Teks untuk Podcast 2014 002 02

Podcast 2014 002 02, merupakan bahagian kedua daripada rakaman audio rencana-rencana daripada Dewan Kosmik Oktober 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Kesihatan Keluarga

Penyakit Kardiovaskular Punca Kematian Mengejut

Kematian mengejut akibat penyakit kardiovaskular ialah fenomena yang amat ditakuti oleh semua orang. Apatah lagi jika keadaan ini berlaku kepada orang yang umurnya masih muda. Penyakit diabetes adalah antara penyebab utama yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular, seterusnya mengakibatkan kematian mengejut.

Antara komplikasi kardiovaskular yang dimaksudkan termasuklah serangan jantung, strok atau angin ahmar, penyakit arteri periferi dan kegagalan jantung. Hampir 70 peratus kematian yang disebabkan oleh sakit jantung berpunca daripada diabetes. Jika seseorang itu mempunyai diabetes dan disahkan menghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia yang muda.

Punca Penyakit Kardiovaskular

Komplikasi kardiovaskular ialah komplikasi makrovaskular penyakit diabetes. Komplikasi ini diklasifikasikan sebagai makrovaskular kerana melibatkan salur darah yang besar berbanding dengan komplikasi mikrovaskular yang melibatkan salur darah yang kecil, seperti kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan saraf.

Komplikasi kardiovaskular berkaitan rapat dengan kewujudan aterosklerosis yang disebabkan oleh kandungan kolesterol yang tidak seimbang atau dikenali sebagai dislipidemia atau hiperkolestrolemia. Dislipidemia yang dimaksudkan ini ialah peningkatan kolesterol yang tidak baik, iaitu lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida serta penurunan tahap kolesterol yang baik, iaitu lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL).

Akibat dislipidemia, lapisan dinding pembuluh darah yang dikenali sebagai endotelial rosak dan menyebabkan darah membeku serta melekat pada lapisan dalam pembuluh darah. Mekanisme ini menjadikan pembuluh darah semakin sempit dan akhirnya tersumbat.

Punca Pesakit Diabetes Menghidap Penyakit Kardiovaskular

Sungguhpun kawalan gula oleh pesakit berada pada tahap yang baik, komplikasi penyakit kardiovaskular masih tinggi dalam kalangan penghidap diabetes pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana faktor risiko yang ada pada pesakit tidak dikawal dengan baik hingga menyebabkan mereka masih lagi mendapat serangan komplikasi penyakit kardiovaskular.

Walaupun pesakit diabetes dianggap sebagai pesakit yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit jantung, beberapa faktor risiko lain juga turut menyumbang kepada komplikasi mi.

Berdasarkan laporan kajian diabetes prospektif United Kingdom (UKPDS) yang diterbitkan dalam jurnal British Medical pada tahun 1996, antara faktor risiko lain yang dikenal pasti termasuklah pertambahan usia, tahap gula dalam darah yang tidak terkawal, peningkatan tekanan darah sistolik, paras kolesterol LDL yang tinggi dan paras kolesterol HDL yang rendah.

Selain itu, antara faktor risiko lain yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular ini termasuklah:

Tekanan darah tinggi

Tekanan darah tinggi ialah faktor risiko yang utama dalam menyumbang kepada komplikasi penyakit kardiovaskular. Apabila seseorang itu menghidap kedua-dua penyakit ini, iaitu kencing manis dan darah tinggi, risiko untuk mendapat komplikasi kardiovaskular meningkat dua kali ganda.

Kandungan atau Tahap Kolesterol yang Tinggi

Pesakit diabetes selalunya mempunyai tahap kolesterol yang tidak seimbang, iaitu tahap kolesterol yang baik (HDL) yang rendah dan tahap kolesterol yang tidak baik (LDL dan Trigliserid) yang tinggi. Tahap kolesterol yang tidak seimbang ini menyebabkan terjadinya kematian pramatang, iaitu meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kardiovaskular pada umur yang muda (umur kurang daripada 55 tahun bagi lelaki dan kurang daripada 65 tahun bagi wanita). Bagi pesakit diabetes, tahap kolesterol yang tidak seimbang ini menyumbang kepada terjadinya rintangan insulin dalam badan yang menyebabkan tahap gula sukar dikawal.

