Teks untuk Podcast 2014 002 01

Podcast 2014 002 01, merupakan bahagian pertama daripada rakaman audio rencana-rencana daripada Dewan Kosmik Oktober 2013 dan teks asalnya adalah seperti berikut:

Alam Sekitar

Pengurusan Sisa Pepejal Perlu Pintar

Sisa pepejal atau lebih dikenali sebagai sampah ditakrifkan sebagai sisa dari rumah (dikutip dan dihantar), sisa komersial (kedai, restoran dan pejabat) dan sisa institusi (sekolah, pusat riadah, hospital, tetapi tidak termasuk sisa klinikal) yang terhasil daripada aktiviti harian.

Sampah dapat diklasifikasikan sebagai kategori sisa yang pelbagai, dijana daripada sumber yang berbeza dan setiap satunya adalah heterogen. Sampah yang tidak diurus dan dilupuskan dengan baik dapat mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan manusia dan keseimbangan alam sekitar. Satu daripada cabaran terbesar dalam pengurusan sampah ialah peningkatan penjanaan sisa yang mewujudkan tekanan kepada kemudahan pelupusan.

Penjanaan Sampah

Penjanaan sampah meningkat dengan pantas dan berkadar langsung dengan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan penduduk. Penduduk di Malaysia, secara purata menjanakan sejumlah 0.8 kg perkapita sampah sehari pada tahun 2000. Jumlah ini meningkat dari hanya 0.67 kg sehari pada tahun 1998 dan dijangka terus meningkat kepada 1.4 kg sehari perkapita pada tahun 2025.

Penduduk di Malaysia kini mencapai angka 28 juta orang. Dengan jumlah ini, sampah yang terhasil dapat menjangkau 39 ribu metrik tan sehari. Selangor, termasuklah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur merupakan penjana sampah terbesar di Semenanjung Malaysia. Satu pertiga daripada jumlah keseluruhan sampah dihasilkan di sini.

Penjanaan sampah di Selangor direkodkan pada kadar 1.26 kg/ kapita/hari dan Kuala Lumpur 1.57 kg/kapita/hari. Kadar ini berkait rapat dengan peningkatan penduduk dan urbanisasi. Jika tapak pelupusan sampah pada ketika ini berpeluang dilawat, pergunungan sampah dapat dilihat setinggi bangunan lima tingkat atau lebih!

Dunia secara keseluruhan menjanakan sejumlah 1.3 bilion tan sampah setahun dan dijangka meningkat kepada 2.2 bilion tan setahun pada tahun 2025. Negara maju, seperti Eropah dan Denmark merupakan penjana terbesar sampah (802 kg/kapita/tahun). Korea, Jepun dan China (negara Asia yang maju) pula menjanakan sampah pada kadar antara 383 kg/kapita/tahun hingga 621 kg/kapita/tahun.

Namun begitu, negara Asia yang membangun seperti Malaysia dan Indonesia menghasilkan jumlah sampah yang lebih rendah berbanding dengan negara ini, iaitu pada kadar 146 kg/ kapita/tahun hingga 321 kg/kapita/ tahun. Hong Kong merupakan penjana sampah tertinggi di dunia, iaitu 1851 kg/ kapita/tahun. Hal ini dikaitkan dengan peningkatan ekonomi dan pertambahan penduduk.

Komposisi Sampah

Sampah atau sisa pepejal di negara ini terdiri daripada peratusan bahan organik yang tinggi (48 — 64 peratus) dan kertas (12 — 30 peratus). Komposisi ini banyak dipengaruhi oleh status ekonomi dan tahap perbandaran. Sisa organik yang terhasil adalah daripada pemprosesan makanan mentah.

Penduduk yang tinggal di bandar menghasilkan lebih banyak kertas dan plastik berbanding dengan penduduk yang tinggal di luar bandar. Hal ini disebabkan oleh hasil kepenggunaan yang lebih besar dan urbanisasi yang menjana lebih banyak bahan pembungkusan yang meliputi kertas dan plastik di bandar besar.

Pelupusan Sampah

Umumnya, ada empat kaedah pelupusan sampah yang utama di negara kita, iaitu tapak pelupusan sampah, insinerator, pengkomposan dan kitar semula. Namun begitu, pelupusan sampah di tapak pelupusan ialah kaedah yang paling mudah di banyak tempat di dunia dan Malaysia.

