbagaian biologi dan perkhidmatan hutan (seperti ekopelancongan) yang bermutu dan mempunyai nilai tambah sejajar dengan kehendak dan aspirasi Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Ringkasnya, RPH ialah alat pengurusan yang sangat utama dan penting. Alat ini perlu disediakan oleh Jabatan Perhutanan yang bertanggungjawab menguruskan suatu kawasan hutan berkenaan atau dikenali sebagai Unit Pengurusan Hutan (FMU). RPH mengandungi maklumat tentang rancangan pengurusan hutan yang perlu dilaksanakan bagi membantu pengurusan kawasan berhutan secara berkekalan.

Secara amnya, RPH merupakan satu dokumen komprehensif yang dapat membantu Jabatan Perhutanan. Hal ini termasuklah membantu merancang, mentadbir serta mengurus hutan, khususnya HSK secara teratur dan sistematik. Semua ini penting demi mencapai matlamat Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Sesungguhnya, peranan hutan terutamanya dari aspek pemeliharaan dan kepentingan alam sekitar makin mendapat perhatian daripada masyarakat yang menjadikan mereka lebih peka dan prihatin terhadap isu berkaitan perhutanan.

Hal ini secara tidak langsung memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang berkepentingan. Antaranya termasuklah Jabatan Perhutanan bagi mengurus kawasan hutan di negeri ini secara berkekalan supaya dapat diwariskan dalam keadaan yang terbaik kepada generasi akan datang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s