Obesiti

Masalah obesiti dalam kalangan pesakit diabetes berkaitan rapat dengan rintangan insulin dan menjadi faktor utama dalam komplikasi penyakit kardiovaskular. Obesiti dan rintangan insulin juga dikaitkan dengan penyakit darah tinggi.

Tahap Aktiviti Fizikal yang Rendah

Tahap aktiviti fizikal yang rendah ialah risiko yang dapat diubah dan berkaitan rapat dengan rintangan insulin dalam pesakit diabetes. Senaman dan penguragan berat badan dapat menghalang atau melambatkan penyakit diabetes, mengurangkan tekanan darah tinggi, seterusnya mengurangkan faktor risiko penyakit jantung atau strok.

Tahap Gula dalam Darah yang Tidak Terkawal

Tahap gula yang tidak terkawal sama ada melalui pengambilan darah puasa (empat hingga enam mmol/L) atau lebih tepat ialah kadar purata gula untuk tiga bulan (iaitu HbAl c yang diukur setiap tiga hingga enam bulan di klinik).

HbAlc (hemoglobinAlc, hemoglobin Alc terglikosilat, glikohemoglobin Al c atau ujian Al c) merupakan ujian makmal yang mengemukakan purata glukosa darah untuk jangka masa dua hingga tiga bulan. Secara khususnya, ujian ini mengukur bilangan molekul glukosa yang terikat kepada hemoglobin, iaitu suatu bahan dalam sel darah merah. Orang yang tidak menghidap diabetes biasanya mempunyai takat HbAlc kurang daripada enam peratus. Hal ini bermakna kurang daripada enam peratus molekul glukosa tenkat secara kekal kepada hemoglobin.

Tahap yang patut dicapai untuk pesakit diabetes ialah <= 6.5 peratus. Walau bagaimanapun, tahap yang patut dicapai juga bergantung pada tahap umur dan tahap kesihatan pesakit.

Merokok

Amalan merokok ialah faktor risiko penting yang menyumbang kepada komplikasi kardiovaskular. Sekalipun seseorang perokok itu tidak mempunyai penyakit diabetes, mereka tetap berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular.

Tanda Pesakit Menghidap Penyakit Kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular berlaku akibat daripada pembuluh darah atau saluran darah yang makin sempit dan akhirnya tersumbat hingga menyebabkan otak dan jantung kurang oksigen kerana tidak menerima darah yang cukup.

Walaupun kebanyakan pesakit diabetes menjalani pemeriksaan tahunan secara tetap, tanda amaran penting bagi penyakit kardiovaskular masih tidak dapat dikenal pasti. Hal ini dikatakan demikian kerana pesakit menganggap gejala yang mereka alami ialah gejala biasa yang tidak perlu diperiksa secara terperinci.

Oleh sebab itu, pesakit diabetes perlu tahu dan sedar tentang gejala penyakit kardiovaskular. Hal ini penting supaya pesakit terus mendapatkan nasihat dan pemeriksaan secara terperinci sebelum mendapat gejala yang lebih teruk hingga menyebabkan mereka terpaksa dimasukkan ke hospital.

Penyakit kardiovaskular dapat memberikan kesan kepada banyak anggota badan, seperti jantung dan otak. Gejala yang dapat dikenal pasti oleh pesakit adalah berkaitan dengan organ yang bermasalah. Antara gejala paling biasa yang dialami oleh pesakit kardiovaskular termasuklah sakit jantung dan strok.

Gejala Sakit Jantung

Pesakit akan berasa sakit dada atau tidak selesa pada bahagian dada serta berasa seperti tekanan atau sakit yang menekan pada bahagian dada. Pesakit mungkin berasa senak, sakit pada bahu, lengan, leher, rahang, atau pada bahagian belakang.