Tapak pelupusan di Malaysia diklasifikasikan antara Tahap 0 (paling teruk) hingga Tahap 4 (paling baik):

Tahap 0: Lambakan terbuka (paling teruk)

Tahap 1: Kawalan tip dengan tanah liputan harian

Tahap 2: Bukan sanitari dengan benteng dan tanah liputan harian

Tahap 3: Bukan sanitari dengan sistem peredaran semula larut resapan

Tahap 4: Penimbusan tanah sanitari dengan sistem rawatan air resapan

Pada tahun 1990, ada 61 tapak pelupusan yang dilaporkan di Malaysia dan 32 daripadanya merupakan lambakan terbuka. Di samping itu, ada lebih banyak tapak pelupusan sampah haram di negara ini yang tidak direkodkan atau yang tidak dapat dikesan.

Pada tahun 2002, bilangan tapak pelupusan meningkat kepada 161. Daripada jumlah ini, 77 merupakan tapak pelupusan lambakan terbuka, manakala selebihnya ialah tapak pelupusan bukan sanitari. Pada tahun 2004, 247 tapak pelupusan direkodkan di negara ini dan 75 daripadanya telah ditutup.

Pada tahun 2007, 291 tapak pelupusan direkodkan , manakala 112 tapak telah ditutup. Hanya 10 daripada 179 tapak pelupusan digredkan sebagai tapak pelupusan sanitari. Sementara itu, sehingga tahun 2012, 296 tapak pelupusan sisa pepejal direkodkan. Daripada jumlah ini, 165 tapak pelupusan masih beroperasi dan hanya ada lapan tapak pelupusan sanitari di seluruh negara.

Masalah Tapak Pelupusan Sampah

Piawaian pengurusan sampah di kebanyakan negara berpendapatan sederhana masih berada pada tahap yang menyedihkan. Hal ini termasuklah ketiadaan kemudahan rawatan sisa, pengumpulan dan sistem penyimpanan yang tidak cekap, sisa perbandaran dilupuskan bersama-sama sisa berbahaya, penggunaan ruang pelupusan yang tidak cekap dan dokumentasi yang tidak lengkap.

Oleh sebab kekangan kewangan, tapak pelupusan yang beroperasi di negara miskin dan berpendapatan sederhana biasanya kekurangan langkah tebatan alam sekitar, seperti sistem pengumpulan larut resapan dan lapisan di bahagian bawah tapak pelupusan. Akibatnya, banyak pencemaran, terutamanya tanah, air dan air bawah tanah berlaku. Pencemaran ini mengancam kesihatan penduduk dan ekosistem yang terdedah.

Kadangkala, walaupun dengan langkah tebatan yang betul di tapak pelupusan, tidak ada jaminan bahawa pencemaran dapat dicegah sepenuhnya. Akibatnya, kaedah ini tidak dianggap sebagai kaedah pelupusan sisa yang paling sesuai untuk masa hadapan.

Satu lagi kebimbangan utama kini ialah kesesuaian sesebuah kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan yang baharu bagi memastikan kesan kepada manusia dan alam sekitar berada pada tahap minimum.

Pengasingan Sampah dan Kitar Semula

Kadar kitar semula di Malaysia kurang daripada lima peratus meskipun kempen kitar semula bermula sejak tahun 1993. Program kitar semula mendapat sambutan yang hambar daripada industri dan masyarakat kerana turun naik harga dan permintaan rendah untuk bahan kitar semula.

Sistem kitar semula yang dipraktikkan di negara kita tidak cekap. Hal ini termasuklah tong kitar semula tidak dibekalkan di setiap rumah penduduk di Malaysia. Sebaliknya, tong kitar semula diletakkan di pusat umum atau dewan orang ramai yang terletak jauh dari rumah.

Hal ini menyebabkan keinginan pengguna untuk melaksanakan kitar semula serta pengasingan sisa pepejal dari rumah tidak praktikal. Tidak ada sistem kutipan sisa kitar semula dilakukan oleh syarikat konsesi yang bertanggungjawab. Hanya Wilayah Persekutuan Putrajaya yang mengamalkan sistem kutipan sisa kitar semula ini dan hasilnya amat memberangsangkan.