Sesak nafas pula datang bersama-sama rasa tidak selesa pada dada dan dapat berlaku sebelum pesakit diserang sakit dada. Akibat daripada komplikasi saraf yang dialami oleh pesakit kencing manis, tanda sakit jantung mungkin berbeza-beza. Pesakit mungkin hanya berasa loya, ketidakselesaan badan pada satu atau kedua-dua lengan, leher, rahang, atau perut.

Gejala Strok/Angin Ahmar

Gejala yang berlaku bergantung pada pembuluh darah yang terlibat pada otak, pembentukan plak (aterosklerosis) dan embolisme. Embolisme berlaku apabila darah beku terperangkap dalam pembuluh darah kecil pada otak.

Antara gejala yang dimaksudkan termasuklah kebas secara tiba-tiba atau pesakit berasa lemah pada bahagian muka, lengan, atau kaki, terutamanya yang melibatkan sebelah bahagian badan. Pesakit juga menjadi keliru secara tiba-tiba atau mengalami masalah pertuturan, iaitu pelat.

Masalah penglihatan juga sering berlaku pada mata pesakit dan mungkin melibatkan satu atau kedua-dua belah mata. Antara gejala lain termasuklah pening atau sakit kepala secara tiba-tiba tanpa sebab, mengalami kesukaran berjalan atau hilang keseimbangan badan.

Ada juga gejala yang diakibatkan oleh penyempitan salur darah yang kecil secara sementara, iaitu dikenali sebagai serangan iskemia transien (TIA). Gejala ini mungkin sama seperti yang dinyatakan sebelum ini, tetapi hanya sementara dan pesakit pulih dalam tempoh 24 jam.

Rawatan dan Sasaran yang Perlu Dicapai

Banyak kajian menunjukkan bahawa perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang sihat, peningkatan aktiviti fizikal dan penurunan berat badan dapat mengurangkan risiko seseorang daripada mendapat komplikasi penyakit kardiovaskular.

Pengambilan makanan perlulah secara betul. Selain mengurangkan pengambilan karbohidrat, pesakit perlu mengurangkan pengambilan garam, iaitu kurang daripada lima gram sehari (bersamaan dengan satu sudu teh), mengurangkan pengambilan lemak dalam diet harian dan melebihkan serat, seperti sayur dan buah dalam hidangan.

Aktiviti fizikal perlu dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima kali seminggu dengan intensiti yang sederhana. Pesakit harus mengekalkan indeks jisim tubuh (BMI) yang unggul, iaitu antara 18.0 — 22.9 kg/m2. Selain itu, berhenti merokok ialah faktor yang amat penting bagi mengelak daripada komplikasi kardiovaskular.

Bagi pesakit diabetes, rawatan secara perubahan gaya hidup sihat tidak mencukupi kerana mereka perlu memastikan semua faktor risiko yang dihadapi berada dalam keadaan terkawal, terutama sekali kandungan gula dalam darah. Pesakit diabetes perlu memastikan paras gula puasa berada antara empat hingga enann mmol/L dan tahap purata gula tiga bulan, iaitu HbA1c perlu mencapai 5 6.5 peratus.

Bagi mencapai tahap ini pesakit perlu mengambil ubat yang diberi secara teratur. Jika pesakit dinasihati untuk mendapatkan rawatan insulin pada tahap awal, pesakit perlu bersetuju kerana pengambilan insulin pada peringkat awal akan nnelambatkan atau menghalang komplikasi diabetes, khususnya penyakit kardiovaskular.

Bagi pesakit diabetes yang mempunyai masalah tahap tekanan darah, bacaan tekanan darah perlulah tidak melebihi 130/80 mmHg. Jika tahap tekanan darah pesakit berterusan melebihi 130/80 mmHg, pesakit dinasihati untuk mendapatkan rawatan darah tinggi hinggalah tahap tekanan darah pesakit kembali normal.

Di samping itu, tahap kolesterol dalam badan juga perlu dikawal dengan baik. Hal ini dapat diukur melalui pengambilan darah vena. Tahap kolesterol yang perlu dicapai oleh pesakit diabetes ialah junnlah kolesterol keseluruhan < 4.5 mmol/L, LDL 5 2.6 mmol/L, HDL > 1.0 mmol/L. kebanyakan pesakit diabetes memerlukan rawatan untuk membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Pesakit diabetes mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat komplikasi penyakit kardiovaskular. Oleh sebab itu, pesakit diabetes perlu mengenali gejala penyakit itu dan mengambil langkah terbaik untuk mengawal faktor risiko yang sedia ada dan mengelak komplikasi ini daripada berlaku.

Sains Neuron

Sindrom X Rapuh

Sindrom X rapuh merupakan penyakit pewarisan yang paling kerap menyumbang keadaan kerencatan mental dan sering dikaitkan dengan autisme. Pada segelintir kanak-kanak yang menghidap sindrom ini mereka menunjukkan kesulitan berbahasa dan berbicara, kurang memberikan perhatian dan mengalami kesulitan dalam memahami konsep, pemalu dan cenderung menghindari daripada bertentangan mata seperti kanak-kanak autisme.

Apabila diamati baik-baik, mereka menunjukkan ciri khas yang berbeza daripada kanak-kanak autisme, seperti memiliki testis yang besar (pada kanak-kanak lelaki), telinga lebar (seperti tergantung), dagu dan dahi yang memanjang dan mengalami kerencatan mental.

Sindrom ini merupakan penyebab kedua kerencatan mental yang disebabkan oleh kelainan genetik selepas sindrom Down. Sindrom ini dinamakan sedemikian kerana penyakit ini ditandai oleh adanya kerapuhan yang nampak seperti patah pada hujung akhir lengan panjang kromosom X. Keadaan ini disebabkan oleh sifat sensitif kepada asid folik yang terletak pada kromosom X ( Xq27.3) atau sinnbolnya (FRAXA).

Penyakit ini masih lagi asing bagi masyarakat kita. Sindrom X rapuh ialah kelainan genetik yang menyebabkan keterbatasan dalam perkembangan fizikal, perilaku, intelektual dan emosi. Sindrom ini turut dikenali sebagai sindrom Martin-Bell. Sindrom X rapuh dapat diturunkan dengan pola yang kompleks kerana adanya gen yang mutan.

Mutasi gen ini akan menghasilkan protein untuk perkembangan normal sel otak yang mengulangi urutan nukleotida tertentu. Apabila perubahan pada gen berlaku, sel tidak dapat menghasilkan protein yang akan digunakan oleh tubuh, khususnya sel otak, untuk berkembang dan berfungsi secara normal.

Sindrom ini berlaku disebabkan oleh peningkatan jujukan trinukleotida ulangan CGG (Sitosina-Guanina-Guanina) yang terletak dalam kawasan 5’UTR gen FMR1 (X rapuh kerencatan mental 1) dan mengakibatkan kerencatan fungsi gen ini.

Kajian terhadap penyakit kerencatan mental yang dilakukan pada peringkat populasi mendapati bahawa satu hingga tiga peratus populasi di negara maju dan dua hingga tiga peratus di negara membangun menghidap penyakit ini.

Di samping itu, kajian oleh Batshaw pada tahun 1997 mendapati bahawa kekerapan penyakit kerencatan mental adalah 25 kali lebih tinggi berbanding dengan penyakit buta.

Seseorang individu itu dianggap sebagai terencat mental apabila tahap ujian kecerdasan (IQ) mempunyai nilai kurang daripada julat 70 — 75. Terencat mental dapat berlaku kepada individu tertentu tanpa mengira bangsa, etnik, tahap pelajaran (keluarga) atau keadaan sosioekonomi.

Ada beberapa punca yang dapat menyebabkan kerencatan mental. Sebahagian besar daripada keadaan ini berlaku disebabkan oleh genetik. Beberapa kajian epidemiologi menunjukkan bahawa kejadian kerencatan mental berlaku lebih tinggi pada lelaki berbanding dengan perempuan.

Perbezaan kekerapan ini mungkin disebabkan oleh ciri penyakit ini yang bersifat terangkai kromosom X dan dikenali sebagai kerencatan mental terangkai X (XLMR). Kekerapan kes XLMR dianggarkan sebanyak 1/600 kelahiran bagi individu lelaki. Daripada keseluruhan kes ini kira-kira 25 — 40 peratus merupakan kes sindrom X rapuh.