Di kebanyakan kawasan di Malaysia, lebih mudah untuk membuang semua sampah ke dalam satu plastik hitam berbanding dengan mengasing-asingkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna terpaksa mennbawa sisa kitar semula ini ke pusat kitar semula sendiri.

Keadaan ini jauh berbeza daripada sistem kitar semula di kebanyakan negara maju, seperti di United Kingdom. Di sana, setiap rumah dibekalkan tong sampah yang berbeza-beza berdasarkan jenis sampah, iaitu sampah biasa, sampah kitar semula, sampah kebun dan sampah makanan. Bagi sampah nnakanan, kutipan dilakukan setiap minggu, manakala untuk sampah lain kutipan dilakukan secara berkala, iaitu setiap dua minggu sekali.

Kaedah ini bukan sahaja menggalakkan pengguna melaksanakan kitar semula, tetapi turut memudahkan pihak berwajib menguruskan sisa pepejal mereka. Hasilnya, sampah yang dilupuskan di tapak pelupusan dapat dikurangkan, jangka hayat tapak pelupusan dapat dipanjangkan dan pencemaran kurang dihasilkan.

Antara faktor lain kegagalan kitar semula termasuklah ketidakseriusan pihak berkuasa dalam melaksanakan dasar mi. Tidak ada polisi yang digariskan secara khusus bagi melaksanakan pengasingan dan kitar semula sisa pepejal.

Secara amnya, kerajaan mendasarkan supaya galakan kepada pengasingan dan kitar semula sisa pepejal diberi.

Namun begitu, tiada rancangan yang praktikal atau garis panduan yang khusus kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakannya. Hal ini merupakan antara kelemahan pelaksanaan kitar semula di Malaysia.

Hakikatnya, kitar semula di Malaysia dipercayai menguntungkan berdasarkan fakta bahawa lebih daripada 35 peratus sisa isi rumah perbandaran dan lain-lain di negara ini dapat dikitarkan semula. Produk yang dapat dipasarkan daripada sisa, termasuk bahan seperti kertas dan papan, produk yang sebahagiannya atau sepenuhnya terdiri daripada bahan kitar semula, bahan api (pepejal, cecair atau gas), tenaga (haba atau elektrik) dan kompos.

Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan

Berdasarkan Dasar Pengurusan Sisa seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2010 – 2015), kerajaan akan menutup dan memulihkan 112 tapak pelupusan tidak sanitari yang ada di seluruh negara dan menaik taraf sebahagiannya kepada tapak pelupusan sanitari.

Di samping itu, stesen pemindahan, kennudahan pemulihan bahan yang bersepadu, tapak pelupusan sanitari dan pelupusan lain serta kemudahan rawatan akan dibina. Pengumpulan berasingan akan dilakukan untuk sisa yang besar, sisa taman dan kitar semula

daripada seluruh sampah rumah yang kukuh untuk memudahkan kitar semula dan pemulihan sisa.

Langkah untuk mewajibkan pemilik rumah mengasingkan sisa di sumber punca untuk memudahkan kitar semula dikaji semula. Kerajaan nnemerlukan komitmen daripada sektor swasta dan pengilang tertentu untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal, terutamanya melalui program mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, skim pembayaran balik deposit dilaksanakan. Sistem ini membolehkan pengguna menerima bayaran balik apabila produk dapat dikitarkan semula serta pengilang dan pembekal mengambil kembali produk yang dinyatakan selepas digunakan. Hal ini memberikan penekanan akan kepentingan pengasingan sisa pepejal di rumah dan kitar semula.

Dasar kerajaan ini merupakan suatu yang relevan memandangkan tempat pelupusan sampah makin tenat. Contohnya, Selangor menghadapi krisis sampah dan menerima sisa dari Kuala Lumpur (100 peratus sisa perbandaran) kerana tiada tapak pelupusan sampah di bandar raya itu lantaran ruang yang terhad.