Walau bagaimanapun, penderita sindrom ini memiliki nnemori yang baik dalam aspek visual (gambar). Hal ini memudahkan mereka belajar huruf dan kata. Penderita juga dapat mengikut arahan yang disampaikan melalui gambar. Mereka mampu belajar dan bekerja, tetapi memerlukan lebih banyak masa untuk belajar atau menggunakan kaedah pembelajaran yang khusus.

Bayi atau kanak-kanak yang menghidap sindrom ini jarang-jarang menunjukkan kelainan. Perbezaan hanya pada dahi yang lebar dan kepala yang lebih besar daripada normal. Apabila akil baligh, mereka mula menunjukkan perubahan, seperti muka panjang, telinga besar, perawakan lebih pendek, makroorkidisme (pembesaran testis pada lelaki), kehilangan kebolehlenturan sendi, hernia, infeksi telinga tengah serta kelainan pada tisu penghubung yang mengakibatkan deruan jantung.

Pada usia yang lanjut, geletar dan gangguan ketika berjalan berlaku. Bagi perempuan khususnya, kegagalan ovari pramatang (POF) berlaku. Dalam kegagalan ini fungsi ovari terhenti sebelum nnenopaus (kurang daripada unnur 40 tahun). Apabila dibandingkan, POE terjadi lebih awal pada penderita perempuan dengan pramutasi berbanding dengan penderita perempuan dengan mutasi penuh.

Penderita sindrom X rapuh akan mengungkapkan kata yang berulang-ulang, bertanya pertanyaan yang berulang-ulang, bercakap terlalu cepat dan bercakap dengan suara yang kuat. Penderita sensitif kepada suara yang kuat, peka dengan suara yang rendah, sentuhan dan pelukan. Penderita juga mengalami kesulitan untuk belajar duduk, berdiri, berjalan atau menunggang basikal.

Pewarisan sifat X rapuh memiliki pola yang kompleks, tetapi sindrom ini lebih umum ketika kromosom abnormalnya diwarisi daripada ibu dan bukan daripada bapa. Hal ini sesuai dengan kelainan yang lebih umum yang berlaku pada lelaki.

Bagi memastikan diagnosis dan mengetahui jenis sindrom X rapuh serta kemungkinan pewarisan, pemeriksaan kromosom daripada sel darah putih penderita dilakukan. Pada perempuan pembawa sifat (terutanna yang pramutasi) kromosom yang rapuh sering tidak dapat ditunjukkan. Oleh sebab itu, pemeriksaan asid deoksiribonukleik (DNA) diperlukan.

Ujian yang dilakukan untuk mengesahkan sindrom ini ialah ujian DNA molekular, iaitu menghitung jumlah pengulangan CGG pada promoter rantau gen FMR 1 yang merangkumi sap Southern dan reaksi rantai polimerase (PCR), ujian kromosom untuk mencari kawasan rapuh pada kromosom X dengan menggunakan mikroskop dan ujian protein bagi mengukur jumlah FMRP yang dihasilkan oleh sel normal.

Bagi ujian pranatal sampel cecair amnion melalui amniotonni atau sel plasenta (persampelan villus korionik) digunakan dan diuji dengan ujian yang dinyatakan sebelum ini.

Pencegahan terhadap prevalens sindrom X rapuh masih dalam peringkat pembangunan. Antaranya termasuklah pembaikan gen, pereaktifan gen dan terapi gen. Tujuannya adalah mencegah daripada berlakunya proses pemetilan. Hal ini dilakukan dengan cara memasukkan bahan kimia tertentu kepada otak yang diharapkan dapat mengubati kekurangan pada gen FMR1.

Di samping itu, penggantian protein, iaitu dengan membuat sintesis FMRP juga dapat dilakukan selain penggantian protein menerusi pengubatan dan menggantikan peranan FMRP dengan bahan lain.