Jumlah sisa yang dilaporkan adalah berdasarkan kadar pertunnbuhan purata sisa Selangor (3.0 peratus) dan Kuala Lumpur (1.1 peratus). Jumlah sisa dijangka meningkat daripada 2.9 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 3.6 juta tan metrik pada tahun 2020.

Berdasarkan ramalan, tujuh tapak pelupusan sampah sedia ada di Selangor hanya mampu menerima separuh daripada sisa ini pada setiap tahun (1.6 juta tan setahun). Hal ini menunjukkan bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan sedia ada, selain membuka tapak baharu.

Tanggungjawab Pengguna

Dunia yang kita huni ini adalah pinjaman daripada generasi yang akan datang. Wajarlah kita memulangkannya semula dalam keadaan baik kepada mereka nanti. Oleh sebab itu, kita perlulah menanamkan kesedaran yang tinggi tentang kepentingan pengasingan sisa pepejal dan kitar semula.

Pengasingan dan kitar semula perlu dijadikan amalan dan kewajipan. Islam menitikberatkan kebersihan sebagai suatu yang perlu dan penting dalann kehidupan harian. Oleh sebab itu, tidak ada sebab untuk kita tidak menyokong usaha kebersihan alam sekitar ini.

Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan perlu membekalkan tong sampah bagi setiap jenis sampah yang berlainan di setiap rumah. Meskipun hal ini memerlukan perbelanjaan yang besar, langkah ini dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Penyelidikan Perikanan

Penyu Tersepit

Penyu ialah warisan alam yang hidup sezaman dengan dinosaur. Daripada tujuh spesies penyu yang ada di dunia empat daripadanya dapat ditemukan hidup di Malaysia. Merujuk statistik pemuliharaan penyu daripada Jabatan Perikanan selaku pihak berkuasa yang menguruskan pemuliharaan penyu, rekod pendaratan penyu menurun dengan begitu ketara sekali.

Pelbagai ancaman yang wujud menyebabkan penyu yang mendarat untuk bertelur di pantai Malaysia makin berkurang. Antara ancaman itu termasuklah pembangunan industri pelancongan di persisiran pantai yang dapat menjejaskan pantai. Tabiat penduduk yang suka makan telur penyu dan kepercayaan masyarakat bahawa amalan makan telur penyu dapat menyihatkan badan. Di samping itu, perkembangan industri perikanan memainkan peranan yang besar kepada kepupusan penyu.

Alat tangkapan ikan pada masa ini makin mantap. Namun begitu, hal ini menyebabkan makin banyak penyu terperangkap di dalam alat tangkapan secara tidak langsung. Pukat tunda pula makin besar saiz pukat dan saiz botnya. Begitu juga alat tangkapan lain, seperti pukat hanyut dan bubu.

Banyak penyu ditemukan terperangkap di pukat tunda seperti yang tersiar dalam akhbar tempatan, bot pukat tunda yang ditangkap oleh pihak berkuasa didapati nnemiliki penyu yang telah mati akibat terperangkap ke dalam pukat mereka.

Pukat hanyut pula banyak memerangkap penyu ketika kerja penguatkuasaan peraturan dilakukan oleh Jabatan Perikanan ketika musim penyu bertelur. Begitu juga dengan peralatan bubu, banyak penyu mati yang ditemukan terdampar di pantai akibat terjerut oleh tali peralatan bubu nelayan.

Peralatan nelayan juga dapat merosakkan dasar laut dengan cara merosakkan karangan dan rumpai laut. Hal ini menyebabkan kawasan pemakanan penyu terganggu dan berkurang.

Selain itu, ada aktiviti menangkap obor-obor. Obor-obor merupakan makanan utama bagi penyu belimbing. Aktiviti ini menyebabkan penyu terpaksa merantau jauh untuk mendapatkan makanan yang cukup. Oleh sebab itu, sering kedengaran berita penyu tertangkap di merata-rata tempat di dunia, terutama di sesetengah negara yang penduduknya menangkap penyu untuk dimakan.

Di samping itu, berlaku juga penyu yang belum matang berkumpul pada lampu pukat jerut ikan dan terperangkap oleh pukat jerut. Hal ini dikatakan demikian kerana penyu yang belum matang tertarik kepada kecerahan lampu daripada bot nelayan pada waktu malam.

Walaupun banyak anak penyu yang ditetaskan menerusi program yang dilakukan tetapi mati akibat terperangkap pada alat tangkapan nelayan. Namun begitu, program pemuliharaan penyu tetap giat dilakukan oleh kerajaan melalui jabatan berwajib.

Pembinaan pusat penerangan penyu seperti Pusat Penerangan Penyu Rantau Abang di Terengganu dapat membimbing masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan penyu. Pusat Penyu dan Ekosistem Mann (TUMEC) Rantau Abang pula bertanggungjawab mengkaji habitat penyu. Kajian ini dapat membantu kerajaan merangka dasar pemuliharaan penyu. Di samping itu, di Terengganu, enakmen penyu telah diwujudkan. Di bawah enakmen ini, telur penyu tidak boleh diambil melainkan untuk ditetas dan dilepaskan semula ke laut.

Sepanjang pantai di negeri Terengganu pula diwujudkan kawasan pajakan. Pennajak yang memungut telur penyu akan menghantar telur berkenaan untuk ditetaskan di pusat penetasan yang diwujudkan. Pemajak dibayar RM 2 bagi setiap biji telur penyu yang dihantar ke pusat penetasan.

Ada sebanyak sembilan pusat penetasan penyu diwujudkan di sepanjang pantai negeri Terengganu. Kerajaan juga telah membelanjakan jutaan ringgit sejak tahun 1970 bagi kerja pemuliharaan penyu.

Betapa penting sekalipun kerja pemuliharaan untuk melihat penyu terus hidup aman di habitat semula jadinya, kepentingan dan pembangunan industri perikanan tidak dapat diabaikan. Hal ini dikatakan demikian kerana pembangunan industri perikanan amat perlu bagi membekalkan ikan untuk keperluan penduduk.

Dalam hal ini pihak berwajib harus bijak dalam merangka dasar dan peraturan bagi pembangunan dan perkembangan industri perikanan berlaku dengan pesat. Apa-apa yang penting ialah habitat dan hidup penyu dapat diteruskan sebagai warisan alam sejak dahulu akan terus kekal hingga generasi akan datang.

Manusia perlu kehidupan yang sentosa dan penyu adalah warisan alam yang perlu dipulihara dan dikekalkan serta tidak tinggal sebagai suatu sejarah bagi generasi akan datang.

Penyu yang Mendarat dan Bertelur di Malaysia

Penyu Belimbing
Nama Inggeris : Leatherback Turtle

Penyu belimbing ialah penyu yang terbesar di dunia dengan panjang karapas yang pemah dicatat sepanjang dua meter dan berat hingga 700 kg. Kulit kerasnya adalah keras dengan warna hitam serta tompokan putih dan mempunyai tujuh rabung memanjang daripada leher ke ekor. Penyu ini menghabiskan keseluruhan hidupnya di dalam laut lepas serta dapat berenang dan menyelam hingga 1000 m ke dasar laut. Makanan utamanya ialah obor-obor.

Penyu Agar
Nama lnggeris : Green Turtle

Penyu ini adalah penyu kedua terbesar. Panjang purata kulit kerasnya ialah satu meter dan dapat mencapai berat badan hingga 270 kg. Penyu ini juga dikenali sebagai penyu hijau kerana kulit belakang badannya berwarna kehijau-hijauan.

Warna kulit keras penyu ini dapat berubah nnengikut peringkat umur. Penyu agar muda berwama gelap dan berubah kepada warna kehijau-hijauan apabila makin matang. Haiwan ini mengambil masa selama 30 tahun untuk matang. Makanan utamanya terdiri daripada alga dan rumput laut.

Penyu Karah/Sisik
Nama Inggeris : Hawksbill Turtle

Penyu karah dikenali sebagai penyu sisik. Kulit keras penyu ini seperti sisik yang bertindih. Penyu ini mempunyai paruh yang menyerupai burung helang. Bagi penyu karah yang matang, kulit kerasnya membesar hingga 90 cm panjang.

Penyu Lipas
Nama Inggeris : Olive Ridley Turtle

Penyu lipas ialah penyu paling kecil di dunia dengan panjang kulit kerasnya hanya 60 cm. Berat penyu lipas mencapai hingga 50 kg. Warna badan penyu ini gelap atau coklat dan bahagian bawahnya berwarna putih. Makanan penyu lipas ialah udang, obor-obor, ketam dan siput.