Sains Persekitaran

Terjejasnya Ekosistem Punca Masalah Air

Hampir 70 peratus daripada permukaan Bumi dilitupi air kerana air merupakan sumber semula jadi yang sangat penting bagi pelbagai hidupan di atas muka Bumi ini, terutamanya bagi kegunaan aktiviti harian manusia. Menurut Profesor Dr. Chan Ngai Weng dari Sekolah Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, seseorang itu masih apat bertahan apabila suhu meningkat lima darjah Celsius jika menggunakan pendingin hawa atau berpindah ke lokasi yang lebih sejuk.

Akan tetapi, jika permasalahan air berlaku, tiada alternatif lain yang mampu membantu manusia untuk meneruskan kehidupan. Hal ini jelas membuktikan bahawa air merupakan satu daripada keperluan penting dalam kehidupan manusia.

Menelusuri era globalisasi ini, makin banyak isu berkaitan air timbul disebabkan oleh kelalaian manusia dalam memanipulasikan penggunaan air sekali gus menjadikan air sebagai sumber yang terhad. Air bukan sahaja digunakan untuk aktiviti harian seperti memasak, tetapi turut digunakan dalam industri besar yang lain, seperti perindustrian dan pertanian.

Untuk menghasilkan sebuah kereta bersaiz sederhana, sejunnlah 147 ribu liter air diperlukan. Pada asasnya, penggunaan air di Malaysia dibahagikan kepada sektor domestik (17 peratus), perindustrian (21 peratus) dan pertanian (62 peratus). Namun begitu, masalah kekurangan sumber air bukan isu baharu bagi negara kita, mahupun negara maju yang lain, seperti Singapura, Jepun dan China.

Singapura mengalami krisis air bermula pada tahun 2001 dengan meningkatnya kadar penggunaan air sehari kepada 6.5 peratus sejak tahun 1994 berbanding dengan 5.2 peratus pada empat tahun sebelumnya. Masalah ini timbul disebabkan oleh kekurangan kawasan tadahan air di Singapura akibat aktiviti pembangunan yang pesat.

Bagi mengatasi masalah ini, Singapura nnembuat perjanjian untuk membeli air daripada kerajaan Johor dengan kadar maksimum 86 juta gelen air sehari. Natijahnya, kadar cukai air di negara itu meningkat daripada 10 peratus kepada 15 peratus bagi setiap isi rumah.

Sejak Januari hingga Ogos 2009, didapati penggunaan meter air domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 216 liter perkapita sehari. Jumlah ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan penggunaan air oleh rakyat Singapura, iaitu hanya sebanyak 155 liter sehari.

Melihat secara lebih mendalam berkaitan isu air di Labuan, kira-kira 85 ribu penduduk kota, penghuni kampung serta pusat pengajian tinggi dan kolej matrikulasi turut tidak terlepas daripada nnenghadapi masalah bekalan air sejak Julai 2009.

Seperti yang diketahui, Labuan bergantung pada saluran paip air dasar lautdari Sungai Padas di Beaufort, Sabah. Sebanyak 56 juta liter air sehari diperlukan sedangkan penghantarannya hanya 42 juta liter.

Oleh sebab itu, pihak berwajib perlu mengannbil langkah segera supaya masalah ini tidak mengganggu kesejahteraan penduduk. lsu air ini dilihat agak membimbangkan kerana melibatkan tahap kebersihan yang turut memberikan kesan kepada kesihatan penduduk, pelajar, peniaga dan pelancong.

Walau bagaimanapun, pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak yang berkenaan dalam usaha meningkatkan bekalan air seperti pembinaan saluran perigi yang dikelolakan oleh Sime Darby. Mereka turut bercadang untuk melaksanakan penuaian hujan dan penyulingan air laut.

Kita sering mempersoalkan masalah yang kita hadapi in tetapi kita tidak pernah terfikir akan punca di balik timbulnya masalah mi. Semuanya tidak lain adalah disebabkan oleh kecuaian kita sebagai manusia dalam menguruskan sumber alam kurniaan Ilahi ini. Yang paling utama hal ini berpunca daripada masalah pengurusan ekosistem yang tidak terkawal.

Ekosistem tanah lembap merupakan medium utama dalam membantu membendung masalah ini kerana mempunyai kitaran pengaliran air yang sangat berkesan yang dikenali sebagai akuifer. Apabila hujan turun, air akan diserap dan bertakung di dalam tanah.

Apabila kesemua liang pori tanah tepu dengan air yang masuk ke dalam tanah, lebihan jumlah air kemudiannya dialirkan melalui permukaan bumi ke sungai, tasik, kolam dan seterusnya ke laut. Keadaan hutan yang padat dengan tumbuhan pula sangat membantu mengurangkan masalah besar, seperti gelinciran tanah dan banjir kilat.

Jutaan helaian daun yang mampu memerangkap sejumlah besar air akan mengurangkan air

yang mengalir ke sungai. Daun yang gugur di permukaan tanah juga dapat melambatkan proses pengaliran air di atas permukaan tanah. Melalui cara ini, masalah hakisan tanah dapat dikurangkan sekali gus mengelakkan berlakunya fenomena tanah runtuh.

Aktiviti pengeksploitasian sumber semula jadi secara berleluasa menyebabkan ekosistenn tidak seimbang. Aktiviti pembangunan yang tidak mapan menyebabkan banyak kawasan tadahan hujan terjejas dan bencana banjir berlaku. Air yang tercemar akibat banjir merupakan satu daripada punca kurangnya sumber air bersih dalam negara kita.

Menurut Data Bank Dunia, anggaran kadar hujan di Malaysia tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak tahun 2007 — 2009, iaitu sebanyak 2875 mm setiap tahun. Namun begitu, kadar keluasan hutan menurun daripada 63.6 peratus pada tahun 2005 kepada 62.3 peratus pada tahun 2010. Fakta ini jelas membuktikan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan masalah kekurangan kawasan tadahan air yang menjadi punca kepada isu air ini.

Pelbagai langkah dan usaha perlu dilakukan bagi membendung masalah yang dihadapi ini kerana dikhuatiri isu ini akan bertambah kritikal pada masa akan datang. Sememangnya kepentingan air dalam kehidupan harian tidak dapat dinafikan lagi, malah masalah air yang dihadapi kian menjadi polemik kepada orang ramai. Hal ini menunjukkan bahawa kesedaran orang rannai terhadap masalah ini makin meningkat.

Namun begitu, kesedaran ini hanya sekadar menjadi bualan yang belum mencapai tahap realistik. Kesedaran ini perlu ditingkatkan lagi, terutamanya melalui media massa yang berpotensi untuk memberikan pengaruh yang sangat besar. Contohnya, melalui kempen dan program.

Kempen kesedaran seperti menggunakan air dengan cermat perlu diuar-uarkan dengan lebih kerap dan meluas, bukan hanya di saat masalah ini telah menjadi sangat kritikal. Program yang dilaksanakan pula perlu mempunyai objektif yang jelas untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan sumber air.

Selain itu, dalam keghairahan mengejar arus modenisasi, kerajaan seharusnya lebih prihatin dalam mengambil kira kemampuan alam sekitar, terutamanya ketika menjalankan projek pembangunan. Pembangunan perlu dilaksanakan dengan lebih terancang dan sistematik. Pengeksploitasian sumber semula jadi juga perlu dikawal dan dipantau dengan lebih giat lagi.

Setiap antara kita harus sedar betapa masalah air yang makin hari makin merunsingkan ini tidak dapat dipandang enteng lagi. Sebagai nnasyarakat prihatin, kita harus tahu bahawa sumber alam semula jadi ini bukan sahaja untuk kehidupan harian kita, malah untuk generasi akan datang.

Oleh sebab itu, pelbagai perkara penting harus dikenal pasti bagi memulakan langkah mernelihara dan memulihara alam sekitar dalam usaha untuk mengatasi masalah air yang makin meruncing.

Jika negara kita mampu menangani sistem pengurusan sumber alam, Malaysia tentu berjaya mengurangkan masalah yang timbul akibat isu air ini, lantas dapat menambahbaik pelbagai prasarana lain untuk menjadikan negara kita lebih ke hadapan dalam segala bidang sekali gus menjadi yang terhebat di persada dunia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s