Fizik

Fizik dalam struktur jambatan

Pembangunan pesat teknologi binaan pada masa ini sangat berkaitan rapat dengan fizik. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan pembinaan struktur bangunan nnenggunakan teori fizik sebagai asas dalam suatu binaan. Contohnya, dalam pembinaan jambatan.

Bagi memahami dengan lebih lanjut tentang kaitan antara binaan ini dengan fizik, kajian dilakukan untuk membongkar rahsia sebatang jambatan dan kaitannya dengan teori fizik.

Jambatan berfungsi untuk menghubungkan suatu muatan dani suatu tempat ke suatu tempat yang lain, terutamanya bagi jalan yang dipisahkan oleh sungai atau laut. Jambatan dibina untuk memudahkan perjalanan ataupun urusan manusia. Nannun begitu, banyak juga yang tidak tahu cara jambatan dibina. Jambatan dibina berdasarkan konsep fizik. Antaranya termasuklah konsep mampatan dan tegangan atau pun kedua-duanya sekali.

Konsep Mampatan

Konsep mampatan bermaksud daya menekan atau daya tekanan. Hal ini terjadi apabila tekanan dikenakan terhadap suatu binaan daripada kedua-dua arah dan perkara ini mengakibatkan objek menjadi lebih pendek.

Selalunya konsep ini diaplikasikan pada batu dan konkrit kerana kedua-dua bahan ini bertambah kuat apabila dirapatkan. Konsep mampatan ini selalunya diaplikasikan pada jambatan berbentuk gerbang. Jambatan yang menampung berat atau bebanan menggunakan konsep mampatan yang dikenali sebagai jambatan gerbang.

Bentuk gerbang yang melengkung kerana dimampatkan dapat menampung berat di atas jalan. Jambatan yang berbentuk gerbang ini dapat diaplikasikan sama ada gerbangnya dibina pada bahagian atas ataupun bawah.

Konsep Tegangan

Konsep tegangan bermaksud daya yang ditolak. Hal ini mengakibatkan suatu objek menjadi lebih panjang. Contoh bahan yang sesuai dengan konsep ini ialah tali, wayar dan rantai. Konsep tegangan ini selalunya diaplikasikan pada jambatan berbentuk gantung atau dikenali sebagai jambatan gantung dan jambatan berbentuk sokongan kekal.

Ciri sebuah jambatan gantung ialah panjang, mempunyai wayar kabel yang bergantung secara landai atau lengkungan pada kiri dan kanan di sepanjang tiang jambatan. Wayar kabel kecil pula tergantung pada kabel utama dan terhubung pada atau hujung permukaan jalan. Kabel yang berada dalam keadaan renggang inilah yang menampung jalan di atas jambatan.

Satu lagi bentuk jambatan yang mengetengahkan konsep tegangan ialah jambatan sokongan kekal. Ciri jambatan sokongan kekal ialah wayar kabelnya terhubung pada menara utama secara terus untuk menampung jalan jambatan.

Jambatan yang menggunakan konsep mampatan dan tegangan dikenali sebagai jambatan rasuk. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam pembinaan jambatan ini rasuk pada jambatan membengkok jika beban dikenakan pada jalan. Akan tetapi, apabila rasuk membengkok separuh daripada binaan akan tegang dan separuh lagi mampat. Binaan ini juga bergantung pada rasuknya. Semakin tinggi rasuk semakin kuat jambatan itu.

Daripada maklumat ini dapat disimpulkan bahawa binaan seperti jambatan yang dibina amat berkait rapat dengan fizik. Tanpa kehadiran teori fizik, kita mungkin hanya dapat mencipta suatu binaan. Akan tetapi, mungkin sukar untuk mengekal dan menambah baik suatu binaan itu.

Yang lebih malang jika kita hanya mempelajari fizik, tetapi tidak mempraktikkan konsep fizik ini dalam kehidupan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana fizik dan sains binaan merupakan suatu kajian sains yang sangat memberikan kesan kepada kehidupan dan sangat luas skopnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s